Seramai lapan pengganas dalam enam serangan berasingan telah membunuh kira-kira 129 orang dan mencederakan beratus orang awam lain.

Kejadian serangan berani mati yang pertama seumpamanya bagi Perancis mencetuskan gelombang kekejaman yang menggugat keamanan sebuah negara dan mengejutkan dunia.

Semakin banyak persoalan dikemukakan mengenai siapa atau apa yang menjadi punca kejadian tersebut, semakin jelaslah bahawa semuanya angkara kumpulan militan Islamic State atau IS. Penyusupan mereka ke negara-negara Eropah Barat khususnya, telah menimbulkan keresahan yang tidak terhingga di kalangan pihak keselamatan, pemimpin politik dan orang awam.

Fenomena tersebut juga menimbulkan kesan serius terhadap nasib pelarian warga Syria yang kini membanjiri Eropah. Laporan awal media menyatakan bahawa salah seorang penyerang yang terlibat ialah pelarian Syria yang masuk melalui Greece menggunakan ‘laluan suaka’.

Seorang rakyat Perancis dan seorang rakyat Mesir turut disyaki terlibat di dalam insiden tersebut, kesemuanya dipercayai ada kaitan dengan IS yang mengakui bertanggungjawab melakukan serangan itu.

Penting untuk kita fahami bahawa serangan tersebut bukanlah hanya mengenai negara-negara Barat ataupun agama Islam, tetapi menyentuh isu pertembungan antara realiti persetempatan dengan hakikat globalisasi.

Agak kurang tepat jika kita sekadar beranggapan bahawa pengaruh dan tindakan Barat yang bersifat penjajahan baru (neo-colonialism) di Asia Barat satu-satunya faktor yang menyemai benih-benih fahaman radikal dalam kalangan warga Iraq dan Syria, yang kemudiannya menubuhkan IS.

Tidak ragu-ragu lagi, keruntuhan struktur dan perpaduan masyarakat negara-negara tersebut telah banyak menyebabkan ketidaktentuan, dan melahirkan gerakan kejam berlabelkan IS. Hakikatnya, IS sentiasa beroleh pendapatan, dari dalam mahupun dari luar, di samping memiliki jumlah pejuang militan yang besar, terlatih dan memiliki kemahiran ketenteraan, yang boleh diharapkan untuk menambahkan bilangan pejuang yang sanggup mati.

Dengan mengisytiharkan kumpulan mereka sebagai ‘pemerintahan khalifah Islam’, gerakan IS ini menawan hati kumpulan anak muda yang ghairah berkelana mencari cabaran hidup, merebut peluang berjuang atau membalas dendam.

Tafsiran literal dan sempit tentang konsep-konsep kunci di dalam Islam, seperti jihad, lantas menyusul dan menyuntik ke dalam minda mentah anak-anak muda ini sikap radikal dan ‘kekuasaan’ yang mereka percaya mereka perlukan di dalam menegakkan sistem pemerintahan Islam dan menangani isu-isu serangan terhadap umat Islam, seperti Palestin, Lebanon, Syria serta penghinaan terhadap Islam oleh Charlie Hebdo dan tindak-tanduk ahli politik kontroversi Belanda, Greet Wilders apabila dengan bongkak mengatakan “I don’t hate Muslims, I hate Islam” (Saya bukan membenci umat Islam, saya membenci Islam).

Walaupun semua ini adalah faktor tarikan, namun faktor-faktor penolakan tidak boleh dipandang remeh. Cabaran besar sedang dihadapi oleh generasi kedua dan ketiga minoriti Islam di Eropah Barat, yang mengakibatkan mereka tersisih daripada warga tempatan lain.

Di sekitar ‘Eropah lama’, lebih 20 juta orang Islam terperangkap di dalam pelbagai kelompok yang kerap kali mengakibatkan mereka menghadapi lebih banyak cabaran daripada peluang di sesebuah negara yang mereka tinggal oleh kerana tahap pendidikan yang rendah lantas kehilangan peluang penyertaan ekonomi yang sewajarnya.

