Selamatkan sawah kita

Selamatkan sawah kita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDEDAHAN Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pembangunan Industri dan Pengembangan) mengenai trend penyewaan tanah sawah kepada warga asing oleh pesawah yang berusia dan tidak lagi aktif seharusnya dilihat sebagai satu isyarat amaran kepada sektor pertanian negara.

Isu ini bukan sekadar melibatkan urusan penyewaan tanah, tetapi mempunyai implikasi yang jauh lebih besar terhadap keterjaminan makanan, kelestarian sumber pertanian, keberkesanan subsidi kerajaan dan masa depan industri padi negara.

Hakikatnya, fenomena ini bukan berlaku secara tiba-tiba. Ia adalah kesan daripada pelbagai tekanan ekonomi dan sosial yang telah lama dihadapi oleh petani tempatan, khususnya petani padi berskala kecil.

Walaupun sektor padi terus menerima pelbagai bentuk bantuan kerajaan, ramai petani masih bergelut untuk memperoleh pendapatan yang benar-benar mampu menjamin kehidupan mereka.

Bagi kebanyakan petani yang mengusahakan sawah berskala kecil, terutama yang memiliki kurang daripada dua hektar tanah, pulangan daripada aktiviti penanaman padi semakin tidak berbaloi.

Walaupun harga lantai padi telah dinaikkan dan pelbagai subsidi diberikan, peningkatan kos pengeluaran berlaku pada kadar yang jauh lebih pantas.

Kos baja, racun perosak, racun rumpai, benih, diesel, sewaan jentera dan upah pekerja terus meningkat dari semasa ke semasa.

Dalam keadaan ekonomi semasa, petani bukan sahaja perlu menanggung kos pengeluaran yang tinggi, malah berdepan peningkatan kos sara hidup yang memberi tekanan kepada perbelanjaan isi rumah.

Akibatnya, ramai petani tidak lagi menumpukan kepada usaha meningkatkan produktiviti sawah. Sebaliknya, mereka lebih memberi keutamaan kepada kelangsungan hidup keluarga.

Sebahagian pendapatan yang diperoleh daripada sawah digunakan untuk memenuhi keperluan harian seperti makanan, pendidikan anak-anak, kesihatan dan komitmen kewangan yang lain.

Keadaan ini menyebabkan aktiviti pertanian tidak lagi dilihat sebagai satu pelaburan yang mampu menjana keuntungan jangka panjang, tetapi sekadar sumber pendapatan untuk meneruskan kehidupan.

Lebih membimbangkan, sektor padi turut terdedah kepada risiko perubahan iklim. Kemarau berpanjangan, hujan luar musim, banjir serta serangan penyakit tanaman boleh menyebabkan hasil merosot secara mendadak.

Apabila hasil berkurangan sedangkan kos pengeluaran terus meningkat, margin keuntungan petani menjadi semakin kecil dan tidak menentu.

Jika diamati, sektor padi mempunyai satu kelemahan yang sukar dielakkan, iaitu sifat pendapatannya yang bermusim. Petani hanya memperoleh hasil selepas musim menuai dan terpaksa menunggu beberapa bulan sebelum menerima pendapatan seterusnya.

Sekiranya berlaku kegagalan tanaman akibat cuaca atau serangan penyakit, mereka mungkin kehilangan sumber pendapatan untuk satu musim.

Keadaan ini memberi tekanan yang besar terutama kepada petani yang semakin berusia dan mempunyai kemampuan fizikal yang terhad.

Ramai pesawah hari ini terdiri daripada generasi yang telah mengusahakan sawah selama puluhan tahun. Namun apabila usia meningkat, mereka tidak lagi mampu melakukan kerja-kerja berat di sawah seperti dahulu.

Pada masa yang sama, kos mengupah pekerja dan jentera semakin mahal. Lebih malang lagi, generasi muda semakin kurang menunjukkan minat untuk mewarisi pekerjaan keluarga.

Mereka melihat sektor pertanian sebagai pekerjaan yang sukar, berisiko tinggi dan tidak menjanjikan pendapatan yang stabil.

Keadaan ini menyebabkan ramai petani yang semakin berusia memilih untuk menyewakan tanah mereka kepada pihak lain kerana tidak lagi mempunyai pilihan yang lebih baik.

Akibatnya, ramai petani yang berusia memilih untuk menyewakan tanah mereka kepada pihak lain kerana tidak lagi mampu mengusahakannya sendiri.

Lebih membimbangkan, ketiadaan dokumentasi yang lengkap menyebabkan petani yang semakin berusia mudah dieksploitasi.

Dalam banyak keadaan, mereka bergantung kepada persefahaman lisan tanpa perlindungan undang-undang yang mencukupi. Sekiranya berlaku pertikaian atau pelanggaran syarat, pemilik tanah sering berada dalam kedudukan yang lemah untuk mempertahankan hak mereka.

Terdapat juga pemilik tanah yang lebih cenderung menyewakan tanah mereka kepada pengusaha luar kerana pulangan sewa dianggap lebih stabil dan kurang berisiko berbanding mengusahakan tanaman tersebut sendiri.

Situasi ini menimbulkan persoalan berkaitan tadbir urus tanah pertanian negara.

Apabila penggunaan tanah tidak direkodkan secara sistematik, pihak berkuasa menghadapi kesukaran untuk memantau aktiviti pengeluaran, mengawal penggunaan input pertanian dan memastikan pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan.

Penyewaan sawah kepada warga asing bukan semata-mata isu pemilikan atau pengurusan tanah. Ia turut memberi implikasi besar terhadap amalan pertanian lestari dan produktiviti jangka panjang.

Dalam kebanyakan kes, penyewa yang beroperasi secara tidak rasmi tidak tertakluk kepada pemantauan berterusan oleh agensi pertanian. Akibatnya, amalan Good Agricultural Practices (GAP) dan panduan Rice Check yang diperkenalkan kerajaan sering tidak dipatuhi sepenuhnya.

Rice Check menekankan penggunaan benih sah, kadar pembajaan yang tepat, jadual penanaman yang seragam, pengurusan air yang sistematik serta kawalan perosak secara bersepadu. Semua elemen ini penting bagi memastikan produktiviti tinggi dan kelestarian tanah sawah.

Namun apabila matlamat utama adalah untuk memperoleh keuntungan segera, terdapat kecenderungan menggunakan racun rumpai dan racun serangga secara berlebihan tanpa mengikut kadar yang disyorkan.

Penggunaan bahan kimia yang tidak terkawal boleh menyebabkan pencemaran tanah dan sumber air, menjejaskan populasi mikroorganisma bermanfaat serta mengurangkan kesuburan tanah dalam jangka panjang.

Selain itu, penggunaan racun serangga dan racun rumpai secara berlebihan atau tidak mengikut kadar yang disyorkan boleh menyebabkan sisa bahan kimia (residu) tertinggal pada hasil padi dan beras.

Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan keselamatan makanan, malah boleh memberi kesan kepada kesihatan pengguna serta mengurangkan kebolehpasaran hasil pertanian.

Sudah tiba masanya agensi yang terlibat melaksanakan program pemutihan penyewaan tanah sawah secara lebih agresif dan berkala.

Langkah ini penting bagi mengenal pasti status sebenar pengusaha sawah di seluruh negara serta memastikan subsidi kerajaan sampai kepada golongan yang benar-benar layak.

Ketersediaan untuk mengambil alih tanah yang disewa kepada warga asing perlu dilakukan dengan segera bagi memastikan pengurusan tanah berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih efektif bagi tujuan pengeluaran.

Tanpa tindakan yang tegas, risiko kebocoran subsidi akan terus berlaku. Bantuan yang sepatutnya dinikmati oleh petani tempatan mungkin akhirnya menguntungkan pihak lain yang tidak mempunyai hak ke atas tanah atau tidak berdaftar sebagai pengusaha sah.

Lebih penting, pemutihan ini dapat membantu kerajaan membentuk dasar yang lebih tepat berdasarkan data sebenar di lapangan.

Dalam konteks keterjaminan makanan negara, setiap hektar sawah perlu dipantau dan diurus dengan baik kerana tanah pertanian bukan sekadar aset ekonomi, tetapi merupakan aset strategik negara.

Pangkalan data petani perlu dikemas kini secara berterusan dengan pengesahan lapangan oleh agensi yang terbabit.

Pemberian subsidi, insentif dan bantuan input hendaklah disalurkan berdasarkan pengesahan pengusaha sebenar bagi mengelakkan kebocoran bantuan kepada pihak yang tidak layak.

Penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah kerajaan dan penyewaan tidak sah perlu dipertingkatkan melalui kerjasama rentas agensi melibatkan pelbagai agensi yang terbabit.

Dalam jangka panjang, kerajaan perlu mempercepatkan transformasi sektor padi melalui mekanisasi dan automasi bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Pelaksanaan konsolidasi sawah dan pengurusan secara berkelompok perlu diperluaskan supaya operasi menjadi lebih cekap dan ekonomik.

Penggunaan teknologi seperti dron, sensor pintar, kecerdasan buatan dan sistem pertanian tepat mampu meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos operasi.

Pada masa yang sama, program regenerasi petani muda perlu diperkasakan melalui latihan agropreneur, insentif permulaan, akses kepada pembiayaan dan penggunaan teknologi moden.

Kerajaan juga perlu mewujudkan sistem pendaftaran pajakan tanah pertanian yang lebih tersusun agar semua transaksi direkodkan dan dipantau secara telus.

Dalam konteks keterjaminan makanan negara, setiap hektar sawah merupakan aset strategik negara.

Jika isu penyewaan tidak terkawal, pematuhan amalan pertanian yang lemah dan kebocoran subsidi terus berlaku, Malaysia bukan sahaja berisiko kehilangan lebih ramai petani tempatan, malah berdepan ancaman terhadap kelestarian pengeluaran padi negara pada masa hadapan.

Lantaran itu, usaha membangunkan semula sektor padi tidak boleh hanya tertumpu kepada peningkatan hasil semata-mata.

Apa yang lebih penting ialah memastikan petani terus berdaya maju, tanah pertanian kekal produktif dan sistem pengeluaran makanan negara berada dalam kawalan yang mampan demi generasi akan datang. – UTUSAN

PROFESOR Dr. Ahmad Zubir Ibrahim ialah Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa), Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×