Bagi kerjasama ketika banci penduduk - Utusan Malaysia

Bagi kerjasama ketika banci penduduk

MOHD. Uzir diiringi sebahagian Pegawai Urusetia Banci 2020 turun padang ke rumah-rumah responden di Taman Wawasan, Pusat Bandar Puchong, baru-baru ini. -UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEBELUM ini, Ketua Perangkawan yang juga Pesuruhjaya Banci Penduduk 2020, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin mendedahkan sebanyak  15.6 juta rakyat Malaysia dikesan belum melengkapkan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 sehingga 27 April lalu.

Berdasarkan statistik itu, hanya 17.1 juta iaitu 52.1 peratus isi rumah termasuk bukan warganegara dibanci menerusi kaedah dalam talian, e-Census dan secara bersemuka.

Seperti diketahui umum, pelaksanaan banci amat penting dalam mengenal pasti saiz, taburan, komposisi dan ciri sosioekonomi penduduk serta perumahan di negara ini. Maklumat yang diperoleh akan digunakan untuk merancang, menggubal dan melaksanakan polisi kerajaan bagi tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat pada masa hadapan.

Jadi, saya tidak melihat mengapa ada segelintir rakyat yang enggan memberi kerjasama sekiranya ada pegawai datang ke rumah untuk membuat bancian. Malah, ada juga mereka yang tidak memberi maklumat tepat. Tidakkah mereka tahu melalui data banci terkini dan komprehensif akan menjadi sumber utama dan penting dalam penyediaan rancangan pembangunan negara? 

Lagipun ia dilakukan dalam tempoh setiap 10 tahun dalam memberi gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa bagi menjadi sumber rujukan dan asas penting kepada perancangan pembangunan negara.

Bayangkan sekiranya kawasan perumahan yang anda tinggal kini terdapat peningkatan kanak-kanak berumur antara 7 dan 12 tahun, jadi melalui data yang dikumpul membolehkan kerajaan merancang untuk menambah sebuah lagi sekolah rendah dan menengah dalam menampung keperluan pelajar tanpa ibu bapa perlu menghantar anak ke sekolah di luar kawasan kerana sekolah sedia ada sudah penuh.

Begitu juga fasiliti kesihatan, pengangkutan awam dan sebagainya. Data-data ini amat penting bagi membolehkan rakyat hidup dalam suasana  harmoni dan menikmati manfaat daripada peruntukkan kerajaan.

Sekiranya takut ditipu atau was-was apabila berhubung secara terus dengan pegawai banci di rumah, anda boleh menggunakan aplikasi mudah alih untuk mengisi maklumat semasa sesi temu ramah secara dalam talian atau melalui laman sesawang http://ecensus.mycensus.gov.my.

NAZ KHALID, Bagan Serai, Perak

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya