SPRM alat PN untuk hentam, ugut ahli parlimen? - Utusan Malaysia

SPRM alat PN untuk hentam, ugut ahli parlimen?

SYED Saddiq semalam mendakwa pertuduhan menyeleweng dana sebuah parti politik membabitkan jumlah RM1.2 juta yang dikenakan ke atasnya merupakan satu muslihat lain untuk memaksanya menyokong PN. UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DAKWAAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  sebagai alat Perikatan Nasional (PN) untuk mengugut ahli Parlimen adalah tidak berasas. Faktanya, SPRM tidak pernah ‘memilih bulu’ terhadap sesiapa sahaja yang melakukan jenayah rasuah.

Masyarakat atau mana-mana pihak boleh lihat semula atau menyemak ‘track record’ SPRM dalam siasatan atau pertuduhan terhadap ahli politik menerusi laporan media.

Buktinya, kedua-dua belah ahli politik sama ada kerajaan ataupun pembangkang tetap akan disiasat oleh SPRM jika disyaki terlibat dalam siasatan kes rasuah.  Malah, SPRM juga pernah mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes  1Malaysia Development Berhad (1MDB)  dan sudah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

Tohmahan menyatakan SPRM sebagai alat politik ini menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap suruhanjaya ini. Sepatutnya sebagai rakyat yang bertanggungjawab dan ikhlas memerangi rasuah, mereka perlu memberi sokongan kepada SPRM dengan sepenuh hati.

Dalam masa sama, SPRM  tidak pernah patuh kepada mana-mana arahan politik kerana suruhanjaya ini adalah berkecuali sebaliknya hanya melakukan siasatan dan keputusan untuk membuat pendakwaan bergantung kepada pejabat Peguam Negara.

Semua pihak harus menghormati fungsi SPRM sebagai  sebuah badan bebas dalam mengendalikan kes-kes rasuah.

Sebelum Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tokoh politik lain yang turut disiasat seterusnya didakwa ialah bekas Setiausaha Agung DAP merangkap bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng; bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mana kes mereka sedang dibicarakan di mahkamah.

Selain itu, tokoh politik lain yang turut disiasat oleh SPRM adalah Ahli Parlimen Putrajaya yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ; bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad; Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa; Naib Presiden PKR, Dr. Xavier Jayakumar; Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abd Samad; Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap bekas Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan. Jadi, tidak timbul motif politik dalam kes-kes ini.

Malah, suruhanjaya ini juga dipantau oleh lima badan bebas yang mana anggotanya terdiri daripada individu profesional yang mempunyai latar belakang berbeza sebagai mekanisme ‘semak dan imbang’.

Justeru, tidak timbul isu konspirasi politik kerana setiap siasatan yang dijalankan adalah berdasarkan akta yang diperuntukkan di bawah undang-undang tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.

Siasatan yang dijalankan oleh SPRM adalah profesional dan tidak pernah berpandukan kepada fitnah atau tohmahan semata-mata. Setelah siasatan selesai dan Kertas Siasatan (IP) lengkap dengan bukti-bukti kukuh, barulah ia dibawa Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan.

Biar mahkamah menentukan dan menjatuhkan hukum sama ada fitnah atau sebaliknya. Mahkamah akan buat keputusan berdasarkan bukti yang dikemukakan. Jika benar tidak bersalah, tidak perlu takut.

Tanggungjawab SPRM hanya menjalankan siasatan berdasarkan maklumat atau aduan yang diterima dan pertuduhan atau keputusan kes adalah bergantung kepada mahkamah, selaras dengan sistem pengasingan kuasa iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Oleh yang demikian, tidak timbul isu fitnah atau tidak adil kerana SPRM tidak akan campur tangan dalam mana-mana perkara di luar bidang kuasa SPRM dan hanya menjalankan tugas seperti yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

Pertuduhan ini adalah peluang untuk Syed Saddiq untuk membersihkan dirinya daripada tohmahan kerana beliau sebelum ini pernah menyatakan tidak akan menyorokkan apa-apa berkaitan isu ini dan berani kerana benar.

Malah sesiapa sahaja, bukan saja ahli politik  jika disiasat atau didakwa mereka perlu mengikut proses undang-undang yang sama dan berpeganglah pada prinsip ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’.

ADAM IDRIS, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.