fbpx

Wujud kaedah pengesanan automatik

APLIKASI MySejahtera perlu ditambah baik supaya boleh dihubungkan dengan peralatan pengesanan automatik. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 19 September lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mendedahkan pihaknya mengesan sebanyak 523 daftar masuk kebanyakannya di pasar raya melalui aplikasi MySejahtera dalam tempoh seminggu oleh individu yang sepatutnya menjalani perintah pengawasan di rumah (HSO).

Ini menunjukkan individu yang positif Covid-19 atau berstatus kontak rapat tidak mematuhi peraturan ditetapkan, manakala pemilik premis dan pengawal tidak melakukan pemeriksaan dengan betul.

Oleh itu, sudah sampai masanya inovasi baharu dibuat bagi mewujudkan kaedah pengesanan secara automatik untuk memastikan pemilik premis dan pengawal tidak perlu membelek telefon bimbit setiap pengunjung satu persatu.

Sepatutnya setiap premis sudah mempunyai peralatan yang dapat mengesan secara automatik status individu berisiko sebaik sahaja mereka menekan butang daftar masuk MySejahtera.

Gajet ini boleh mengeluarkan bunyi amaran bagi memaklumkan kepada pengawal supaya menghalang individu terbabit memasuki premis.

Keadaan ini boleh disamakan seperti kita berada di balai perlepasan lapangan terbang yang terdapat pintu bertiang dengan tujuan mengimbas badan kita sama ada mempunyai barang terlarang seperti senjata api ketika memasukinya.

Ia bukan bertujuan memalukan sesiapa tetapi lebih kepada langkah mencegah kemasukan individu yang boleh membahayakan orang lain.

Peralatan seperti ini boleh mengurangkan kadar jangkitan sekali gus menambah ciri-ciri keselamatan kesihatan dan meningkatkan kebolehpercayaan para pengunjung di setiap premis perniagaan.

NURUL ZAMRATUL ASYIKIN AHMAD & ROSZI NASZARIAH NASNI NASERI, UiTM Melaka Kampus Alor Gajah.

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN