fbpx

Pensyarah bukan setakat mengajar

MEMBERI khidmat sokongan terbaik kepada mahasiswa adalah antara peranan pensyarah yang perlu diberi perhatian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, 

SEPANJANG tempoh penularan pandemik Covid-19, kaedah dan suasana pembelajaran konvensional telah berubah sepenuhnya. Pelbagai inisiatif seperti tutorial, program mobiliti dan peperiksaan diusahakan bagi memastikan pelajar dapat mengikuti kuliah dan aktiviti akademik.

Di sebalik laporan media sebelum ini berhubung kemurungan dan tekanan pelajar sehingga membawa kepada kematian, hakikatnya  terdapat juga mahasiswa yang menangguhkan pengajian, tidak dapat mengikuti kuliah akibat kekangan internet, tidak membuat tugasan dan tidak menduduki peperiksaan akhir sehingga mendapat keputusan gagal. Secara tidak langsung ini menunjukkan mahasiswa kita sedang mengalami ketidakstabilan emosi dan keadaan mental tidak sejahtera.

Faktor lain seperti kesukaran berhubung atau berbincang dengan rakan kuliah, limitasi kebolehcapaian internet, kesukaran membuat rujukan ilmiah, tuntutan tugasan yang banyak mahupun masalah keluarga juga menyumbang kepada gangguan emosi dan mental pelajar.

Sebagai individu yang rapat, pensyarah menjadi sistem sokongan penting dalam memastikan kesejahteraan mental mahasiswa berada dalam keadaan baik dan terkawal. Pensyarah perlu kreatif menyediakan bahan dan aktiviti kuliah yang lebih interaktif, ringkas selain peka dengan keperluan mahasiswa. Membuat rakaman bagi sebahagian kandungan kuliah boleh dijadikan alternatif dalam mengurangkan jumlah masa dan membolehkan mereka  belajar pada waktu senggang.

Pendekatan lebih mesra dan santai dapat menyentuh aspek psikologi. Sering bertanya atau berkongsi masalah dihadapi sepanjang kuliah juga dapat membantu meringankan beban tugas dan emosi. 

Pensyarah perlu bersedia pada bila-bila masa untuk dihubungi dan menghubungi pelajar. Pensyarah juga boleh membekalkan contoh  tugasan terdahulu supaya dapat menjadi panduan dalam menyediakan tugasan.

Selari dengan Revolusi Industri (IR) 4.0, pensyarah perlu meluaskan medium komunikasi seperti menggunakan pelbagai aplikasi sebagai perantara. Sedikit sebanyak ia membantu mahasiswa menguasai aspek teknologi maklumat dan komunikasi selari dengan keperluan industri semasa.

Perhatian dan pendekatan psikologi perlu diutamakan semasa berinteraksi dengan mahasiswa agar mereka dapat beradaptasi dengan pembelajaran norma baharu dan paling penting dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Kerjasama pensyarah dengan penasihat akademik pelajar dan unit kaunseling universiti juga boleh memantapkan lagi sistem sokongan kesejahteraan mental mahasiswa. Hakikatnya tugas pensyarah bukan sahaja menjalankan penyelidikan, penerbitan dan perundingan malah melahirkan modal insan berketerampilan bagi meneruskan pembangunan negara juga perlu diutamakan.  

PROF. MADYA DR. KHAIRUNESA ISA, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Umum & Komunikasi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN