fbpx

28 Januari 2022, 4:41 pm

  TERKINI

Guru usah malu, canggung bersahabat dengan murid

GURU boleh meletakkan diri mereka sebagai sahabat kepada murid terutama sewaktu mereka di sekolah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENETAPAN jurang yang besar antara guru dan murid mengikut sistem pendidikan lama adalah tidak lagi sesuai dipraktikkan.

Jurang masih perlu diwujudkan tetapi harus dikecilkan sedikit saiznya.

Ia perlu diisi dengan kemesraan dan jalinan lebih erat. Murid boleh menjadikan guru sebagai idola dan seterusnya mengangkat mereka sebagai sahabat.

Sahabat ialah insan yang sentiasa bersama kita sewaktu senang mahupun susah dan akan menolong sekiranya kita dilanda kesusahan.

Sahabat ialah orang yang paling memahami dan mengerti apa yang kita rasakan.

Sahabat ialah orang yang paling setia dalam kehidupan kita selain anggota keluarga dan sanak saudara.

Melihat kepada definisi ini, guru boleh meletakkan diri mereka sebagai sahabat kepada murid terutama sewaktu mereka di sekolah.

Tidak salah untuk bergurau dan berswafoto dengan murid sekiranya cara itu boleh menjadikan murid mahu bersahabat dengan guru.

Apabila ikatan yang erat terjalin antara guru dan murid, sudah pasti proses pembelajaran seperti subjek Matematik akan menjadi lebih mudah.

Murid yang berasa mereka terpinggir sebelum ini kerana berkebolehan rendah mungkin akan lebih yakin untuk berhadapan dengan guru yang sebelum ini mereka jauhi.

Di sinilah konsep bersahabat dengan murid memainkan peranan sangat besar.

Senarai rakan di akaun media sosial peribadi milik guru dipenuhi dengan murid.

Banyak yang guru boleh kongsikan seperti pencapaian murid, kisah suka dan duka mereka yang diharungi bersama serta perkembangan terkini di sekolah.

Cara olahan yang santai menjadikan murid tidak segan meninggalkan kata-kata di ruangan komen.

Persoalannya, apakah kebaikan perkara ini kepada sistem pendidikan? Apa yang guru dan murid dapat?

Adakah untuk berseronok dan berhibur sahaja? Semestinya tidak.

Guru dapat memikat hati murid untuk terus rapat dan seterusnya kekal mencintai ilmu.

Sudah pasti, seakrab mana pun hubungan guru dengan murid, pasti di hujung bicara akan dilimpahkan dengan kata-kata semangat, nasihat dan motivasi.

Sesi pembelajaran akan penuh dengan gelak ketawa dan tidak membosankan, namun perlu ada batasan.

Perjalanan mengejar ilmu jangan dibiarkan mengongkong rasa bahagia murid.

Jangan pernah mengasingkan dan memberi ruang kepada mereka untuk rasa tersisih.

Guru boleh memilih tajuk bersesuaian untuk mereka. Contohnya, tajuk yang tidak memerlukan pengiraan menggunakan formula seperti perlu ada kepakaran melukis lebih daripada mengira.

Terdapat guru yang menyediakan alat tulis untuk muridnya. Bersahabat bukan? Jadi, apa salahnya bertindak sedemikian?

Guru membuat kumpulan kecil supaya perhatian lebih dapat diberikan. Murid perlu dipandu, perlu dibantu, satu demi satu.

Kadangkala murid hanya mampu siapkan satu soalan. Masa selebihnya, guru melayani murid dengan bercerita tentang kerja sampingan yang mereka buat demi kelangsungan hidup.

Guru sentiasa akan memuji dan menyelitkan kata-kata semangat supaya dapat membakar rasa keinginan mereka untuk berjaya.

Tugas sebagai guru berakhir di pintu pagar sekolah, namun sekiranya guru dan murid bersahabat, hubungan itu akan lebih erat terjalin selamanya sehingga mereka berjaya suatu hari kelak.

Oleh itu guru-guru, bersahabatlah dengan murid. Pikat hati mereka untuk berkasih dengan ilmu.

SHARIFAH INTAN NATALIA SYED ABDUL BAHARI, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN