Paku pakis boleh dijadikan makanan ternakan - Utusan Malaysia

Paku pakis boleh dijadikan makanan ternakan

GABUNGAN gambar menunjukkan kajian terhadap tumbuhan azolla yang sedang dijalankan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM). – IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ISU kenaikan harga makanan ternakan atau dedak untuk ayam dan lembu mendatangkan beban besar terhadap golongan penternak terutama komuniti kampung yang terlibat dalam industri berkenaan.

Atas kesedaran ini, Ketua Pusat Keselamatan Makanan, Inovasi dan Pembangunan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail mencari alternatif terbaharu dengan melakukan penyelidikan terhadap paku pakis bernama azolla yang dapat dihasilkan dengan kos lebih murah.

Azolla adalah sejenis tumbuhan hijau yang tumbuh secara bersimbiosis dengan sejenis alga biru-hijau iaitu anabaena.

Ia didapati tumbuh dengan banyak dalam kolam air dan sawah di negara-negara Asia. Negara-negara luar seperti India, Indonesia dan Filipina juga banyak menggunakan azolla sebagai makanan ternakan.

Di Malaysia, langkah sama dilakukan terhadap azolla tetapi kegunaannya belum mencapai tahap optimum dan signifikan untuk menampung keperluan industri ternakan tempatan.

Kandungan protein yang tinggi (20 hingga 30 peratus) dan kandungan asid amino seperti lisin menjadikan azolla sebagai sumber makanan amat sesuai untuk ternakan dan inisiatif yang lebih agresif perlu diambil bagi meneroka potensinya.

Mengambil kira faktor tersebut, Risyawati melakukan penyelidikan mendalam terhadap beberapa jenis paku pakis air seperti azolla bertujuan menerokai kegunaannya dari pelbagai segi.

Selain untuk ternakan, ia juga berpotensi untuk dijadikan makanan manusia dan kosmetik. Keselamatan makanan merupakan satu agenda besar negara yang perlu disokong.

UUM sendiri mempunyai kepakaran dan sokongan cukup untuk menyumbang ke arah pemantapan aktiviti ekonomi dalam kalangan komuniti tempatan terutama golongan berpendapatan rendah (B40) yang berkecimpung dalam industri penternakan.

Setakat ini, hasil penyelidikan mendapati azolla sangat sesuai dijadikan makanan ternakan terutamanya untuk arnab dan ayam.

Penglibatan UUM dalam projek penternakan ayam dalam kalangan komuniti masyarakat kampung di Kedah sejak 2020 membuka mata penyelidik berkaitan isu makanan ternakan yang mahal.

Dengan pengalaman ini, jelaslah kos makanan ternakan amat membebankan penduduk kampung yang cuba melibatkan diri dalam industri penternakan.

Hasil daripada penyelidikan itu, Risyawati berjaya memfailkan satu paten dan enam harta intelek, menulis artikel akademik dan bab dalam buku, seterusnya mengkomersialkan produk yang dihasilkan.

Terdapat pelbagai cabaran dalam penyelidikan tumbuhan berkenaan termasuk memastikan pertumbuhan azolla cukup untuk menampung keperluan penyelidikan dan seterusnya bagi kegunaan secara komersial.

Azolla adalah sejenis paku pakis yang mudah hidup dalam ekosistem yang sesuai, namun ia juga mudah mati apabila kondisi di dalam medium pembiakan tidak sesuai.

Faktor-faktor seperti suhu, tahap keasidan (pH), nutrien dan jumlah pendedahan kepada cahaya matahari perlu diambil kira bagi memastikannya hidup subur dan membiak.

Kerjasama dan sokongan daripada anak-anak syarikat UUM sendiri akan dijadikan sebagai platform bagi memastikan produk itu berjaya dikomersialkan dan mencapai komuniti sasaran.

SITI FATIMAH ABDULLAH, Komunikasi Korporat UUM.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya