Ia sebagaimana tuntutan Allah SWT menerusi firman-Nya: “Dan demikian pula, Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat pertengahan (ummatan wasata) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu....” 
(al-Baqarah: 143)

Menerusi ayat ini menjelaskan ummatan wasata sebagai umat cemerlang, pertengahan dan adil yang tidak berat sebelah kepada keduniaan mahupun akhirat, malah seimbang antara kedua-duanya.

Malah, Rasulullah turut menggalakkan sahabat mengambil pendekatan sederhana, antaranya:

Menolak cara hidup kepadrian melampau yang mengharamkan kebaikan

- Diriwayatkan Uthman bin Maz’un berkata maksudnya: “Wahai Rasulullah, izinkan saya melakukan pengasian (ikhtisa’) supaya keinginan seks terhapus. Maka Rasulullah SAW bersabda: Wahai Uthman, sesungguhnya Allah menukar kehidupan kepadrian kepada agama Hanif yang mudah.” – Riwayat al-Tabrani

Dibolehkan berhibur, ketawa dan berjenaka

- Rasulullah menolak amalan rigid dan terlalu serius di tempat yang memerlukan ketenangan, berhibur, ketawa dan gurauan. Baginda juga memberi keizinan bermain muzik, menyanyi dan menari pada majlis perkahwinan, hari raya dan rehat.

Rasulullah pernah membenarkan orang Habsyi menari di Masjid Nabawi sempena hari raya. Baginda bersabda maksudnya: “Supaya orang Yahudi tahu bahawa agama kita adalah mudah. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama Hanif yang mudah.” - Riwayat Ahmad

Galakkan menjaga kecantikan dan menzahirkan kurniaan Allah

- Umat Islam dibolehkan memakai pakaian cantik dan harum, Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu indah dan sukakan keindahan.” - Riwayat Ahmad

Pertengahan antara hak Allah, diri dan makhluk

- Islam menentang tabiat melampau dalam beribadah termasuk menunaikan ibadat puasa, solat, berzikir dan membaca al-Quran sehingga melakukan kezaliman kepada hak diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Keadilan ialah memberi kepada setiap yang mempunyai hak akan haknya, tanpa lebih dan tanpa kurang. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Tuhan kamu ada hak ke atas kamu, diri kamu mempunyai hak ke atas kamu, keluarga kamu mempunyai hak ke atas kamu. Berikanlah setiap yang mempunyai hak itu haknya.” – Riwayat Bukhari

TAFSIRAN WASATIYYAH

Majoriti ulama mentafsirkan wasatiyyah dalam tiga tafsiran. Antaranya:

1 Sheikh Muhammad Rasyid Rida dalam Tafsir al-Manar (Jilid 2) menyatakan:

- Al-wasat adalah al- adlu wa al-khiyar iaitu adil dan cemerlang.

- Melebihi daripada sepatutnya adalah melampau.

- Pengurangan daripada sepatutnya adalah pengabaian dan kecuaian.

- Setiap tambahan dan kecuaian yang menyimpang daripada jalan lurus adalah keburukan dan dicela.

- Kecemerlangan berada di pertengahan antara dua ekstrem tersebut.

- Sebelum kedatangan Islam, manusia terbahagi kepada orang Yahudi dan Musyrikin yang cenderung kepada kepentingan duniawi dan jasmani semata-mata serta golongan Nasrani, Sabi’in dan sebagainya yang mementingkan kerohanian sehingga mengabaikan hal keduniaan.

- Islam mengharmonikan dua keadaan ekstrem dengan meletakkan kepentingan dunia dan akhirat, rohani dan jasmani secara berimbang dan bersepadu.

2 Bekas Sheikh al-Azhar, Sheikh Mahmud Syaltut dalam Tafsir al-Quran al-Karim menyatakan:

- Islam adalah jalan lurus, syariatnya kekal dan sesuai setiap masa dan tempat.

- Manusia sebelum kedatangan Islam terbahagi kepada golongan yang rigid, ekstrem dan yang cuai terlalu longgar dan liberal (tafrit) sama ada dalam akidah mahu pun akhlak.

- Islam menggariskan manhaj pertengahan dalam kesederhanaan dan keseimbangan tanpa adanya unsur ekstrem.

3 Sheikh Abdullah Basmeih dalam Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian al-Quran 30 Juz menyatakan:

- Umat Islam umat pilihan, pertengahan lagi adil dalam pembawaan

- Tidak melampau, tidak keterlaluan dalam kepercayaan, akhlak dan amalan.

- Berkeadaan di tengah-tengah, sama-sama dipandang, dipelajari dan diusahakan meliputi persoalan dunia serta akhirat.

- Mengambil tahu secara mendalam dan memandang berat kepada persekitaran.

- Membuat pertimbangan, baik buruknya sesuatu perkara secara adil, benar dan sah.

Hubungan manusia dengan kehidupan hendaklah secara pertengahan. Tidak boleh mengejar kebendaan semata-mata yang berteraskan makan, minum, nafsu syahwat, harta kekayaan, pangkat dan kedudukan.

Begitu juga dengan hanya mengejar hal kerohanian semata-mata hingga menolak keduniaan secara total seperti tidak mahu berkahwin dan malas mencari rezeki.