Peluang jemaah lihat batu aneh - Utusan Malaysia

Peluang jemaah lihat batu aneh

BATU gergasi yang seolah-olah dipotong oleh cahaya laser di Tayma, Arab Saudi. – MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DIHARAPKAN bakal jemaah haji dan umrah yang berpeluang melaksanakan ibadat itu sedikit masa lagi dapat meluangkan masa untuk melawat kawasan Pembentukan Batuan Al Naslaa, iaitu satu kawasan tarikan pelancongan baharu di Tayma, Arab Saudi.

Ia adalah kawasan oasis yang mempunyai batu-batu gergasi berusia 4,000 tahun yang seolah-olah dipotong oleh cahaya laser sedangkan manusia pada zaman dahulu tidak mempunyai teknologi sedemikian.

Terdapat juga ukiran petroglif pelbagai jenis binatang pada batu berkenaan.

Pada zaman dahulu, penduduk majoriti di Tayma ialah orang Yahudi dan kawasan itu juga pernah ditawan raja terakhir Babylon, Nabonidus selama 10 tahun.

Daripada melawat ladang-ladang unta dan membeli-belah yang mungkin terdedah kepada jangkitan Covid-19 kerana sukar untuk mematuhi penjarakan ­fizikal, kawasan tarikan baharu ini adalah lebih selamat kerana terletak di kawasan lapang.

Kawasan yang terletak kira-kira lapan jam berkereta dari Riyadh, 400 kilometer (km) di utara Madinah dan 264 km dari Tabuk telah banyak dikaji oleh ahli geologi yang sehingga kini tidak dapat memberikan jawapan tepat kenapa fenomena itu boleh berlaku.

Terdapat pelbagai teori punca fenomena itu termasuk faktor cuaca.

Berikutan kedudukan tapak batu yang semakin mengecil, ia dijangka tumbang pada bila-bila masa sahaja.

Bagi saya, itu adalah satu contoh keajaiban alam ciptaan Allah SWT yang jika direnung akan membuat kita lebih dekat dengan-Nya.

Pada masa sama, jemaah haji boleh meneruskan lawatan ke tempat tidak berisiko jangkitan penyakit seperti Bukit Uhud iaitu medan perang kedua tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah SAW menentang tentera suku Quraisy selepas Perang Badar.

Mereka juga boleh melawat masjid pertama dibina dalam sejarah Islam iaitu Masjid Quba’ dan Masjid Qiblatain, iaitu masjid yang pernah berkiblatkan Baitulmuqaddis.

HAJI MUSA, Taiping, Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.