Latih pesara TLDM jadi nelayan laut dalam - Utusan Malaysia

Latih pesara TLDM jadi nelayan laut dalam

SUDAH sampai masanya pesara TLDM yang masih muda dilatih menjadi nelayan laut dalam. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA awal bulan ini, Utusan Malaysia menyiarkan berita berkaitan pendapatan nelayan di Perlis yang terjejas akibat aktiviti pencerobohan bot penangkap siput yang merosakkan habitat pembiakan ikan. Apabila habitat rosak, stok ikan terjejas dan penangkapan ikan berkurangan.

Eksploitasi sumber perikanan secara berlebihan dan dengan cara yang salah memberi kesan kepada pendapatan nelayan, seterusnya menjejaskan kualiti hidup mereka.

Perbuatan eksploitasi berlebihan berlaku apabila permintaan tinggi terhadap sumber perikanan menyebabkan sebahagian nelayan menggunakan peralatan yang boleh menangkap ikan seberapa banyak mungkin pada sesuatu masa tanpa mengambil kira kesan sampingan daripada penggunaan peralatan tersebut, contohnya sangkar menangkap siput.

Laporan Jabatan Perikanan mengenai hasil kajian stok ikan di perairan negara mendapati kepadatan ikan merosot kepada sekitar 20,000 kilogram (kg) hingga 53,000 kg untuk setiap kilometer (km) persegi atau dengan anggaran pengurangan sumber sebanyak 80 peratus.

Kekurangan sumber perikanan memberi kesan kepada bekalan makanan dalam negara dan untuk mengatasinya kerajaan perlu mengimport ikan dari negara luar.

Ini langkah tidak boleh diterima kerana kedudukan Semenanjung yang dikelilingi laut dan secara logik boleh mendapatkan sumber perikanan dengan mudah.

Untuk meningkatkan sumber perikanan negara, kerajaan perlu meneruskan pelbagai langkah yang telah dilaksanakan termasuk projek tukun tiruan dan larangan menangkap ikan di kawasan sekitar dua km dari pulau terpilih.

Dalam pada itu, antara strategi yang dicadangkan kepada nelayan persisiran pantai apabila sumber perikanan berkurangan adalah menangkap ikan laut dalam.

Sehingga 2020, terdapat 22,149 orang nelayan warga asing bekerja di sektor perikanan laut dalam di Malaysia atau bersamaan 30 peratus daripada keseluruhan nelayan tempatan di Semenanjung yang berjumlah 78,117 orang.

Di Perlis sahaja, daripada keseluruhan 2,788 nelayan, didapati nelayan warga asing terutama dari Thailand ialah seramai 1,822 orang (65.4 peratus), berbanding cuma 966 (34.6 peratus) nelayan tempatan.

Dalam Belanjawan 2021 terdapat Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan di mana nelayan boleh memohon pinjaman sehingga RM5 juta pada kadar faedah 3.5 peratus untuk menaik taraf bot, pukat dan peralatan bagi membolehkan mereka terlibat dalam aktiviti penangkapan ikan laut dalam.

Penggunaan peralatan moden seperti alat menurun dan menarik pukat boleh mengatasi keperluan bilangan pekerja (awak-awak) yang ramai di dalam sesebuah bot.

Bagaimanapun, peningkatan kemahiran oleh penerima pinjaman dan pekerja mereka juga diperlukan untuk membolehkan nelayan terbabit biasa dengan bot, pukat dan peralatan baharu.

Diketahui umum, aktiviti penangkapan ikan laut dalam memerlukan keberadaan nelayan di laut pada tempoh lama, berkemungkinan tiga ke 10 hari. Mereka yang ingin terlibat memerlukan jati diri dan semangat tinggi.

Usaha boleh dibuat untuk menggalakkan pegawai dan kakitangan kerajaan yang biasa terlibat dengan laut jika mereka bersara pada usia muda seperti bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau Pasukan Polis Marin (PPM) untuk menceburi bidang ini.

PROFESOR MADYA DR. JAMAL ALI, Akademi Profesor Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.