Sampai bila perlu naik sampan berlubang? - Utusan Malaysia

Sampai bila perlu naik sampan berlubang?

PENOREH getah adalah antara golongan yang paling terjejas akibat Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

WABAK Covid-19 menyusahkan semua lapisan masyarakat di Malaysia dan seluruh dunia. Ada yang menyatakan kita semua berada di atas kapal sama.

Tetapi ini tidak benar. Kita berada dalam lautan sama, dalam ribut yang sama, tetapi golongan terkaya berlayar atas kapal mewah, manakala golongan termiskin sebanyak 20 peratus terpaksa bergantung kepada sampan-sampan kecil yang berlubang.

Impak Covid-19 bukan seragam. Kesan wabak ini dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah membawa impak yang jauh lebih teruk kepada golongan tertentu.

Malangnya bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan adalah amat tidak mencukupi untuk golongan ini. Terdapat empat golongan marhaen mengalami kesan yang teruk sekali.

Pertama, golongan miskin bandar. Mereka ialah pekerja di sektor-sektor informal. Mereka merangkumi pekerja harian di kedai makan, pasar, pembinaan, pengangkutan dan sektor-sektor lain.

Pekerja harian atau pekerja kontrak ini tidak dilindungi oleh jaringan keselamatan sosial seperti skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Apabila kehilangan kerja, mereka sekeluarga tiada sebarang bantuan kerajaan selain daripada Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sebanyak RM3,000 bagi keluarga berpendapatan rendah (B40) dalam tempoh 16 bulan lalu.

Ramai antara golongan ini tidak dapat menyertai skim i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra kerana tiada simpanan KWSP. Mereka juga tidak dilindungi oleh Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) kerana mereka bukan pencarum Perkeso.

Kedua, peniaga kecil yang berpendapatan kasar di bawah RM300,000 setahun. Ramai dalam kalangan mereka berniaga di tepi jalan atau pasar malam, pasar tani dan sebagainya.

Penguncupan pendapatan pekerja biasa yang merupakan pelanggan bagi golongan peniaga kecil telah menyekat permintaan pasaran untuk produk mereka.

PKP yang diisytiharkan berulang kali menyebabkan pasar dan bazar ditutup lalu menyusahkan lagi situasi golongan peniaga kecil.

Mereka tidak layak untuk skim SIP kerana bukan pencarum Perkeso. Mereka juga disingkir daripada skim pemindahan wang tunai kerana golongan didaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tidak layak untuk skim BPR.

Ketiga, penoreh getah, pekebun kelapa sawit, pesawah dan nelayan.

Sebelum serangan Covid-19 pun, golongan ini adalah antara yang termiskin. Sekatan pergerakan dan pengecutan pasaran untuk pengeluaran pertanian telah menjejaskan pendapatan golongan ini.

Mereka tidak layak mendapat SIP dan juga tiada simpanan KWSP untuk dikeluarkan di bawah skim i-Lestari dan sebagainya.

Keempat, golongan anak muda berusia antara 18 hingga 30 tahun.

Sebelum 2020 lagi, anak muda menghadapi banyak masalah dalam mendapatkan kerja setimpal dengan pendidikan mereka dan gaji sewajarnya untuk membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sebelum Covid-19 pun, kadar pengangguran anak muda adalah tiga kali lebih tinggi daripada kadar pengangguran keseluruhannya. Jika mendapat kerja pun, kebanyakan jawatan adalah secara kontrak dan tidak terjamin.

Kerja-kerja sebegini pula tidak menawarkan sebarang perlindungan sosial. Adalah dianggarkan kira-kira dua juta anak muda menghadapi masalah ketiadaan kerja atau mempunyai kerja yang tidak terjamin.

Untuk mengatasinya, kerajaan perlu melaksanakan Skim Jaminan Pendapatan Keluarga dengan memasukkan RM1,000 sebulan ke dalam akaun bank keluarga yang kehilangan punca pendapatan mereka.

DR. JEYAKUMAR DEVARAJ, Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN