SAUDARA PENGARANG,
SKIM sewa beli rumah yang pertama diperkenalkan di Johor adalah sewaktu Menteri Besar dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mentadbir dari 2013 hingga awal 2018 iaitu Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Cendana, Pasir Gudang.
Sebanyak 1,499 unit rumah ditawarkan kepada mereka yang berkelayakan. Sementara 240 unit rumah PPR Bandar Seri Alam, Jalan Tasek 64, juga ditawarkan melalui skim sewa beli dengan kadar RM218 sebulan untuk tempoh 20 tahun.
Skim sewa beli ini akan memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri.
Bukan itu sahaja, kepada golongan asnaf yang berhak menerima zakat sememangnya tidak mampu membayar sewa apatah lagi memiliki rumah, kerajaan BN Johor memperkenalkan skim rumah transit di bawah kelolaan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Sebanyak 150 unit di PPR Taman Cendana dikhaskan kepada MAINJ untuk tujuan ini. Golongan asnaf yang benar-benar layak dibenarkan tinggal secara percuma selama mana mereka masih lagi layak.
Program ini dicadangkan diperluaskan ke seluruh negeri jika kerajaan BN kekal diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Malangnya masyarakat Pasir Gudang terutama yang tinggal di kawasan PPR itu terpaksa berputih mata selepas BN kalah pada PRU14 kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diberi mandat memerintah negeri itu tidak meneruskan semua perancangan yang telah disusun rapi.
Persoalannya, mengapa kerajaan PH membatalkan skim sewa beli dan skim rumah transit ini? Justeru, PRN Johor memberikan peluang sekali lagi kepada pengundi-pengundi untuk kembalikan semula kerajaan UMNO/BN di Johor. – UTUSAN
MOHD. KHATIM OTHMAN, Johor Bahru