Banyak pengorbanan di sebalik seragam sekolah

Banyak pengorbanan di sebalik seragam sekolah

PASTINYA banyak cerita kesusahan yang tidak diceritakan ibu bapa di sebalik seragam pelajar yang baharu. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ISNIN lalu, media sosial berwarna warni dengan ragam dan gelagat anak-anak yang kembali ke sekolah. Sesi persekolahan 2022 di seluruh negara membuka tirai secara rasmi pada 21 Mac lalu.

Semangat untuk kembali ke sekolah tidak ‘dibunuh’ oleh virus Covid-19 sebaliknya masih utuh di jiwa anak-anak.

Ibu bapa juga dilihat bersemangat menghantar dan menguruskan pendaftaran sekolah. Sejak awal pagi, ibu bapa berpusu-pusu menghantar anak-anak ke sekolah dan ada juga yang menaiki van atau bas.

Ramai ibu bapa yang terkesan dengan pandemik seperti hilang sumber pendapatan, kematian pasangan dan ada juga ditimpa musibah seperti banjir besar. Walaupun begitu, ibu bapa masih berusaha bertungkus lumus atau bersusah payah menyiapkan kelengkapan anak-anak.

Di sebalik seragam anak-anak yang baharu, ada bapa terpaksa mengeluarkan duit simpanan untuk membeli segala kelengkapan. Ada juga ibu yang bersengkang mata menjahit baju seragam atau menyediakan keperluan lain.

Ada ibu bapa yang mendahulukan keperluan sekolah berbanding diri sendiri. Ada juga ibu bapa yang menebalkan muka menerima sumbangan daripada pelbagai pihak demi memastikan anak boleh kembali ke sekolah.

Begitu juga dengan kelengkapan lain seperti alat tulis, buku dan sebagainya yang memiliki kisah tersendiri di sebaliknya. Ada ibu bapa yang terpaksa bercuti atau tidak keluar berniaga menguruskan kelengkapan dan pendaftaran anak-anak ke sekolah.

Begitu besar pengorbanan yang dilakukan oleh ibu bapa di sebalik pakaian seragam lengkap ke sekolah. Justeru, anak-anak perlu berusaha bersungguh-sungguh dan belajar dengan tekun demi membalas jasa dan pengorbanan yang telah diberikan oleh ibu bapa.

Terima kasih ibu. Terima kasih ayah.-UTUSAN

NURSYUHADA’ AB. WAHAB, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN