Bimbang sexting semakin merebak dalam masyarakat - Utusan Malaysia

Bimbang sexting semakin merebak dalam masyarakat

PENDIDIKAN literasi digital perlu diajar sejak di peringkat sekolah lagi. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SABAN hari media massa menyajikan berita berkaitan isu dan permasalahan sosial yang berpunca dari penggunaan media sosial terutamanya di telefon pintar.

Penggunaan aplikasi komunikasi di telefon pintar mendedahkan para pengguna kepada perlakuan berisiko seperti mesej berunsur sexting (hantaran seks).

Perbuatan tersebut seterusnya mungkin membawa kepada beberapa pelanggaran undang-undang yang serius seperti buli siber, pemerasan dan fitnah.

Malah jika perlakuan hantaran seks melibatkan kanak-kanak bawah umur, ia akan menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Hantaran seks ditakrifkan sebagai menghantar, bertukar atau memajukan kandungan eksplisit berunsur seksual dalam bentuk teks, video atau imej menggunakan sebarang peranti teknologi.

Perkara ini tidak patut dipandang ringan kerana impak dari penggunaan media sosial kini di tahap yang membimbangkan.

Pada bulan lepas, seorang pendakwah terkenal telah didakwa di mahkamah terhadap 11 pertuduhan membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp.

Sekiranya tiada usaha yang bersifat komprehensif dilakukan dibimbangi akan berlakunya keruntuhan moral dan akhlak yang serius kepada generasi akan datang.

Namun, dalam membendung isu atau permasalahan ini, pengawalan berbentuk hukuman semata-mata mungkin tidak mencukupi dan perlu disertakan sekali langkah pengawalan kendiri.

KAJIAN

Langkah yang dilihat mungkin lebih berkesan adalah dengan cara mendidik dan melengkapkan pendidikan literasi media sosial dalam kalangan pengguna media sosial sejak peringkat umur kanak-kanak dan remaja.

Menurut statistik yang dikeluarkan di laman web Data Reportal, sehingga Januari 2022, jumlah pengguna media sosial di Malaysia adalah sebanyak 30.25 juta orang, meningkat sebanyak lapan peratus iaitu 2.3 juta di antara 2021 ke 2022.

Malah, penggunaan media sosial paling tinggi adalah melibatkan golongan muda lingkungan umur 25 hingga 34 tahun.

Menerusi pendidikan literasi media sosial, pengguna dilengkapi dengan nilai-nilai kompetensi yang mampu mengelak mereka dari terjebak dengan perlakuan tidak bermoral atau berisiko dalam dunia digital seperti perlakuan hantaran seks tersebut.

Jika melihat kepada kajian-kajian terdahulu yang dijalankan di negara Barat, terdapat banyak modul, garis panduan tentang penerapan pendidikan literasi digital dalam subjek-subjek di peringkat institusi pendidikan, terutamanya di peringkat sekolah.

Golongan sasar adalah para guru, ibu bapa, pihak institusi itu sendiri dan pelajar. Langkah ini dilihat sebagai suatu bentuk pengawalan jangka masa panjang dan diyakini membentuk suatu budaya sihat kepada setiap pengguna media sosial.

Dalam erti kata lain, individu yang dilengkapi dengan kemahiran literasi media sosial akan mempunyai kecenderungan untuk mempunyai kompetensi menggunakan media sosial dan dapat mengelak dari terjebak dengan perlakuan hantaran seks.

Di samping itu, kompetensi ini membolehkan pengguna menggunakan media sosial dengan lebih berhemah dan mengatasi segala perlakuan berisiko yang berkaitan dengannya.

Walaupun kita tidak boleh mengawal perlakuan orang lain dalam media sosial, tetapi sebagai pengguna yang bijak kita boleh memutuskan sebarang ruang dan peluang dengan pelbagai cara antaranya dengan menyekat pelaku dari terus berhubung. – UTUSAN

SITI NASARAH ISMAIL, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya