SAUDARA PENGARANG,
TERDAPAT dua isu melibatkan Kementerian Pendidikan baru-baru ini. Pertama, kenyataan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin bahawa jumlah mata pelajaran terlalu banyak sehingga tujuh sehari di sekolah rendah adalah antara punca murid perlu membawa buku banyak.
Kedua, laporan Utusan Malaysia yang memetik kenyataan seorang pensyarah dari Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad mengenai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
Beliau menggesa sistem KBAT dirombak atas alasan telah mewujudkan jurang antara murid sehingga mereka yang ketinggalan berasa sangat tertekan untuk meneruskan persekolahan.
Isu beg berat dan KBAT menjadi perhatian lagi setelah ia dibincangkan beberapa tahun lepas dan ketika itu nampak ada penyelesaian tetapi tidak dilaksanakan kerana berlaku pertukaran kerajaan.
Kasihan kepada murid kita di sekolah rendah yang membawa beg berat. Begitu juga murid yang tertekan akibat pelaksanaan KBAT sejak 10 tahun lalu.
Di ruangan ini, saya sebagai pesara guru, bukan mahu membuka aib sesiapa tetapi ingin sama-sama cuba mencari satu penyelesaian adil dan telus melibatkan isu ini. Semoga masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin.
Pada pengalaman saya, murid bukan sahaja menggalas beg tetapi menarik beg berat itu menaiki tangga dengan tangan yang kecil.
Cuba kita bayangkan anak kita yang bertubuh kecil, memikul, menggalas, menarik dan menolak beg berat hampir tiga kilogram.
Dasar yang kita buat secara tidak langsung mengabaikan kesihatan mental dan fizikal anak dan kesannya pula kekal sepanjang hayat.
KRITIKAL
Bagi ibu bapa, mereka mengikut sahaja jadual waktu anak-anak. Kandungan beg murid yang berat itu 90 peratus adalah buku teks dan buku tulis atau latihan, selebihnya alat tulis dan pakaian pendidikan jasmani.
Jikalau hari tersebut murid belajar tujuh subjek, maka murid perlu bawa tujuh buku teks dan tujuh buku tulis atau latihan ke sekolah.
Bilangan subjek belajar mempengaruhi bilangan buku yang perlu murid bawa ke sekolah.
Oleh itu, jika ingin mengurangkan bilangan buku murid, pihak kementerian perlu mengurangkan bilangan subjek murid belajar setiap hari.
Di samping itu, saya bersetuju dengan Anuar bahawa murid sekolah rendah perlukan asas membaca, menulis dan mengira (3M) sahaja di samping memberi peluang menyeronokkan dalam pembelajaran.
Saya sangat berharap pihak kementerian merombak sistem sedia ada kerana di peringkat rendah, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) telah pun dimansuhkan.
Dalam pada itu, saya berpendapat unsur KBAT agak awal diperkenalkan kepada murid di peringkat rendah dan ini akan membantutkan perkembangan fikiran mereka.
Murid di umur yang muda dilihat belum sesuai berfikir secara kritikal apatah lagi berfikir di luar kotak kerana pendidikan mereka perlukan keseronokan dan aktiviti permainan.
Dengan adanya KBAT, keseronokan murid belajar telah tiada dan secara tidak langsung mematikan minat murid untuk belajar.
Justeru, Kementerian Pendidikan perlu menilai kembali silibus di peringkat sekolah rendah agar murid ceria ke sekolah.
Terapkan nilai-nilai asas kemahiran dan jangan terikat dengan KBAT yang menekan murid masih mentah ini. – UTUSAN
PESARA GURU, Temerloh, Pahang