Banjir: Belajarlah dengan Pantai Timur - Utusan Malaysia

Banjir: Belajarlah dengan Pantai Timur

Pemilik aplikasi MySejahtera perlu menjamin keselamatan data mereka. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TIRAI 2021 berlabuh dengan menyaksikan beberapa episod duka melanda negara. Dalam kekalutan berperang menangani penularan wabak Covid-19, bencana banjir besar melanda Selangor dan Pahang pada 18 Disember lalu mengakibatkan impak yang bukan sedikit kepada negara.

Mungkin ramai tidak sedar atau tidak ambil peduli mengenai amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum kejadian bahawa hujan lebat akibat siklon Rai yang melibas Filipina akan berterusan selama beberapa hari. Mungkin ramai menganggapnya sebagai fenomena biasa setiap kali menjelang hujung tahun serta tidak mengakibatkan banjir besar.

Perlu diakui, tiada satu pun kaedah tepat di dunia mengenai ramalan banjir besar bahkan proses menganalisisnya sangat rumit. Amaran yang dikeluarkan berdasarkan bukti-bukti saintifik dari dalam dan luar negara. Namun, data-data yang diterima adakala bercanggah hingga menyukarkan untuk membuat keputusan.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang bertanggungjawab dalam isu berkaitan penyelenggaraan saliran dan pencegahan banjir turut menyediakan perkhidmatan ramalan dan amaran bencana itu kepada orang ramai.

Bagaimanapun, agak mendukacitakan kerana maklumat tersebut tidak dimanfaatkan dan disebarkan kepada penduduk di kawasan bahaya banjir agar mereka dapat membuat perancangan dan persediaan yang sesuai.

Tentunya ramai yang kurang pengetahuan atau pendedahan mengenai sistem tersebut dan ia perlu giat dipromosi pada masa akan datang sebagai langkah tambahan untuk berjaga-jaga dengan bencana banjir.

Kini pihak-pihak bertanggungjawab di Selangor usah malu untuk belajar bagaimana Kelantan dan negeri-negeri lain di Pantai Timur menangani bencana banjir kerana mereka lebih berpengalaman dan mempunyai sistem yang baik.

Pada masa sama, semua agensi berkaitan perlu lebih berkomunikasi dengan baik dan teratur dalam memberi amaran kepada orang ramai.

Disyorkan juga satu sistem amaran awal bencana mirip aplikasi MySejahtera yang boleh digunakan untuk mengurus dan mengurangkan penularan wabak Covid-19 dapat dibangunkan mulai sekarang bagi mendidik orang ramai agar lebih peka dan bersedia dengan sebarang keadaan cuaca.

Dengan sistem amaran lebih kukuh dan efisien, orang ramai mampu bersiap siaga lebih awal mendepani bencana dan mengelak daripada terperangkap di lokasi tertentu akibat banjir. Selain itu, ia juga dapat memberikan masa yang cukup kepada penduduk terlibat untuk bertindak serta mengurangkan kerugian harta benda dan kehilangan nyawa.

Apa pun, tiada gunanya memiliki sistem yang canggih jika tiada kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk memelihara alam sekitar.

Kikis sifat suka membuang sampah di merata tempat yang berisiko menyebabkan longkang tersumbat dan aliran air tersekat. Perlu ada gaya hidup lebih lestari dan menyayangi alam sekeliling.
Di samping itu, perlu ada persiapan menyediakan struktur dan sistem perparitan lebih baik bagi menampung lebihan air berikutan ketidaktentuan cuaca ekoran kesan perubahan iklim.

MOHD. SALLEH OSMAN, Presint 16, Putrajaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya