Belajar rai kejayaan orang lain - Utusan Malaysia

Belajar rai kejayaan orang lain

MERAIKAN pelajar cemerlang merupakan satu suntikan semangat untuk rakan-rakannya yang lain berusaha mencapai kejayaan. UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, 

UMUM mengetahui pelajar yang cemerlang dalam akademik, kokurikulum atau apa sahaja jenis pertandingan yang disertai banyak meluangkan masa dan tenaga untuk mencapai kecemerlangan tersebut. Begitu juga ibu bapa yang bukan hanya menyumbang wang ringgit tetapi masa dan tenaga. Jadi, penghargaan wajar diberikan kepada  mereka dalam menghargai pengorbanan yang telah dilakukan.

Setiap pelajar mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri dan tidak menjadi kesalahan jika kejayaan mereka dihargai dan diraikan dalam sebuah majlis anugerah sebagai suntikan motivasi serta dorongan kepada pelajar lain. 

Jadi, kita perlu belajar untuk meraikan orang lain, perlu belajar untuk turut bergembira melihat kejayaan orang lain. Jadi, hari anugerah bukan satu majlis yang dikatakan memilih kasih kerana hanya diadakan kepada pelajar yang cemerlang akademik. 

Penularan pandemik Covid-19 mengubah kehidupan bukan sahaja golongan dewasa tetapi pelajar yang terpaksa melalui pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dan ia bukanlah satu proses mudah.

Persekitaran pembelajaran cara norma baharu itu secara tidak langsung memberi kesan negatif kepada kesihatan khususnya bahagian mata, leher dan pinggang apabila tidak aktif bergerak seperti mana pembelajaran secara bersemuka. Ini belum lagi sekiranya mereka terpaksa berhadapan dengan masalah-masalah teknikal yang sedikit sebanyak memberi kesan negatif pada tahap kesihatan mental pelajar.

Maka dengan adanya majlis anugerah, sudah pasti ia diharapkan dapat memberi impak positif serta memberi semangat baharu bukan sahaja kepada para penerima tetapi juga pelajar lain yang turut sama melihat pencapaian rakan-rakan mereka.

Setelah apa yang dilalui oleh pelajar, majlis sedemikian diharapkan dapat memberi suntikan semangat. Perkara paling penting yang perlu kita dilakukan adalah menghormati perbezaan yang wujud dan raikan kepelbagaian. Merdekakan hati kita daripada perasaan prejudis!

NURSYUHADA AB. WAHAB & NUR NATASHA ELIANA ABDUL RAHIM, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dengkil

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya