DBP punca silap terjemah hadis? - Utusan Malaysia

DBP punca silap terjemah hadis?

KAJIAN oleh Institut HeartMath dari Amerika Syarikat mendapati emosi dan perasaan manusia berpusat di jantung dan bukannya hati. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin memetik sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika sekiranya daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Namun, jika seandainya daging tersebut rosak, maka rosaklah seluruh anggotanya. Daging yang dimaksudkan adalah hati.”

Jika dilihat terjemahan daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu, ia selaras dengan istilah diberikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menyatakan hati ialah pusat segala perasaan batin yang sinonim dengan jiwa, roh, emosi dan kalbu.

Sebenarnya, seketul daging yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW itu ialah jantung dan bukan hati seperti yang diguna DBP sekarang. Ini selari dengan kajian saintifik terkini.

Para cendekiawan Barat meletakkan heart (jantung) tepat pada fungsi organ tersebut sebagai gedung perasaan, emosi, naluri dan nafsu.

Hati atau dalam bahasa Inggeris, liver merupakan suatu organ dalaman manusia yang berfungsi meleraikan kolesterol sementara jantung pula ialah pam yang menjadi sumber aliran darah ke seluruh anggota tubuh badan. Hatta, di sini yang dikatakan mahkota atau istana ilusi dan perasaan.

Jantung yang menentukan sama ada seseorang itu hidup ataupun mati. Justeru, penggunaan kata nama hati bagi menggambarkan perasaan, tingkah laku dan sifat manusia seperti yang disarankan DBP adalah tidak tepat.

Saya juga mendapati kata nama hati digunakan secara berleluasa oleh pelbagai golongan sejak zaman-berzaman daripada anak muda hingga tua tanpa mengetahui jantung sebenarnya seketul daging di dalam diri manusia yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW.

Sekiranya ia baik, maka baiklah segala amalan. Jika ia buruk, maka buruklah segala amalannya.

Tafsiran bahasa dari pelbagai sumber bahasa lain dalam dunia hiburan dan perfileman tidak boleh disamakan tafsiran bahasa Arab dari kitab suci seperti al-Quran.

Ini kerana Islam mengimani ayat-ayat suci itu adalah dari Tuhan yang Maha Esa dan tidak mungkin ada perdebatan mengenai maksud dan pernyataannya.

Tidak mungkin Allah SWT meletakkan iman di hati yang berfungsi meleraikan kolesterol seperti yang ditafsirkan oleh para cendekiawan terdahulu walhal kajian saintifik menyatakan sebaliknya.

Justeru, saya mohon jasa baik DBP dan pejabat agama Islam di negeri-negeri agar mengambil pendekatan drastik dengan menggantikan dengan perkataan lebih sesuai seperti jiwa atau kalbu, jika tidak mahu menggunakan kata nama jantung.

Kekeliruan penggunaan ayat yang jauh menyimpang dari maksud sebenar perlu dibendung secepat mungkin di awal waktu yakni di siang hari dan bukannya menunggu sehingga ke masa senja.

Istilah betul berasaskan ilmu adalah khazanah berharga yang perlu diwarisi dari generasi sekarang kepada generasi mendatang.

Selain itu, diharapkan DBP meneruskan fungsinya bagi membina, memperkasa dan mengutuhkan bahasa kebangsaan dalam semua bidang sekali gus dapat dijadikan rujukan masyarakat majmuk di Malaysia.

MOHD. SAIFUL SURASH ABDULLAH, Seri Manjung, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN