Komunikasi sexting membimbangkan - Utusan Malaysia

Komunikasi sexting membimbangkan

SEBANYAK 88.7 peratus rakyat Malaysia menggunakan internet atas pelbagai urusan harian. - GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DAPATAN Kajian Pengguna Internet 2020 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati  88.7 peratus rakyat Malaysia menggunakan internet atas pelbagai urusan harian. 

Kajian itu mendapati lima aktiviti utama dilakukan rakyat Malaysia adalah komunikasi teks dan kemudian diikuti media sosial, menonton video, komunikasi video/suara dan mencari maklumat. 

Penglibatan meluas pengguna dalam aktiviti dalam talian pastinya mendedahkan pengguna kepada sexting (hantaran seks). 

Istilah sexting ini berasal daripada perkataan akar sext, iaitu kombinasi dua perkataan sex dan text yang membawa maksud komunikasi atau interaksi yang mengandungi mesej berunsur seksual atau lucah sama ada dari segi teks, gambar atau video. Sexting ini boleh berlaku dalam apa jua jenis peranti. 

Komunikasi sexting ini boleh berlaku dengan kebenaran kedua-dua pihak iaitu penghantar dan penerima  atau secara sehala, sebelah pihak sahaja iaitu penghantar tanpa mendapat persetujuan pihak penerima.

Komunikasi sexting dengan kebenaran dan persetujuan bersama biasanya melibatkan individu yang saling mengenali seperti suami isteri atau pasangan kekasih dan tidak terkecuali melibatkan kenalan sekolah atau rakan sekerja. 

Manakala komunikasi sehala berlaku dalam kalangan mereka yang saling tidak mengenali, bahkan  ada penerima tidak memberi tindak balas langsung terhadap mesej berunsur seksual yang diterima sekali gus menjadikannya sebagai mangsa kepada perlakuan tidak bermoral ini. 

Isu komunikasi sexting ini sering diperdebat dan diperbincangkan dalam kalangan ilmuwan Barat, namun atas faktor budaya dan ketamadunan, mereka mengangkat komunikasi ini suatu yang positif dan melihat sebagai bentuk manifestasi bagi menggambarkan keinginan seksual kepada seseorang bagi yang kurang keyakinan diri. 

Namun, mereka sependapat menolak budaya itu jika melibatkan kanak-kanak bawah umur. 

Malaysia yang menjunjung tinggi rukun kesopanan dan kesusilaan tidak menganggap budaya komunikasi sexting ini sebagai norma, tidak boleh diterima malah ia dianggap tabu. 

Perlakuan komunikasi sexting ini menjurus kepada lebih banyak kemudaratan antaranya menyumbang kepada perhubungan seksual sebelum berkahwin. Lebih membimbangkan apabila ia berlaku dalam kalangan remaja atau kanak-kanak.  Ini kerana,  bermula dengan komunikasi sexting dalam media sosial dikhuatiri akan membawa kepada hubungan seksual sebenar di luar. 

Data SKMM dalam Kajian Pengguna Internet 2020 menunjukkan penggunaan internet tertinggi adalah dari kumpulan umur 15 hingga 24 tahun yang mana golongan remaja dan belia ini dilihat lebih cenderung untuk terlibat dalam komunikasi sexting kerana pada usia begini rata-rata mereka masih di alam penerokaan mencari diri, suka mencuba dan mudah terpengaruh.

Justeru, usaha membendung masalah ini memerlukan penglibatan serius semua pihak kerana ia bukan sekadar penularan budaya komunikasi tidak sihat tetapi ia soal masa depan negara.

Memetik kata-kata tokoh ulama dunia, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, maka lihat pada golongan belianya, jika baik akhlaknya, maka akan baiklah masa depan negara itu, tetapi jika sebaliknya, maka negara tersebut akan lenyap.

SITI NASARAH ISMAIL, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya