SAUDARA PENGARANG,
MENJALANI kehidupan dalam norma baharu sudah diterima baik oleh rakyat termasuk arahan Kementerian Kesihatan agar melengkapkan suntikan vaksinasi sejak penularan Covid-19.
Terbaharu, timbulnya varian baharu, Omicron, namun ia bukanlah satu kejutan yang boleh menggemparkan rakyat sebaliknya sudah dijangka.
Maka, saya berpandangan langkah paling efektif bagi rakyat agar dapat meneruskan kelangsungan hidup selepas dihimpit kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hampir dua tahun adalah dengan cara mengekalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
Ini kerana jika tidak lakukan demikian, berkemungkinan PKP akan dilaksanakan semula. Mahukah kita berkurung di rumah lagi? Ini akan menjejaskan emosi dan mental jika berkurung dalam tempoh yang lama.
Cukuplah, rakyat sudah terlalu lama sengsara bukan kerana SOP sahaja malah terseksa dengan percaturan elit politik yang gilakan kuasa.
Sementelah itu, kami merayu serta berharap Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak lagi mengenakan PKP.
Selain itu, bukankah kerajaan telah berjanji sebelum ini bahawa rakyat perlu menyesuaikan hidup dengan pandemik atau dengan kata lain menjaga diri sendiri?
MUZAKKIR IBADURRAHMAN, Pulau Pinang.