Bersatu sukar tawan Melaka - Utusan Malaysia

Bersatu sukar tawan Melaka

BERSATU akan mengalami kekalahan teruk dalam PRN Melaka jika meletakkan calon.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BERDASARKAN statistik keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai kekuatan yang seimbang. BN berjaya memenangi dua kerusi Parlimen sementara empat dimenangi oleh PH.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, BN memperoleh 13 kerusi manakala 15 dimenangi oleh PH. Pas pula gagal memenangi sebarang kerusi bagi kedua-dua Parlimen dan DUN.

BN (UMNO) dilihat mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menang dalam PRN Melaka berbanding mana-mana parti dalam PN.
Justeru, amat wajar sekiranya BN bertindak untuk bertanding secara bersendirian di samping turut mengharapkan sokongan daripada penyokong Pas dan juga segelintir penyokong daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Politik melibatkan strategi dan bukan sekadar analisis cakap-cakap kosong tanpa sebarang perancangan yang strategik.

BN khususnya UMNO mempunyai penyokong dari akar umbi yang begitu kuat. Begitu juga halnya dengan Pas.

Meskipun Pas gagal memenangi sebarang kerusi di Melaka, tetapi parti tersebut turut mempunyai penyokongnya yang tersendiri.

Bagaimanapun, terdapat pelbagai suara sinis menyatakan bahawa Pas hari ini dilihat menjadi platform parti tertentu untuk ke puncak kuasa melalui sokongan penyokongya seperti yang dibuktikan dalam beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) pasca PRU-14.

Kemenangan demi kemenangan dicapai dalam PRK memberikan gambaran bahawa sokongan daripada penyokong Pas mampu menjadi kunci kemenangan.

Dalam PRK tersebut, Pas dilihat lebih banyak bertolak ansur dengan parti-parti politik tertentu dengan tidak meletakkan calon bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri.

Justeru, adalah wajar sekiranya Pas turut mengambil tindakan dengan tidak meletakkan calon dalam PRN Melaka.

Umum mengetahui Melaka bukan medan yang mampu memberikan kemenangan besar buat Pas. Oleh itu, Pas dilihat lebih mengambil pendekatan ‘musuh kepada musuh kita adalah kawan’ bagi mengelakkan Melaka dikuasai PH.

Berbanding dengan Bersatu yang menang dalam PRU-14 bersama PH. Parti tersebut tidak mempunyai penyokong akar umbi. Kemenangannya banyak dibantu oleh penyokong PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Strategi PH dalam PRU-14 menggunakan logo PKR turut menjadi faktor kepada kemenangan calon-calon daripada Bersatu.

Bersatu akan mengalami kekalahan teruk dalam PRN Melaka sekiranya turut meletakkan calon.

Sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru di antara PN, BN dan PH, maka peluang kemenangan lebih berpihak kepada calon BN atau PH. Sekiranya berlaku pertembungan dua penjuru maka BN berpeluang untuk kembali menguasai Melaka.

Terdapat beberapa kawasan seperti DUN Gadek, Durian Tunggal, Klebang yang dimenangi PH dalam PRU-14 mampu dikuasai BN sekiranya Pas jitu menyokong BN sepertimana yang disepakati dalam Muafakat Nasional. PRN ini juga menjadi medan ujian politik Melayu menghadapi PRU-15.

Justeru, adalah wajar kawasan yang dimenangi sebelumya dalam PRU-14 diberikan kepada parti yang menang, manakala kawasan yang kalah diberikan kepada parti yang memperoleh undi tertinggi. Di Melaka, Pas tidak menang sebarang kerusi dan tidak juga memperoleh undi tertinggi.

PH juga mempunyai peluang untuk menang PRN Melaka dengan kembalinya sokongan pengundi kepada calon Bersatu ke pangkuan PH.

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) juga bertindak untuk tidak bertanding. Ini memberikan peluang terbaik buat PH untuk menguasai Melaka.

DR. ILYAS ABDULLAH, UiTM Pahang Kampus Raub

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN