Bukan gila kuasa, cuma mahu kerjasama bersyarat - Utusan Malaysia

Bukan gila kuasa, cuma mahu kerjasama bersyarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, AMINOLHUDA HASSAN menegaskan kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka tahun ini perlu berasaskan keikhlasan dan semangat perkongsian kuasa yang sebenar seperti di Persekutuan tanpa memberi kelebihan mutlak hanya kepada satu pihak.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dan jurufoto, MUHAMMAD IQBAL ROSLI, Pengerusi Amanah Johor itu menekankan, jika UMNO benar-benar mahu bekerjasama dengan PH, beberapa syarat ditetapkan antaranya parti itu tidak wajar mempertahankan kesemua 40 kerusi yang dimenangi dalam PRN 2022.

Ahli Parlimen Sri Gading itu turut menjelaskan, PH Johor bersedia berunding demi mengelakkan pertembungan tiga penjuru. Namun kerjasama hanya bermakna jika wujud pembahagian kerusi yang adil serta peluang bersama dalam pentadbiran negeri. Baginya, kestabilan tidak boleh dicapai tanpa kesediaan semua pihak untuk berkongsi tanggungjawab dan kuasa secara saksama.

PENGUNDI JOHOR LEBIH TERBUKA
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana YB melihat tahap sokongan rakyat terhadap PH di Johor?
Kalau kita lihat berdasarkan kepada keputusan PRN lalu, isunya rakyat tidak keluar mengundi sebab Covid-19. Peratusnya terlalu rendah, bahkan ada tempat itu bawah 50 peratus, yang paling tinggi pun 55 peratus.

Jadi, sebab itu keputusan agak mengejutkan terutama bagi penyokong tegar PH. Namun pada PRU15, keputusan di Parlimen berbeza sangat. Cuma situasi hari ini, saya rasa pengundi di Johor lebih terbuka. Maksudnya, pengundi boleh melihat sesuatu isu dan berani membuat perubahan.

Sebab itu, kalau kita lihat pada pilihan raya 2013 sudah bermula anjakan menolak BN dan pada 2018 penolakan total dan November 2022 (PRU15) pun jelas ditolak sebab BN hanya menang sembilan kerusi Parlimen.

Jadi, itu antara perkara kita lihat pada hari ini gambaran penyokong-penyokong PH ini masih bersama dengan kita, walaupun mungkin orang kata DAP kena tolak di Sabah bukan? Tetapi Sabah dengan Semenanjung itu agak berbeza aliran politik.

Bagaimana dengan tahap sokongan orang Melayu terhadap parti Amanah? Adakah ada peningkatan kerana Ketua Pemuda maklum hanya berada pada kadar lima peratus?
Mungkin ketua pemuda mengambil data-data itu dari Terengganu dan Kelantan. Johor ini berbeza sebab saya dapat melihat perkembangan terkini, sebagai contohnya Pekida, mereka buat program sambutan tahun baru dengan pemuda Cina.

Maknanya masyarakat Melayu di Johor ini sudah mula melihat daripada segi kestabilan politik. Menghormati bangsa yang dipanggil bangsa Johor. Bangsa Johor ini bukan Melayu sahaja, merangkumi semua dan itu pun hasrat yang dititahkan Sultan Johor.

Cuma bagaimana pendekatan yang kita mahu buat supaya masyarakat boleh melihat, hendak pilih pemimpin Melayu ini.

Itu yang saya kata, keterbukaan pengundi-pengundi bandar Melayu ini. Orang Melayu di bandar ini agak berbeza sedikit terutama golongan muda. Mereka mahu tengok macam mana peluang pekerjaan disediakan untuk mereka. Kadang-kadang hal-hal politik ini mereka tidak berapa minat dan mudah rimas.

KOMPONEN PH STABIL
Bagaimana kerjasama parti komponen dalam PH di Johor? Masih kekal utuh?
Kalau kita lihat Amanah ada dua kerusi Parlimen, DAP lima, PKR (tujuh). Maknanya kita ada 14 kerusi dan kerjasama semua ahli Parlimen sangat baik.

Tahun lepas, selaku Pengerusi PH Johor, saya telah buat arahan, hasil keputusan bersama dalam mesyuarat, tubuhkan PH di peringkat parlimen, macam-macam sudah buat pelantikan, sudah panggil mesyuarat dan asasnya, siapa yang dipersetujui, kalau dulu diletakkan ahli Parlimen sebagai pengerusi, tapi kali ini kita buat keputusan dipilih. Tidak kiralah sama ada dia ahli Parlimen atau bukan ahli parlimen. Apa yang penting boleh menyatukan dan saya lihat kerjasama itu sangat baik.

Yang pentingnya juga PH mesti mantap untuk memastikan bukan kepentingan politik itu semata-mata tetapi kestabilan politik untuk rakyat. Bila kita kuat, kita stabil, maka agenda untuk pembangunan negeri ataupun negara itu lebih baik. Itu antara harapan kita.

BINCANG KERUSI
Mendepani kemungkinan PRN Johor tahun ini, bagaimana perbincangan pembahagian kerusi dalam PH?
Konsep dalam PH seperti mana yang dinyatakan YB Kulai (Teo Nie Ching) memang sudah ada perbincangan tentang pembahagian kerusi dalam kalangan PH.

Itu memang kaedahnya untuk berbincang di peringkat negeri. Sebab dulu kita (Amanah) 20 kerusi, PKR (20) dan DAP (16). Kita beri empat kerusi kepada Muda, DAP beri dua kerusi. Macam sebelum itu, ketika turut bekerjasama dengan Bersatu. Kita juga mengalah dengan memberi satu kerusi di Puteri Wangsa kepada Bersatu, sebab pentingkan kerjasama dan siapa yang boleh bawa kemenangan.

Maknanya dari satu sudut tentang agihan di peringkat dalaman kita, dalam PH, memang kita bincang dan kita letak formula sama. Kita bukan kata mahu lebih atau kurang, tapi biar kita nampak bersamalah.

Biar ada rakan komponen parti dalam PH yang bertanding satu daripada kerusi yang ada dalam Parlimen tertentu.

TANDING 20 KERUSI
Untuk PRN akan datang ada kemungkinan Amanah mahu bertanding lebih 20 kerusi DUN atau mahukan kerusi UMNO/BN?
Dengan BN ini berbeza sedikitlah. Apapun kita akan buat penyelesaian dulu di peringkat PH dan seandainya UMNO hendak bersama dengan PH itu yang terbaik.

Tapi kita minta jangan guna pendekatan atau formula penyandang kerusi sebab dinamika politik yang berubah-ubah. Jadi, kena duduk bincang. Kalau mahu bersama dengan PH, kalau kita hendak menghadapi PN, jangan mahu minta kekal 40 kerusi. Sebab PRN pada 2022 itu sangat berbeza kerana isunya rakyat tidak keluar mengundi. Kita boleh duduk berbincang dan kita buat keputusan bersama.

Jika UMNO/BN kekal berkeras untuk terus bertanding di kerusi dimenangi, apakah ada kerusi Amanah yang akan dikorbankan?
Memang dan sudah tentulah, sebab dalam PRN 2018, kita menang sembilan kerusi. PRN Mac 2022, kita tinggal satu, maknanya lapan tidak ada. Itu banyak.

KONGSI KUASA
Tapi UMNO/BN menang dua pertiga dan kuasa perlu ada pada mereka, jadi bagaimana hendak capai titik persamaan?
Bagi kamilah, pandangan saya mewakili Amanah dan mungkin rakan-rakan PKR dan DAP pun nampak perkara sama. Kalau katakan alasan kerajaan yang ada di Johor hari ini kata kenapa tidak beri ruang kepada PH untuk duduk dalam kerajaan? Kerana dia kata kita menang dulu daripada PRU pada November 2022.

Tapi Melaka kenapa boleh bagi? PRN Melaka lebih dulu daripada Johor. Mereka bagi ruang untuk PH dalam majlis, Exco, agihan-agihan lain, GLC dan sebagainya. Kenapa (UMNO/BN) Melaka boleh terbuka?

