Dan kenyataan akhbar yang dikongsi di Twitter badan yang bertanggungjawab ke atas bahasa kebangsaan itu jika diikutkan sudah selang banyak hari selepas isu papan tanda jalan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang menggunakan tulisan bahasa selain bahasa Melayu kembali tular.

Justeru, tidak salah jika ada netizen yang mengandaikan DBP seperti perlu menunggu titah raja untuk tampil menegur isu papan tanda jalan yang sudah meresahkan ramai dan ini dapat dilihat di ruangan komen hantaran Twitter tersebut.

Antaranya:

“Tahniah. Tahniah. Tahniah tetapi kenapa selepas DYMM Sultan Selangor murka berkenaan tanda nama jalan dalam bahasa Cina, baru DBP berani bersuara,”

Malah ada juga yang sinis berbaur kekecewaan menghantar komen “Better late than never” di samping “Tahniah, akhirnya ada kenyataan tentang isu bahasa.”

Apa yang berlaku semalam, harus memberi titik noktah perkara ini. Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan menerusi Perkara 152 dan perinciannya ada di dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

Akta ini hanya ada 11 seksyen, tidak panjang dan boleh difahami oleh sesiapa sahaja tanpa perlu menunggu Peguam Negara atau mahkamah untuk mentafsir isi kandungannya.

Senang cerita, bahasa kebangsaan hendaklah digunakan maksud rasmi - Seksyen 2 Akta bahasa Kebangsaan.

Yang memegang amanah dalam pentadbiran baik di dalam jabatan kerajaan, PBT mahupun DBP, jangan takut menegur orang politik yang ada kalanya hanyut tentang apa yang boleh dan apa yang tidak. 

Betul, DBP memang tiada kuasa penguatkuasaan tetapi rajin-rajinlah bersuara dan kalau perlu biar lantang dan keras, jangan risaulah kedudukan di kerusi empuk. Rakyat menyokong tindakan mempertahankan Perlembagaan. -UTUSAN ONLINE