Sokong sambung semula projek HSR - Utusan Malaysia

Sokong sambung semula projek HSR

INDONESIA lebih maju berbanding Malaysia dari segi pembinaan projek kereta api berkelajuan tinggi. – IHSAN KCIC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SATU perkembangan menarik apabila dua bekas Perdana Menteri menyentuh mengenai projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dalam ucapan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Datuk Seri Najib Tun Razak mengesyorkan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dihidupkan semula mengikut perancangan asal manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkannya disambung sehingga Thailand.

Mengikut perkembangan terbaru, kajian daya maju projek HSR domestik telah siap dan menunggu masa untuk dibentangkan ke Kabinet.

Buat masa ini, rancangan membina HSR domestik ke Johor lebih sesuai diteruskan dengan memanfaatkan jajaran yang telah dirancang sebelum ini, iaitu bermula di Bandar Malaysia dengan terminal terakhir di Iskandar Puteri.

Projek berimpak tinggi ini akan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan di peringkat profesional dan berkemahiran tinggi serta separa mahir semasa fasa pembinaan dan ketika fasa pengoperasian.

Sekarang adalah masa sesuai untuk memulihkan kembali ekonomi yang berdepan dengan situasi suram disebabkan pandemik Covid-19 selain menaikkan nilai hartanah di bandar-bandar utama di koridor selatan sepanjang laluan HSR.

Destinasi pelancongan menarik seperti Taman Tema Legoland Malaysia dan Puteri Harbour boleh diakses dengan pantas dari Lembah Klang menggunakan perkhidmatan HSR sekali gus merancakkan aktiviti pelancongan domestik.

Pelaksanaan projek infrastruktur pengangkutan awam dapat meningkatkan keupayaan syarikat tempatan hasil daripada pemindahan teknologi.

Contoh terbaik ialah SMH Rail Sdn. Bhd. (SMH Rail) yang mendapat manfaat daripada program kerjasama industri (ICP) melalui pemasangan tren elektrik tanpa pemandu untuk projek MRT Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya.

Syarikat berkenaan kini sudah mampu mengeksport lokomotif buatan Malaysia serta membida untuk membekal tren elektrik ETS3 dan sistem penggerak penumpang automatik (APM) untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

SMH Rail menggaji ramai pekerja tempatan yang mempunyai kemahiran tinggi dalam memasang tren.

Jika projek HSR dihidupkan semula, syarikat tempatan berpeluang menjalin kerjasama dengan ­firma terkemuka dunia untuk pemasangan stok guling (rolling stock) kereta api laju.

Pembinaan laluan rel baharu ke Johor juga diharap dapat mengurangkan masalah kesesakan teruk di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) terutama ketika musim cuti perayaan. Kesesakan sebegini amat memenatkan selain membazir masa dan bahan api.

Walaupun ketika ini projek pembinaan landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru sedang giat dibina dan dijangka siap pada 2023 tetapi tidak melalui bandar-bandar utama seperti Muar dan Batu Pahat.

Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Melaka pula terletak agak jauh dari pusat bandar raya yang menjadi tumpuan pelancong.

Pengangkutan rel mempunyai kelebihan tersendiri berbanding pengangkutan udara iaitu stesennya lebih dekat dengan pusat bandar sekali gus menjimatkan masa serta lebih mesra alam.

Semoga Malaysia dapat menuruti jejak negara jiran serantau seperti Indonesia dan Thailand dengan memiliki sistem pengangkutan rel yang cekap dan moden seperti HSR.

M. FAISAL, Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya