Belajar dalam talian bukan sesuai semua bidang - Utusan Malaysia

Belajar dalam talian bukan sesuai semua bidang

ANIS Suhana Mohd. Shuhari,20, belajar secara dalam talian di rumahnya di Kampung Jelempok, Arau, Perlis.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MERUJUK kepada tulisan pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow pada 21 Disember lalu dalam ruangan Forum Utusan Malaysia bertajuk Jadikan belajar dalam talian amalan tetap. Saya bersetuju dengan semua pandangan beliau berkaitan kebaikan program tersebut.

Akan tetapi saya selaku orang yang kerap terlibat di lapangan sebenar, berpendapat belajar dalam talian hanya sesuai untuk kursus tertentu sahaja. Program kejuruteraan yang ditawarkan oleh universiti dan kolej tempatan (terutama mekanikal, sivil dan elektrikal) tidak dapat lari mesti memasukkan silibus praktikal dan mesti berhadapan dengan pensyarah di dunia nyata atas tiga alasan.

Pertama, bidang kejuruteraan sentiasa berkembang dan perkembangan ini menuntut perbincangan yang banyak di antara pensyarah dan pelajar. Perbincangan dalam talian boleh dibuat tetapi peratusan kejayaan dan kefahaman tidak sebaik ketika bersua muka.

Kedua, bidang kejuruteraan menuntut para pelajar untuk banyak mengenal komponen dan mesin. Kemahiran untuk mengguna dan membaik pulih peralatan berkenaan memerlukan sentuhan fizikal yang nyata dan berterusan.

Ketiga, bidang kejuruteraan tidak seperti bidang lain. Ia memerlukan kerjasama berkumpulan untuk menjayakan sesebuah projek. Sebagai contoh, projek penerokaan dasar laut memerlukan kepakaran jurutera pelbagai bidang seperti mekanikal, elektrikal, sivil, geologi, petroleum, perkapalan dan sebagainya.

Kerjasama itu perlu dilatih sejak di peringkat sekolah lagi jika kita betul-betul berminat untuk merealisasikan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang diperkenalkan oleh kerajaan dengan memperuntukkan RM6 bilion pada 2021.

Sebagai kesimpulan, saya merasakan kerajaan sepatutnya sudah arif dengan keperluan bagi kursus atau program di universiti tempatan terutamanya berkaitan pembelajaran dalam talian di mana hanya kursus tertentu sahaja yang sesuai.

Jika semuanya dibuat secara dalam talian, saya berpendapat kita hanya mampu melahirkan jurutera yang hebat di atas kertas dan dunia maya sahaja tanpa mampu menyahut cabaran di dunia nyata kelak.

IR. ROSLIAN EFENDY SYAFRIAL
Jurutera profesional di Singapura

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×