KONFLIK di Asia Barat nampaknya masih belum surut walaupun telah berlaku beberapa perbincangan damai di antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang diuruskan oleh Qatar dan Pakistan.
Walaupun peperangan mungkin akan berhenti disebabkan gencatan senjata, namun konflik di antara kedua-dua negara ini akan berterusan selagi mana Israel wujud sebagai aset strategik bagi AS untuk melebarkan pengaruh di rantau tersebut.
Ya, ketegangan Iran dan AS mungkin menentukan arah geopolitik Asia Barat, tetapi penderitaan rakyat Palestin menunjukkan ukuran sebenar krisis serantau bukan hanya kepada peluru berpandu, nuklear atau laluan minyak.
Ia lebih kepada manusia biasa yang hilang rumah, makanan, air, sekolah dan masa hadapan.
Media antarabangsa dan tempatan biasanya memberi perhatian kepada risiko perang Iran-AS kerana ia melibatkan kuasa besar.
Menurut laporan AP, AS dan Iran masih bertelagah tentang pemeriksaan nuklear yang dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), walaupun terdapat usaha rundingan untuk menamatkan perang dan membuka semula ruang diplomasi.
Ketegangan ini turut melibatkan isu Selat Hormuz, keupayaan peluru berpandu Iran dan peranan kuasa serantau lain.

Pada masa yang sama, laporan Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) pada 12 Jun 2026 menyatakan keadaan penduduk Palestin terutama di Gaza terus merosot, termasuk krisis kesihatan, bekalan asas dan keperluan bantuan kemanusiaan.
Gaza bukan sekadar ‘kesan sampingan’ geopolitik, tetapi pusat kegagalan sistem antarabangsa. Ketika kuasa besar mampu menggerakkan rundingan segera untuk manfaat masing-masing, genosid yang berlaku di Gaza masih gagal untuk diselesaikan setelah 78 tahun penjajahan ke atas Palestin.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, angka korban Palestin di Gaza melebihi 73,000 orang. Angka kematian terus meningkat disebabkan oleh operasi tentera penjajah walaupun gencatan senjata telah dipersetujui sejak Oktober 2025.
Ketika fasa gencatan senjata sahaja, lebih kurang 1,000 orang terbunuh. Sebuah laporan Suruhanjaya Bebas PBB yang dilaporkan media antarabangsa seperti Al-Jazeera dan The Guardian menyatakan sekitar 30 peratus kanak-kanak telah dibunuh oleh tentera penjajah sejak bermula perang pada 7 Oktober 2023. Israel seperti biasa, menolak dapatan tersebut dan menyifatkan masyarakat antarabangsa tidak adil dalam pertimbangan.
Di Gaza juga ketika ini menghadapi krisis air yang sangat teruk. OCHA melaporkan bahawa di Gaza, lebih 70 peratus penduduk bergantung kepada air yang dihantar menggunakan lori, tetapi jurang pendanaan meletakkan bekalan ini dalam risiko.
Laporan sama turut menyatakan bahawa kebergantungan kepada bekalan air melalui lori semakin meningkat di Tebing Barat.
Ini menunjukkan bahawa penjajah Zionis sedang melakukan genosid terancang dengan menyekat segala kemudahan asas untuk diperoleh oleh penduduk Palestin ketika ini.
Keterhadan sumber air bersih menyebabkan keluarga di Gaza terpaksa membuat pilihan harian antara air untuk minum, kebersihan diri dan pencegahan penyakit.
Jika tadi kita menyebut tentang keperluan air, makanan juga menjadi antara keperluan mendesak di Gaza. FAO dan WFP memberi amaran bahawa krisis kebuluran akan semakin buruk di beberapa hotspot dunia antara Jun hingga November 2026, termasuk Gaza.
Laporan itu menyatakan sekitar 266 juta orang berdepan ketidakjaminan makanan yang tinggi di seluruh dunia. Analisis Integrated Food Security Phase Classification (IPC) pada 15 April 2026 menunjukkan sekitar 1.6 juta orang dijangka masih berdepan tahap ketidakjaminan makanan di peringkat “krisis” atau lebih buruk bagi tempoh unjuran Disember 2025 hingga April 2026.
Rakyat Palestin juga dinafikan untuk membina masa depan, iaitu dengan pendidikan. Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) sebelum ini melaporkan bahawa sekitar 660,000 kanak-kanak di Gaza tidak bersekolah dan banyak sekolah serta kemudahan pendidikan musnah atau rosak sejak perang bermula pada Oktober 2023.
Pendidikan adalah alat yang penting untuk membina generasi yang boleh bertahan dan memperjuangkan pembebasan tanah air Palestin.
Di pihak penjajah, mereka melihat ia sebagai alat propaganda untuk mematikan penentangan yang berlaku di Palestin.
Jika di Tebing Barat pula, sekolah-sekolah diarah untuk tutup dan kanak-kanak Palestin perlu lalui modul pendidikan Yahudi yang menormalisasikan penjajahan Zionis ke atas Palestin.
Ini langkah strategik yang diambil oleh penjajah untuk menentukan masa hadapan Palestin itu sendiri sebagai sebuah negara.
Bertambah teruk apabila pada awal Mac 2026, Knesset telah meluluskan undang-undang meluaskan lagi penempatan haram ke perkampungan Palestin di sekitar Ramallah, Nablus dan Jenin.
Palestin setiap detik terus dijajah dan dicaturkan oleh kuasa dunia. Persoalannya, adakah kita mahu berhenti ketika mana penjajah tidak pernah kenal erti penat untuk menguasai tanah wakaf umat Islam tersebut?
Moga kita terus konsisten dan berdisiplin dalam memperjuangkan isu Palestin. – UTUSAN
MUHD Haikal Luqman Zulkefli ialah Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam), Cinta Gaza Malaysia.