Taraf pencapaian sosioekonomi kumpulan-kumpulan ini yang rendah memang diketahui umum dan didokumentasikan melalui pelbagai kajian, tetapi dasar dan amalan perkauman dan diskriminasi yang terlibat dalam proses mengintegrasi orang Islam ke dalam masyarakat yang kononnya hanya ingin mengamalkan agama dan budaya mereka sendiri sahaja kurang pula didedahkan.

Penyisihan ini menggalakkan golongan muda orang Islam di Eropah Barat untuk menganggap diri mereka sebagai warga global, dan kemudiannya menolak kewargaan dan kesetiaan terhadap negara mastautin mereka.

Seiring dengan itu, wujud juga suatu struktur politik yang menekan, dan anak-anak muda Islam yang tersisih tersebut menyahut dengan bentuk respon mereka sendiri sebagai suatu bantahan dari bawah. Penubuhan IS muncul daripada respon terhadap kerangka dasar luar barat yang masih lagi menggunakan kanta penjajah.

Tindakan kuasa Barat terhadap dasar tersebut di negara masing-masing ataupun di luar negara mereka memburukkan lagi ketegangan yang ada dan dibiarkan melarat akibat terlepas pandang. Tragedi di Paris juga akan menyemarakkan semangat pihak berhaluan kanan, yang bertambah kuat di dalam bidang politik di Eropah Barat beberapa tahun kebelakangan ini, dan sepatutnya telah memberi isyarat yang sangat mencemaskan kepada para pemimpin mereka. Hal utama ialah soal masyarakat dan hubungan antara kelompok yang kini dipenuhi ketidaksetaraan yang sangat mendalam pada strukturnya. Anak-anak muda Islam yang dilahirkan di Eropah Barat tertarik kepada IS dan gerakan tersebut digubah semula di negara Eropah Barat, lalu menolak masyarakat tempatan yang menolak mereka. Perkembangan tersebut semakin menjadi-jadi mutakhir ini.

Peranan media dan pendekatan politik yang mengapi-apikan pertembungan tamadun selepas kejadian serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat, memburukkan lagi keadaan. Kesan pertempuran di Asia Barat kini menjadi igauan ngeri di gelanggang kehidupan di Eropah Barat, bermulalah siri serang hendap dan balas yang mengakibatkan pertumpahan darah, kemusnahan harta benda dan ketidakstabilan. Hakikatnya, kesan yang terzahir ialah budaya keganasan global.

Semakin meluas budaya ini, semakin beralihlah pandangan setiap negara, mencari suatu cara untuk mempertahankan kedaulatan mereka seperti yang dilakukan Perancis. Hakikat semasa ialah Eropah Barat memiliki salah tanggapan bahawa keganasan adalah citra dunia Islam, ajaran Islam adalah radikal dan mengancam masyarakat dunia.

Mereka yang memasuki gerakan IS dari Eropah Barat dan dari negara majoriti Islam, khususnya Arab Saudi, berbuat demikian kerana negara kelahiran mereka gagal memenuhi tuntutan hak dan menangani kekecewaan mereka.

Apa yang kita perlukan ketika ini adalah budaya keamanan global, namun ini sangatlah berkurangan di banyak tempat di dunia ini, yang dikaburi fahaman dan budaya pascamaterial, kapitalisme dan pertelingkahan sosial. Bagi Malaysia, perlu wujud sikap berwaspada dan langkah-langkah pencegahan terhadap bibit-bibit yang mencetus tragedi berdarah kota Paris, agar keamanan negara dan rantau ini dipertahankan daripada pengaruh IS dan fahaman radikal kumpulan militan itu yang merupakan penyelewengan terburuk agama Islam dewasa ini.

PENULIS ialah seorang peguam dan Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).