MUKADIMAH
ABU Bakar Hamzah kekal dengan karakternya yang peramah, mudah didekati dan sentiasa ceria ketika menyambut kedatangan wartawan dan jurugambar Mingguan Malaysia di kediaman rasmi Menteri Besar di Kangar, Perlis.
Meskipun berdepan dengan soalan-soalan panas khususnya berkaitan kemelut politik di Perlis, hubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas, isu undi tidak percaya serta terbaharu, kontroversi beliau menembak lembu korban mengamuk, namun Abu Bakar tenang menjawab setiap persoalan dibangkitkan itu.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB dan ASYRAF MUHAMMAD serta jurufoto, IZLIZAN OTHMAN, Pengerusi Bersatu negeri itu yakin mampu mempertahankan kedudukannya sebagai Menteri Besar serta keyakinan Perikatan Nasional (PN) mengekalkan penguasaan kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
‘PULUN’ BUAT KERJA
MINGGUAN MALAYSIA: Pernah terfikir menjadi Menteri Besar?
ABU BAKAR: Pertama sekali, cita-cita sebenarnya menjadi wakil rakyat sahaja. Tidak pernah terfikir sama sekali hendak jadi Menteri Besar. Ini yang dikatakan takdir Allah SWT (dilantik sebagai Menteri Besar).
Saya ini jenis kalau buat apa pun, saya ‘pulun’ dan atas kesungguhan saya semasa jadi wakil rakyat sekali pun, banyak program saya buat dengan guna duit sendiri sebab kerajaan negeri tidak sokong masa saya jadi wakil rakyat dengan terpaksalah buat pinjaman. Selepas dilantik sebagai Menteri Besar, saya buat sehabis baik untuk rakyat dan ini memang ketentuan takdir Allah SWT serta mungkin juga doa daripada arwah ibu, ayah, anak dan isteri saya.
Selepas hampir 200 hari sebagai Menteri Besar, apa cabaran, pencapaian dan perubahan yang telah dibawa dalam pentadbiran kerajaan kerajaan negeri setakat ini?
Di peringkat awal saya jadi Menteri Besar, kita dalam suasana bulan Ramadan dengan kita berjaya mengimarahkan semula dari segi kebajikan dan juga mengaktifkan malam-malam pada setiap hujung minggu di bulan Ramadan berkenaan dengan program kebajikan.
Kedua, menjelang Aidilfitri, kita bagi bonus pada penjawat awam dengan nilai paling tinggi. Pencapaian ketiga dengan pertolongan kerajaan Persekutuan, kita berjaya bagi sumbangan Aidilfitri kepada hampir 20,000 penerima melibatkan kesemua 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu purata 1,000 penerima setiap DUN. Kita memberi fokus kepada kebajikan rakyat selari dengan Perlis sebagai negeri berkebajikan.
Dalam masa sama, penyusunan pembangunan-pembangunan lain juga sedang disusun atur. Pertama, apabila Projek Pelabuhan Darat (PIP) dirasmikan oleh Raja Perlis, pencapaian itu adalah di masa saya mentadbir. Memang jika ambil kira, PIP sudah wujud dari zaman Datuk Seri Azlan Man (bekas Menteri Besar), selepas itu Mohd. Shukri Ramli, tapi pengakhiran pencapaian perasmian PIP telah disempurnakan oleh Raja Perlis di masa zaman saya mentadbir.
Itu daripada segi pembangunan dan saya yakin, akan ada beberapa lagi projek besar akan diumumkan. Salah satunya, pendaratan ikan tuna yang telah diluluskan oleh Jabatan Perikanan melalui pintu masuk Kuala Perlis. Tuna ini, kita akan guna untuk pendaratan di Kuala Perlis, barulah akan dibawa ke PIP dan kemudian dari sana, ia akan dieksport ke luar negara.
KERJASAMA DENGAN WAKIL RAKYAT PAS
Sepanjang memegang jawatan sebagai Menteri Besar, sejauh mana kerjasama wakil-wakil rakyat Pas?
Sesungguhnya kerjasama itu ada, tapi Pas ini ada satu sikap iaitu mereka walak kepada ketua. Tapi pada masa sama, saya buat pendekatan di mana Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis adalah dari Pas dan jawatankuasa PN Perlis juga diketuai Datuk Seri Shahidan Kassim dan sebab itu, saya ambil pendekatan jalin hubungan baik dengan beliau.
Pas sebelum ini juga tidak setuju untuk sertai kerajaan negeri, memang terasa juga. Tapi bagi saya, ini politik dan kita juga telah tawarkan kepada Pas untuk bersama di dalam kerajaan namun sehingga hari ini tidak ada jawapan. Akhir-akhir ini, ada ura-ura katakan Pas ingin sertai Exco dan kita sambut baik sekiranya betul.
Setakat sekarang ini, apa yang saya tahu, Pas di Perlis ada dua kumpulan iaitu satu kumpulan pro kepada bekas Menteri Besar dan kumpulan kedua pro kepada jawatankuasa penyatuan.
Saya tidak ada masalah dengan Pas Perlis dengan kesemua tiga Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan mempunyai hubungan cukup baik.
Hubungan saya bersama jawatankuasa Pas negeri yang berjawatan tidak ada masalah. Kita cuma ada sedikit masalah dengan bekas-bekas Exco dan bekas Menteri Besar ini sahaja.
Enam orang ini ada masalah sikit, tetapi tidaklah sebesar mana. Kritikan-kritikan yang saya terima selama ini pun daripada kumpulan tersebut. Tapi kita faham, mereka ada ketua, jadi mesti ada tindak balas. Namun apa jua sekali pun, saya tidak pernah lupa enam wakil rakyat ini.
Contohnya bantuan hari raya, kita bagi dan Speaker DUN juga saya bagi. Maknanya, saya tidak menganak-tirikan wakil rakyat Pas di Perlis.
MAMPU BERTAHAN
Mampu bertahan sebagai MB sehingga habis penggal?
Saya yakin dan percaya dengan mandat Raja Perlis untuk saya pertahankan tempoh pentadbiran sehingga habis penggal.
Sebab saya juga merujuk kepada Undang-Undang Tubuh Negeri dan tidak ada kuasa melebihi undang-undang tersebut. Walaupun peraturan dewan kita gariskan, tapi ia tidak boleh melangkaui peraturan Undang-Undang Tubuh Negeri. Maka saya yakin, undi tidak percaya kepada saya, sukar untuk dilakukan sebab saya rasa seimbang dari segi kekuatan.
Titah Tuanku Raja Perlis semasa saya dilantik jadi Menteri Besar pada 28 Disember 2025 juga menjelaskan pelantikan saya adalah sebagai pelantikan dari PN, bukan dari Bersatu atau Pas. Dengan titah tersebut, saya yakin usaha-usaha yang dilakukan itu akan terbantut.
UNDI TIDAK PERCAYA
Jangkaan, adakah enam rakyat Pas akan tarik sokongan atau kemukakan usul undi tidak percaya terhadap MB?
Insya-Allah kalau buat pun tidak akan berjaya. Kita berpaksi kepada Undang-Undang Tubuh Negeri, itu kuncinya. Walaupun Speaker ada kuasa tapi ada juga yang di luar kuasanya untuk buat perkara-perkara itu.
Tapi dalam perkara ini, saya yakin dengan adanya hubungan baik saya bersama Speaker, ia tidak akan berlaku dan ini termasuk keputusan yang dibuat oleh Pas Pusat sebelum ini.
Pas Perlis sekarang ini ditadbir oleh Pas Pusat sebagai penyelaras dan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad juga nyatakan tidak berlaku (undi tidak percaya). Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Pengerusi Wakil Rakyat-Wakil Rakyat Pas Perlis juga telah tegaskan tidak akan berlaku perkara ini. Saya yakin tindakan itu sukar untuk dilakukan sebab undang-undang tubuh kerajaan negeri mengatasi segala-galanya.
Sejauh mana hubungan Bersatu dan Pas di Perlis mampu bertahan serta peluang mengekalkan penguasaan kerajaan negeri pada PRU16 ?
Melihat kepada prestasi semasa, saya yakin PRU16 kita mampu menang lagi. Dari segi Bersatu saya tidak ada masalah dan walaupun kita ada enam kerusi, kita akan pertahankan semua kerusi itu.
Pas juga perlu mempertahankan sembilan kerusinya.
Apa yang penting, saya jangka, calon-calon Pas selepas ini akan terdiri daripada calon-calon baharu.
Sebab, kebanyakan wakil rakyat Pas sedia ada ini tidak mempunyai jawatan di dalam parti termasuk bekas Menteri Besar sendiri.
PN TIDAK AKAN TERKUBUR
Adakah PN akan terkubur menjelang PRU16 ?
PN tidak akan terkubur dan jika kita lihat cara kepemimpinan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ia sangat bagus, mampu mengawal daripada berlaku perpecahan. PN boleh diselamatkan lagi.
Yakin dan percaya boleh kekal sebagai Menteri Besar selepas PRU16, bagaimana ia boleh direalisasikan?
Saya yakin dan yang pentingnya, saya kena menang di Kuala Perlis terlebih dahulu.
Yang keduanya, saya kena pastikan Bersatu menang keenam-enam kerusi dan saya juga yakin Pas tidak akan tewas semua dengan minimum 10 DUN kita menang. Dengan prestasi kerajaan negeri terutama dalam menjaga kebajikan, rakyat akan beri peluang kepada kita.
Saya yakin peluang untuk Bersatu jadi teraju PN di Perlis boleh dicapai sebab saya pun masuk dalam ‘minit-minit terakhir’ atau ‘masa kecederaan’. Jadi, mungkin orang akan bagi saya mentadbir lagi dalam satu penggal. Kita tidak akan merebut kerusi orang. Calon Bersatu di Perlis ini enam dan kita kekalkan dengan mungkin satu atau dua calon muka baharu.
TIADA SEBARANG PENGKHIANATAN
Masih ramai khususnya Pas yang bermain naratif Bersatu pengkhianat dalam isu di Perlis, boleh MB jelaskan situasi sebenar?
Situasinya, seperti saya kata Pas ada dua kumpulan. Saya mendapat sokongan padu daripada Pas yang diketuai oleh YDP tiga kawasan. Semua YDP tiga kawasan bagi kerjasama contohnya
Mesyuarat PN ada bersama. Yang memainkan naratif Bersatu pengkhianat adalah kumpulan yang tewas.
Maknanya kumpulan di bawah bekas Menteri Besar lah, mereka tidak berpuas hati.
Sebenarnya, tiada sebarang pengkhianatan berlaku sebab kita menjunjung titah Tuanku Raja Perlis. Bagi kita, kita berpegang kepada titah Tuanku Raja Perlis yang mahu satu pembaharuan di Perlis khususnya dalam pentadbiran kerajaan negeri mengikut prosedur yang betul.
Kita diangkat juga mengikut prosedur yang betul sehingga saat-saat akhir pun, saya tidak tahu akan dilantik sebagai Menteri Besar. Maknanya Tuanku Raja Perlis cukup teliti.
Saya tidak kata saya hebat, saya juga manusia biasa. Banyak lagi manusia hebat-hebat dari segi pendidikan, saya akui. Saya bukan keluar universiti hebat-hebat, tidak ada. Tapi saya mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam bidang politik dan saya rasa dalam DUN, saya orang paling lama dalam politik. Sebab itu, asam garam, sepak terajang politik itu saya sudah masak sebelum duduk di sini. Saya tiada musuh dan bagi saya, saya tidak berdendam.
ISU AKUAN BERKANUN (SD)
Adakah wujud akuan berkanun (SD) menjatuhkan Menteri Besar seperti didakwa sebelum ini?
Sebenarnya tidak ada. Saya nafikan. Tidak wujud cuma kita serah kuasa sepenuhnya kepada Raja Perlis untuk baginda tentukan. Dan kalau betullah ada SD, secara automatik sebelum ini akan terlucut jawatan, tetapi Menteri Besar sendiri yang isytiharkan meletak jawatan atas faktor kesihatan, itu kena ambil kira juga.
Sebab mungkin pertemuan pimpinan Pas bersama Tuanku Raja Perlis di Wad Diraja Hospital Tuanku Fauziah (HTF), kita tidak tahu apa berlaku di situ. Dan lepas balik daripada pertemuan itu, Menteri Besar pun bercuti dan akhirnya dia terus umum peletakan jawatan atas faktor kesihatan.
Jadi, SD ini memang tidak wujud. Tuanku Raja Perlis menggunakan kebijaksanaan baginda untuk selesai kemelut politik itu. Raja Perlis tidak buat keputusan terburu-buru. Baginda panggil rujuk pakar-pakar perlembagaan dan sebagainya, lalu akhirnya perkara ini berlaku.
TAHAN TEKANAN
YAB dilihat terus mendapat tekanan demi tekanan khususnya daripada Pas, bagaimana YAB terus bertahan?
Bagi saya memang ada tekanan, tapi saya tidak hiraukan dengan fokus saya kepada rakyat di Perlis. Contohnya, yang orang tidak pernah terfikir di mana Perlis dapat duit bantuan hari raya dan imarah Ramadan.
“Saya hidupkan semula, bukan senang Perlis hendak dapat RM1.5 juta. Saya dapat RM3-RM4 juta juga daripada PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebab bila saya jadi Menteri Besar, saya bawa pendekatan berkawan dan minta tolong.
Apa guna kita hendak bergaduh dengan kepimpinan kerajaan pusat. Saya pergi jumpa dan akhirnya ada kebaikan buat rakyat. Itu beza tiga tahun dengan lima bulan (pentadbiran saya).
Dalam politik apa juga boleh berlaku, andai tidak lagi bersama Pas, Bersatu menuju PRU16 bersama siapa?
Saya yakin Bersatu tidak akan terkeluar daripada PN. Maknanya, kita masih ada hubungan dalam PN dan peperangan PRU16, Bersatu atau mana-mana parti bawah PN mesti selari dengan Pas dan komponen lain. Saya yakin PN akan terus dipertahankan di Perlis.
TEMBAK LEMBU
Baru-baru ini, video MB enembak seekor lembu mengamuk tular di media sosial sehingga mencetuskan kontroversi, boleh kongsikan situasi sebenar?
Pada 28 Mei, hari raya kedua (Aidiladha) kita adakan majlis korban perdana di Kuala Perlis. Kita ada dua sesi di mana satu lori 12 ekor sudah turun bermula pukul 7 pagi dan kita selesaikan proses sembelihan semua. Lori kedua pula melibatkan 13 ekor lembu yang mana seekor itu yang bermasalah mengamuk. Saya sembelih 24 ekor hanya seekor itu mengamuk.
Pada masa kejadian, saya balik ke rumah untuk solat Zuhur sebelum menerima panggilan lembu tersebut mengamuk. Saya kemudian keluar dari rumah membawa senapang patah. Senapang itu dibawa hanya selepas menerima panggilan bahawa lembu tersebut telah mengamuk dan mengundang bahaya kepada orang ramai.
Sebelum menembak, saya mempertimbangkan tiga perkara, pertama saya kena pastikan kedudukan di situ selamat dan di bawah tanggungjawab saya, orang ramai kena selamat.
Yang kedua, saya kena sahkan kawasan di hadapan lembu itu kosong dan selamat. Ketiga, saya yakin sebab saya juga ada kemahiran kendali senjata api serta mempunyai lesen.
Jadi, tiga fakta ini yang saya utamakan.
Saya lepaskan tembakan tepat di kaki lembu dan lembu berkenaan ketika itu masih hidup sebelum kita sembelih. Yang digambarkan seolah lembu sudah mati. Itu tidak benar. Sebab itu, bila saya pegang senapang ini, kena baca Bismillah dan laung Allahuakbar, barulah tembak.
Demi keselamatan rakyat, saya sanggup ambil risiko dan implikasi selepas itu. Sebab kalau baca akta semua, tembak di tempat awam itu salah. Tapi bagi saya pegang prisip hukum akal, bagi memastikan orang ramai di situ selamat daripada menjadi mangsa amukan lembu. Sebab sebelum itu, ada kejadian di Johor yang menyebabkan kematian selepas ditanduk haiwan tersebut.
Sebelum saya tembak memang saya baca semuanya. Hukum akal, hukum adat, hukum syarak saya pertimbangkan.
Daripada aspek hukum dan undang-undang bagaimana?
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, Naib Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, Mufti Pulau Pinang dan ulama Pas Perlis sudah memberi penjelasan mengenai hukum dalam isu tersebut, saya ucapkan terima kasih.
Antaranya, Mufti Perlis memaklumkan, binatang yang boleh dimakan namun tidak dapat ditangkap untuk disembelih boleh dipanah atau ditembak terlebih dahulu. Semua komen tersebut, menyatakan sah. Terima kasih pada ulama yang jelaskan.
Kejadian ini juga merupakan satu hikmah agar kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan khususnya jabatan agama Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan lain-lain selepas ini perlu keluar satu prosedur operasi standard (SOP). Perlu satu syarat bila adakan program korban seperti ini yang mesti ada SOP dan peraturannya.
Daripada segi adakah perlu penganjur buat laporan polis sekiranya berlaku amukan lembu? Apa harus dilakukan oleh penganjur ? Bagi saya, kita tidak ada masa hendak hubungi Jabatan Veterinar untuk tembak pelali semasa kejadian lembu amuk terutamanya berlaku pada hari raya kedua. Semua bercuti.
Adakah isu berkenaan memberi kesan kepada YAB khususnya jika ia membabitkan kesalahan undang-undang?
Daripada segi undang-undang, saya telah bagi kerjasama dan polis juga sudah ambil keterangan. Saya bagi kerjasama sepenuhnya dan polis juga telah buat penyiasatan yang sepenuhnya termasuk beberapa individu dipanggil untuk diberi keterangan.
Empat orang berada bersama dan dipanggil bagi keterangan. Jadi, polis telah jalankan siasatan, bagi saya cukup puas hati.
Terpulang pada undang-undang untuk tentukan. Isu ini tidak bagi kesan pada saya. Yang penting ulama dan Mufti juga sudah keluar kenyataan. Saya harap bila jadi perkara-perkara macam ini, kita kembali kepada ulama. Jangan buat tohmahan atau andaian sendiri dalam hendak letakkan hukum. Serah pada pakar. – MINGGUAN MALAYSIA










