Modus operandi rasuah semakin kompleks, sukar dikesan

Modus operandi rasuah semakin kompleks, sukar dikesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA 24 Julai 2027 nanti, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) bakal melangkah ke usia sedekad sejak penubuhannya.

Tempoh 10 tahun mungkin tidak terlalu panjang jika dibandingkan dengan usia institusi atau organisasi lain, namun ia cukup bermakna bagi sebuah pertubuhan masyarakat sivil yang lahir daripada kesedaran bahawa perjuangan membanteras rasuah memerlukan penyertaan seluruh rakyat, bukan semata-mata diserahkan kepada agensi penguatkuasa.

Sepanjang tempoh tersebut, landskap antirasuah negara telah melalui pelbagai perubahan.

PERJUANGAN membanteras rasuah tidak akan berjaya sekiranya hanya bergantung kepada tindakan penguatkuasaan.

Malaysia menyaksikan pertukaran beberapa kerajaan, perubahan kepimpinan institusi utama, pelaksanaan pelbagai dasar integriti serta peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan tadbir urus yang baik.

Pada masa yang sama, negara turut berhadapan dengan pelbagai cabaran baharu apabila bentuk dan modus operandi rasuah menjadi semakin kompleks serta sukar dikesan.

Hakikatnya, rasuah pada hari ini tidak lagi hanya berkisar kepada pemberian wang tunai di bawah meja.

Ia berkembang kepada penyalahgunaan kuasa, konflik kepentingan, manipulasi perolehan, pengubahan wang haram, penyelewengan melalui teknologi digital, penggunaan proksi serta pelbagai bentuk penyamaran yang memerlukan pendekatan penguatkuasaan yang lebih sofistikated. Justeru, strategi membanteras rasuah juga perlu berkembang seiring dengan perubahan tersebut.

Dalam konteks ini, usaha membanteras rasuah tidak boleh hanya diukur melalui jumlah tangkapan, pendakwaan atau sabitan semata-mata.

Kejayaan sebenar ialah apabila sistem pentadbiran menjadi lebih telus, proses membuat keputusan lebih bertanggungjawab dan peluang untuk berlakunya rasuah semakin sempit.

Dengan kata lain, matlamat utama bukan sekadar menghukum pesalah tetapi membina sistem yang menjadikan rasuah sukar berlaku.

MCW sejak awal penubuhannya mengambil pendekatan menyokong usaha memperkukuhkan institusi antirasuah negara. Sokongan terhadap institusi bukan bermaksud menerima setiap keputusan tanpa teguran.

Sebaliknya, institusi yang kukuh perlu sentiasa bersedia menerima pandangan membina, kritikan berasaskan fakta dan cadangan penambahbaikan.

Kepercayaan rakyat terhadap institusi awam merupakan aset yang sangat bernilai dan perlu dipelihara melalui ketelusan, akauntabiliti serta profesionalisme yang berterusan.

Dalam tempoh sedekad ini juga, masyarakat Malaysia semakin matang dalam membincangkan isu integriti.

Rakyat kini lebih peka terhadap kepentingan tadbir urus yang baik dan semakin berani menuntut akauntabiliti daripada pemimpin serta penjawat awam.

Perkembangan ini merupakan petanda positif kepada demokrasi kerana integriti tidak lagi dianggap sebagai isu eksklusif golongan tertentu, sebaliknya menjadi tuntutan bersama seluruh masyarakat.

Namun begitu, peningkatan kesedaran sahaja tidak memadai. Malaysia masih memerlukan reformasi institusi yang menyeluruh bagi memastikan sistem pencegahan rasuah benar-benar berkesan.

Antara reformasi yang sering dibincangkan ialah pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya, penggubalan Akta Pembiayaan Politik, pengukuhan perlindungan pemberi maklumat, penambahbaikan sistem perolehan kerajaan, pengisytiharan aset yang lebih telus serta mekanisme semak dan imbang yang lebih mantap terhadap institusi awam.

Reformasi seperti ini tidak seharusnya dilihat sebagai agenda mana-mana parti politik, tetapi sebagai pelaburan jangka panjang demi memperkukuhkan negara.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang baru berakhir turut memberikan beberapa pengajaran penting mengenai hubungan antara demokrasi dan integriti.

Pilihan raya bukan sekadar proses memilih kerajaan, malah menjadi ukuran kematangan politik sesebuah negara.

Semua pihak perlu memastikan proses demokrasi berlangsung secara adil, bebas daripada penyalahgunaan sumber awam, politik wang, fitnah dan budaya kebencian.

Keputusan pilihan raya yang dibuat oleh rakyat hendaklah dihormati, manakala persaingan politik mesti sentiasa berlandaskan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.

Dalam era media sosial pula, masyarakat berdepan cabaran baharu apabila pelbagai kes berprofil tinggi sering dibicarakan terlebih dahulu di ruang digital sebelum diputuskan oleh mahkamah.

Fenomena ini menuntut rakyat supaya lebih berhati-hati dalam membentuk persepsi.

Setiap individu berhak mendapat perbicaraan yang adil, manakala setiap keputusan mahkamah perlu dihormati selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang.

Perbahasan awam yang matang perlu berpandukan fakta dan bukannya sentimen atau kecenderungan politik.

Perjuangan membanteras rasuah juga tidak akan berjaya sekiranya hanya bergantung kepada tindakan penguatkuasaan.

Pendidikan integriti mesti bermula dari rumah, diteruskan di sekolah dan universiti serta diperkukuhkan di tempat kerja dan dalam masyarakat.

Anak-anak perlu dibesarkan dengan nilai amanah, manakala pemimpin pula mesti menunjukkan teladan melalui tindakan dan bukan sekadar ucapan.

Integriti ialah budaya yang dibentuk setiap hari melalui keputusan kecil yang dibuat oleh setiap individu.

Di sinilah peranan pertubuhan masyarakat sivil menjadi semakin penting.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti MCW bukanlah badan penyiasat atau agensi pendakwaan, sebaliknya berfungsi sebagai rakan strategik kepada kerajaan dan institusi awam dalam membina kesedaran, menjalankan advokasi, mengemukakan cadangan dasar, melaksanakan penyelidikan serta menjadi jambatan antara rakyat dengan pihak berkuasa. Sebuah masyarakat yang aktif dan bertanggungjawab merupakan antara benteng terbaik dalam mencegah rasuah.

Memasuki dekad kedua penubuhannya, MCW berhasrat memperkukuhkan peranannya sebagai sebuah organisasi yang bukan sahaja lantang menyuarakan isu integriti, malah menawarkan penyelesaian yang praktikal melalui penyelidikan, pendidikan, kerjasama antarabangsa, pemerkasaan golongan muda serta penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam usaha meningkatkan literasi antirasuah. Aspirasi ini selari dengan keperluan semasa yang menuntut pendekatan lebih inovatif dan berasaskan bukti.

Akhirnya, perjuangan membanteras rasuah bukanlah tanggungjawab kerajaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau NGO semata-mata.

Ia merupakan tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia. Masa depan negara tidak hanya bergantung kepada kekuatan undang-undang, tetapi juga kepada kekuatan nilai yang dipegang oleh masyarakat.

Apabila integriti menjadi budaya dan rasuah menjadi sesuatu yang ditolak secara kolektif, ketika itulah Malaysia akan mampu melahirkan sebuah negara yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi, malah dihormati kerana ketelusan, keadilan dan kejujurannya.

Menjelang sedekad penubuhannya, MCW akan terus berpegang kepada prinsip bahawa perjuangan melawan rasuah bukan sekadar menghukum pesalah, tetapi membina sebuah negara yang menjadikan integriti sebagai asas setiap keputusan, setiap dasar dan setiap tindakan.

Itulah cabaran sebenar Malaysia pada hari ini, dan itulah juga harapan yang perlu kita wariskan kepada generasi akan datang. – UTUSAN

PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN