SAUDARA PENGARANG,
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka bukan sahaja satu medan pertempuran politik yang menarik untuk diperhatikan tetapi bakal menyaksikan perubahan besar dalam jumlah dan demografik pengundi di seluruh 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Hal demikian ini kerana keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang menjelaskan bahawa pendaftaran automatik dan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun perlu dilaksanakan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan senarai pengundi baharu yang didaftarkan pada dua minggu lalu.
Kehadiran blok pengundi baharu ini bukan sahaja meningkatkan jumlah pengundi sehingga satu per tiga di Melaka, malah berupaya mengubah demografik pengundi di setiap DUN.
Penduduk Melaka yang sudah mencecah angka satu juta orang memainkan peranan besar dalam menjana perubahan ini. Kerusi-kerusi DUN yang selama ini menjadi kubu kuat UMNO dan DAP barangkali bakal teruk tercabar disebabkan perubahan pola pengundi di setiap kawasan.
DUN di kawasan Parlimen Masjid Tanah berkemungkinan besar tidak akan mengalami banyak perubahan kerana purata jumlah pengundi baharu sekitar 2,000 orang. Dibandingkan kawasan DUN Paya Rumput (Parlimen Tangga Batu) dan Kesidang (Parlimen Kota Melaka) yang menyaksikan penambahan jumlah pengundi melebihi 13,000 orang.
Begitu juga DUN Telok Mas dengan penambahan sekitar 7,000 pengundi, DUN Duyong (6,000), DUN Sungai Udang dan Pantai Kundor (4,000), DUN Bukit Katil (8,000), DUN Ayer Molek (5,000), DUN Asahan (4,000), DUN Durian Tunggal (5,000), DUN Serkam serta DUN Merlimau (4,000).
Penambahan yang jelas ini sudah semestinya bakal mengubah rentak dan atur cara permainan politik pada PRN akan datang.
Sejajar dengan penambahan jumlah pengundi baharu, komposisi pengundi mengikut kaum dan kelas ekonomi juga akan mengalami perubahan drastik. Ini bermakna DUN yang dalam proses urbanisasi bakal menyaksikan perubahan politik yang sepatutnya sudah lama diramal.
PRN ini mampu membentuk ledakan maha dahsyat terhadap aturan politik Malaysia ekoran kemasukan blok pengundi muda masih lagi belum dapat dipecahkan kebuntuan mengenai dinamik, arus pemikiran dan kehendak politik mereka.
Disebabkan pengabaian sekian lama oleh pemegang-pemegang taruh dalam politik terhadap golongan belia ini, maka mereka bakal menjadi bom jangka yang bakal meledak sama ada pada PRN Melaka, Sarawak atau Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Kehendak dan keperluan mereka jelas berbeza. Sehubungan itu, apa sahaja yang menjadi tumpuan di medium ini bakal berupaya menggoncangkan medan pertempuran politik.
Generasi TikTok ini sudah semestinya berupaya menjadi king maker dalam pilihan raya-pilihan raya akan datang.
SHAHRUL SHAHABUDIN, Pelajar Sarjana Sains Politik, Universiti Kebangsaaan Malaysia