Jangan biar perang terus menjadi endemik

Jangan biar perang terus menjadi endemik

perang
PERANG Dunia Kedua telah mengorbankan jutaan nyawa seperti yang berlaku di Hiroshima, Jepun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA waktu ini, terdapat pelbagai spekulasi bilakah tentera Rusia akan menceroboh Ukraine? Perang merupakan endemik (perkara sentiasa berlaku) yang telah mewarnai sejarah kehidupan dan peradaban umat manusia di muka bumi ini.

Sepanjang sejarah, ia telah meragut begitu banyak nyawa dan mewujudkan jutaan dendam yang boleh mencetuskan bibit-bibit baharu konflik. Bagaimanapun, manusia secara fitrahnya cintakan kedamaian dan tidak ingin melihat meletusnya perang.

Berpaksikan pengalaman Perang Dunia Pertama yang mengerikan, ia memberikan aspirasi kepada masyarakat antarabangsa untuk menghapuskannya atau sekurang-kurangnya hanya menggunakan kekuatan ketenteraan bagi mempertahankan diri daripada pencerobohan bersenjata.

Selepas perang itu, Perjanjian Liga Bangsa-Bangsa pada 1919 menyatakan hasrat dan keinginan para penandatangan untuk mempromosikan kerjasama antarabangsa demi mencapai keamanan dan keselamatan atas penerimaan tanggungjawab untuk tidak berperang.

Anggota liga itu memikul tanggungjawab untuk mengemukakan pelbagai jenis pertikaian untuk timbang tara, penyelesaian kehakiman atau siasatan dan menolak hak untuk berperang dengan mana-mana negara yang menerima hasil proses tersebut.

Usaha tersebut diteruskan lagi pada 1925 apabila negara-negara anggota yang menandatangani Perjanjian Locarno bersepakat untuk tidak melancarkan perang antara satu sama lain kecuali dalam kes-kes tertentu.

Larangan

Larangan terhadap persengketaan itu sebagai suatu cara penyelesaian sengketa merupakan prinsip yang perlu dipertahankan dalam undang-undang antarabangsa, walaupun perang masih diakui sebagai pengecualian apabila usaha melalui jalan damai tidak membuahkan hasil.

Namun, sama ada Perjanjian Liga Bangsa-Bangsa 1919 atau Perjanjian Locarno 1925 tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan yang berkesan sehingga gagal membendung perang sebagai instrumen dasar luar oleh negara-negara kuasa besar.

Kegagalan ini dapat dilihat dengan meletusnya Perang Dunia Kedua yang mengorbankan jutaan nyawa. Pada akhirnya, penggubal Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1945 yang merupakan sumber utama undang-undang antarabangsa masa kini telah membatasi penyelesaian melalui perang.

Apabila ditinjau lebih lanjut, justifikasi perang atau penggunaan kekerasan yang dibenarkan berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa yang diguna pakai pada hari ini terlihat pada Bab VII Piagam PBB yang terdiri daripada 13 Artikel (Artikel 39-51).

Ia memberikan justifikasi terhadap dua bentuk penggunaan kekerasan yang dibenarkan oleh PBB, iaitu penggunaan kekerasan secara kolektif melalui mandat Majlis Keselamatan PBB serta penggunaan kekerasan dalam rangka mempertahankan diri daripada serangan bersenjata.

Penggunaan kekerasan atas nama perang yang dilancarkan di luar konteks pengecualian tersebut adalah tidak sah dan jelas melanggar ketentuan yang termaktub dalam Piagam PBB.

Sebagai contoh, Artikel 2(4) Piagam PBB dengan jelas menyatakan bahawa: “Seluruh negara anggota perlu menahan diri dalam hubungan antarabangsa mereka daripada ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap kedaulatan wilayah atau politik negara lain, atau dalam setiap tindakan yang tidak sesuai dengan tujuan Piagam PBB.”

Oleh itu, undang-undang antarabangsa perlu terus dihayati dan dijunjung tinggi oleh semua pihak agar bencana kemanusiaan yang dahsyat akibat perang tidak berulang. – UTUSAN

MUHAMMAD FAHMI MD. RAMZAN, Pengasas Pusat Pengajian Abu Faqih Centre

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya