SAUDARA PENGARANG,
MERUJUK forum bertajuk Fenomena asal raya, harga daging, ayam naik yang disiarkan dalam ruangan Forum Utusan Malaysia pada 27 April lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjelaskan bahawa dalam sistem ekonomi terbuka, harga barangan termasuk makanan basah dipengaruhi oleh permintaan dan bekalan, tidak semestinya menjelang Hari Raya Aidilfitri sahaja.
Harga akan naik jika permintaan tinggi tetapi bekalan tidak dapat memenuhi permintaan. Permintaan dan bekalan bukanlah sahaja faktor yang mempengaruhi harga. Faktor seperti iklim dan cuaca, harga makanan ternakan, kos pengangkutan serta pandemik juga mempengaruhi keseluruhan harga.
Sikap segelintir peniaga, pembekal dan pengeluar yang mengambil kesempatan turut menjadi faktor kenaikan harga. Berdasarkan data dari Penternak Ayam Utama Malaysia, bekalan ayam untuk rakyat sangat mencukupi dan tidak memerlukan pengimportan dari negara luar. Malah, ayam hidup keluaran negara di eksport ke Singapura. Begitu juga dengan telur ayam keluaran ladang-ladang di Malaysia.
Harga ayam sangat stabil ketika perayaan Tahun Baru Cina pada bulan Februari lalu. Ketika itu, ayam standard dijual pada harga RM7.50 sekilo, sama dengan harga pada tahun 2019 dan 2020.
Bahagian Penguat Kuasa dan Bahagian Harga Barangan Negara KPDNHEP mula mengesan kenaikan harga ayam standard pada akhir bulan Mac lalu terutama di pasar raya dan pasar raya besar. Harga ayam standard ketika itu mencecah RM9 per kilogram (kg) dan ada yang telah mencecah RM10 per kg di setengah tempat terpencil.
KPDNHEP mempercepatkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) untuk Hari Raya Puasa 2021 (HRP 2021) yang melibatkan ayam dan sebelas barangan lain yang menampakkan tanda-tanda kenaikan. SHMM HRP2021 akan bermula pada 21 April dan berakhir pada 20 Mei ini.
Sementara barangan utama keperluan Hari Raya Puasa yang lain seperti barang kering dan sayur-sayuran yang belum menerima tekanan dan kesan dari sudut permintaan dan harga, akan dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam senarai SHMMP menjelang hari raya.
Skim Harga Maksimum Musim Perayaan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) diperkenalkan bagi mengawal kenaikan harga yang tidak munasabah semasa musim perayaan dan secara tidak langsung mendatangkan manfaat kepada pengguna.
YUNUS TASIM
Ketua Komunikasi Korporat KPDNHEP










