Hikmah PKP, PKPB bagi calon SPM - Utusan Malaysia

Hikmah PKP, PKPB bagi calon SPM

Kerajaan perlu memberi ruang kepada pelajar untuk menceburi bidang kemahiran seawal tingkatan satu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

HANYA kira-kira sebulan persediaan calon untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 sebaik sahaja sesi persekohan 2021 dibuka kelak. Persoalannya, adakah masa sebulan itu memadai?

Saya sangat bersetuju dengan pendapat beberapa pihak yang menyatakan calon SPM sebenarnya mempunyai ruang waktu untuk mengulang kaji pelajaran dalam masa yang sangat lama.

Pertama, sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac lalu, para calon tidak dibiarkan membuang masa. Proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian terus berlangsung mengikut jadual walaupun waktunya mungkin dipendekkan sedikit. Silibus mata pelajaran berjaya dihabiskan mengikut perancangan yang dibuat oleh para guru.

Kedua, sebaik sahaja sekolah dibuka semula pada 24 Jun, guru-guru telah berusaha menghabiskan silibus, berjaya mengadakan ujian diagnostik dan peperiksaan percubaan SPM.

Ketiga, apabila sekolah ditutup sekali lagi mulai 14 Oktober khususnya di Lembah Klang dan di Sabah serta seterusnya di seluruh Malaysia, calon SPM terus dibimbing melalui kelas dalam talian di rumah masing-masing sehingga 18 Disember lalu.

Memang sepatutnya tidak timbul persoalan tidak cukup masa untuk menghadapi SPM kerana hanya sekolah ditutup tetapi pengajaran dan pembelajaran di rumah terus berlangsung.

Selain itu, terlalu banyak tuisyen dalam talian diusahakan oleh pejabat pendidikan daerah dan pejabat pendidikan negeri di seluruh negara. Malah, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) turut menghulurkan bantuan dengan menyumbang modul kertas latihan sebelum SPM.

Boleh dikatakan setiap hari pasti ada kelas tuisyen dalam talian berlangsung dalam saluran YouTube. Calon perlu bersyukur kerana PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini bukan musibah yang perlu ditangisi sebaliknya hikmah yang tidak ternilai harganya.

Mengapa saya berkata sedemikian? Penutupan sekolah sepanjang tempoh itu memberi ruang kepada calon untuk menyiapkan diri bagi menghadapi peperiksaan SPM. Calon boleh merangka jadual waktu belajar sendiri di rumah yang lebih fleksibel dan mempunyai tenaga serta masa yang banyak berbanding jika calon pergi ke sekolah. Mereka hanya perlu mempunyai data internet yang mencukupi.

Jika kurang berkemampuan, ibu bapa tidak perlu risau kerana anak-anak mereka mempunyai buku teks yang komprehensif asalkan mahu membacanya dan membuat latihan.

Saya yakin dan percaya bahawa guru-guru juga telah membekalkan anak-anak didik mereka dengan modul pembelajaran atau kertas model SPM sebagai usaha membantu mereka.

Kepada insan yang tercetus hatinya berkata bahawa guru-guru makan gaji buta, teruskanlah dengan pandangan salah tersebut. Sesungguhnya para guru tidak berdiam diri, mereka sentiasa memikirkan pendidikan pelajar kerana gaji guru dibayar kerana mengajar pelajar. Tanpa pelajar, siapalah guru.

HASIAH KASIM
Ibu calon SPM 2020, Kuala Lumpur

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×