Hanya RM3.75 guna pengangkutan awam - Utusan Malaysia

Hanya RM3.75 guna pengangkutan awam

KAKITANGAN Prasarana, Fatim Afiqah Arzmi menunjukkan replika Pas Keluarga Malaysia di Stesen KL Sentral pada tahun lalu. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BERMULA Disember lalu, orang ramai berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman baharu menggunakan pengangkutan awam di sekitar Lembah Klang dengan kadar bayaran sangat menjimatkan.

Pas Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bertujuan menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam pada Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Pas perjalanan tanpa had itu membolehkan perjalanan seramai empat orang dalam satu kumpulan dengan kadar bayaran sebanyak RM15 sehari.

Sememangnya ia sangat murah dan berbaloi, secara purata hanya RM3.75 dikenakan bagi setiap individu.

Bagi kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah pula, pengecualian bayaran diberikan dan mereka hanya perlu menunjukkan MyKid untuk pengesahan bagi menikmati kemudahan pas perjalanan itu.

Pas perjalanan ini meliputi semua perkhidmatan iaitu bas Rapid KL, transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT), monorel dan bas Rapid Transit-Laluan Sunway yang menghubungkan lokasi-lokasi strategik di sekitar Lembah Klang bagi aktiviti riadah, pelancongan dan beli-belah.

Terlalu banyak penjimatan yang ditawarkan oleh pas perjalanan itu dan sudah tentu jauh lebih murah berbanding kadar bayaran tempat letak kenderaan bagi tempoh sama.

Pengenalan pas perjalanan berkumpulan ini diharapkan dapat merancakkan dan merangsang kembali penggunaan pengangkutan awam di sekitar Lembah Klang.

Pada masa ini, penggunaan pengangkutan awam di Malaysia khususnya di Lembah Klang masih di bawah tahap disasarkan.

Berkemungkinan besar ia berpunca daripada stigma masyarakat yang sudah lekat bermain di minda terhadap perkhidmatan pengangkutan awam negara yang tidak efektif dan e­fisien.

STATUS

Mungkin masih ramai yang membayangkan perkhidmatan pengangkutan awam sering lewat tiba, sesak dengan penumpang, keadaan panas yang mengganggu keselesaan di samping terpaksa menunggu lama.

Ia mungkin diburukkan lagi dengan insiden yang tidak diingini berdasarkan pengalaman lampau seperti gangguan seksual dan ancaman penyeluk saku yang pernah berleluasa sebelum ini.

Berdasarkan pemerhatian, perkhidmatan dan jaringan pengangkutan awam di negara ini sudah berkembang rancak dan mengalami evolusi yang pesat. Sebagai contoh, perkhidmatan bas telah disepadukan dan distruktur semula.

Pengenalan dan tumpuan kepada perkhidmatan LRT dan MRT yang menghubungkan kawasan berkepadatan tinggi turut merevolusikan aksesibiliti dan mobiliti penduduk khususnya yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor.

Ketersambungan perjalanan melalui pelbagai jenis pengangkutan awam juga sudah ditambah baik dengan adanya kemudahan pertukaran di terminal berstatus bersepadu.

Namun, jika hendak dibandingkan dengan negara-negara maju lain seperti United Kingdom, Australia mahupun negara jiran, Singapura, kadar penggunaan pengangkutan awam di negara kita masih kurang berbanding kenderaan persendirian.

Orang ramai di luar negara bukan sahaja menggunakan pengangkutan awam bagi tujuan pergi dan balik kerja, namun turut menaikinya bagi tujuan sosial dan lain-lain.

Ia juga sering dijadikan pilihan tidak kira sama ada pada hari biasa mahupun di hujung minggu.

Penduduk di luar negara tidak mempunyai tanggapan seperti segelintir masyarakat kita bahawa penggunaan kenderaan persendirian melambangkan status kehidupan yang tinggi dan pengangkutan awam hanya untuk kegunaan golongan tidak berkemampuan. – UTUSAN

DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR & MOHD. FAIZOL RIZAL MOHD. RASID, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya