SMS sahaja maklum berlaku banjir kilat - Utusan Malaysia

SMS sahaja maklum berlaku banjir kilat

PEMANDU kenderaan di Lembah Klang sering menghadapi risiko terperangkap di dalam banjir kilat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BAGI warga kota, hujan lebat dalam tempoh beberapa jam pasti akan mengundang kegusaran kemungkinan berlaku banjir kilat.

Hujan lebat pada waktu petang akan menyebabkan warga kota terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas yang panjang dan kenderaan ditenggelami air mengakibatkan kerosakan yang teruk kepada enjin dan sistem elektronik.

Sebabnya, sistem saliran tidak dapat menampung larian air hujan kerana tersumbat dengan sampah sarap, plastik, daun-daun dan dahan kering.

Pemendapan di dasar sistem saliran, peparitan dan sungai akibat daripada guna tanah di kawasan sekitar di mana sistem saliran, parit dan sungai menjadi cetek dan sempit menyebabkan tidak dapat menampung air hujan yang lebat sehingga berlakunya limpahan air ke kawasan lebih rendah.

Bagi warga kota yang menggunakan jalan raya yang terletak dalam kawasan rendah ketika pulang daripada tempat kerja adalah berisiko terperangkap di dalam banjir kilat.

Antara kawasan rendah seperti titik panas di Jalan Pantai Baharu, Batu Tiga di Shah Alam, Jalan Kuching di Taman Wahyu menghala bulatan Batu Caves, Jalan Cheras di Cheras Sentral ke bulatan Billion dan kedua-dua arah Jalan Maharajalela berhampiran Stesen Monorail Maharajalela dan Jalan Raja Chulan.

Kawasan yang dinaiki air juga boleh mengundang bahaya kepada pemilik kereta dan juga penunggang motosikal.

Ini kerana bagi kawasan yang dilitupi air, pengguna jalan raya tidak dapat menganggarkan kedalaman kawasan banjir ketika meredah air menyebabkan risiko kerosakan yang teruk jika kenderaan mereka tersangkut di dalam banjir.

Di samping memastikan infrastruktur jalan raya, sistem aliran, sungai dan peparitan berada dalam keadaan sempurna bagi mengelak banjir kilat, sudah sampai masanya kita memanfaatkan teknologi sebagai kaedah baharu bagi warga kota mengelak melalui kawasan banjir.

Pertama, sistem banjir kilat menggunakan teknik kawalan mikro di mana ia dilengkapi dengan satu set pin input/output (I/O) digital dan analog yang boleh disambungkan kepada pelbagai sistem pengesanan banjir.

Sistem ini boleh membantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengesan paras air banjir di kawasan titik panas di ibu kota di mana tahap air banjir boleh ditetapkan mengikut kategori seperti paras normal, berjaga-jaga atau bahaya.

Ia mestilah diprogramkan untuk menghantar mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk memaklumkan banjir yang telah disahkan mengikut aras sama ada berjaga-jaga atau bahaya kepada pengguna jalan raya melalui telefon bimbit.

Dengan penggunaan teknologi ini, kumpulan sasar penerima mesej ialah pengguna jalan raya yang berada di dalam kawasan bencana iaitu di kawasan titik panas sahaja yang terlibat berdasarkan maklumat daripada infrastruktur pembekal telekomunikasi mudah alih atau dari pangkalan data yang telah disahkan.

Sebelum teknologi ini digunakan, adalah lebih baik sekiranya pihak DBKL, JPS, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 mengadakan perbincangan bagi menentukan skala pengiraan kebangsaan bagi bacaan setiap penanda aras banjir.

Integrasi antara pangkalan data kebangsaan dengan penyedia perkhidmatan mudah alih di Malaysia perlu dilakukan supaya notifikasi SMS dapat dihantar kepada pengguna jalan raya yang melalui kawasan titik panas.

Dengan penggunaan teknologi, risiko banjir kilat kepada pengguna jalan raya dapat dikurangkan.

DR. ASMA ISA, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya