Upah doa
Upah doa

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegaskan bahawa perkara seumpama itu seharusnya dielakkan kerana terdapat kesamaran yang boleh menjejaskan akidah dan sangat tidak sesuai untuk diamalkan.

“Orang ramai juga diharap dapat merujuk kepada pihak berwajib sekiranya terdapat amalan baharu yang mahu diamalkan di dalam masyarakat,” katanya dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.

Perkhidmatan kiriman doa secara komersial menjadi tular di laman sosial apabila menawarkan pelbagai pakej ‘upah’ berdoa di Mekah dengan mengenakan bayaran serendah RM250 sehingga RM2,500.

Rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan individu berkenaan yang dilihat cuba mempergunakan agama bagi meraih keuntungan peribadi.

Dalam pada itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman ketika dihubungi Utusan Online pula menyifatkan tindakan individu berkenaan sebagai sesuatu yang pelik dan ‘tidak berapa tepat.’

Katanya, tidak menjadi satu kesalahan sekiranya seseorang itu mengirim doa kepada individu untuk berdoa di hadapan Kaabah, asalkan niat mereka ikhlas.

“Kalau hendak suruh orang (berdoa) tidak salah asalkan mereka ikhlas melakukannya tetapi apabila cuba jadikannya sebagai makan gaji dengan ibadah, tidak berapa tepat.

“Jika untuk mencari makan daripada ibadah kena tengok keadaan. Misalnya, dalam bentuk badal haji dan umrah boleh dimasukkan bersama doa yang dihajati. Kita buat ibadah ini perlu ikhlas, barulah amalan diterima,” katanya. - UTUSAN ONLINE
 

- UTUSAN ONLINE