Itu sebab benda-benda ini sebenarnya pada saya bukan kita mengungkit atau apa-apa. Tidak mengapa, kita reda, benda sudah berlaku, tapi untuk ke hadapan ini kita kena duduk betul-betul. Kalau hendakkan kestabilan.

Pada sayalah, bukan apa, rakyat lebih bijak hari ini. Contoh kita lihat PRU lalu, satu parti pun tidak ada yang menang majoriti. Maknanya itu ketentuan Allah, hasil pilihan rakyat yang bijak memilih.

Cuma mungkin dalam keadaan tertentu mereka hari ini melihat, khususnya orang Melayu, parti Melayu di negeri majoriti Melayu hendak beri keyakinan kepada kumpulan Melayu, contohnya Pas di Kelantan, tapi hari ini Melayu dengan Melayu, tiada DAP pun bergaduh juga.

PH ada pengalaman sebagai kerajaan di Johor, saya Exco kanan, bawa naratif untuk majukan rakyat Johor dengan pendidikan, ketika jadi Exco agama, saya usaha memastikan sijil sekolah agama boleh digunakan untuk masuk ke universiti, sekurang-kurangnya diploma. Sampai tahap itu kita merancang pendidikan.

Saya pernah persembahkan cadangan pembentukan universiti Johor kepada Sultan dan Tuanku setuju. Namun cadangan itu terhenti apabila kerajaan PH tumbang dan tiada pihak mahu meneruskan usaha penubuhan universiti Johor ketika itu.

TIGA PENJURU
Jika UMNO/ BN kekal dengan pendirian untuk bertanding di 40 kerusi yang disandang, pertandingan tiga penjuru di kawasan tertentu tidak dapat dielak?
Nampaknya begitu, kecuali ada wahyu daripada Majlis Presiden yang kata di Johor kita kena mengalah, kita hendak kata apa? Kami orang parti yang patuh kepada pimpinan walaupun ada kerusi tertentu yang boleh kita menangi.

Apa pun pada saya semua itu atas kebijaksanaan pimpinan di peringkat Pusat, kami di PH Johor mempunyai pandangan yang tersendiri. Kalau katakan mahu bersama kita ada syarat-syaratnya. UMNO juga kena lepaskan beberapa kerusi mereka kepada PH.

Kita ambil contoh di Selangor, DAP lepas kerusi di Dusun Tua kepada UMNO, maksudnya kesediaan PH sehingga itu. Di Johor kita pernah beri kerusi Puteri Wangsa kepada Muda, menunjukkan kita bersedia beri kerusi demi kesepaduan.

Kalau UMNO nampak ikhlas, betul hendak bersama, kenalah, kalau tidak tiga penjuru lagi susah, kena tanding secara gentleman macam di Sabah.

Tapi di peringkat akar umbi di negeri, pemimpin Amanah dan UMNO masih saling bercakaran, sering berbalas kenyataan, komen YB?

Dalam politik musuh tidak berkekalan, dan kadang-kadang kawan pun tidak kekal. Hari ini kita nampak kenyataan berbeza, tapi bila masing-masing duduk semeja dan sudah diputuskan sebegitu, kita kena patuhlah.

Contoh ketika PRU 2018, Amanah minta lima Parlimen di Johor untuk bertanding tapi hanya dapat dua. Kita kata di Kelantan yang tidak boleh menang pun boleh dapat enam Parlimen. Johor yang kita boleh berpeluang menang kenapa dapat dua sahaja, sebab ada Bersatu ketika itu. Walaupun kecewa tapi terpaksa terima atas dasar kerjasama.

Waktu itu PRN berjalan serentak, kita fokuskan kepada DUN dan kita menang sembilan kerusi berbanding Bersatu yang mendapat lapan kerusi. Jadi, itu pentingnya keikhlasan dalam bekerjasama dan berkawan. Kita sudah lama bersama PKR dan DAP yang membuatkan kami lebih memahami antara satu sama lain.

SASAR MENANG 14 KERUSI
Jangkaan berapa sasaran kerusi boleh dimenangi Amanah di PRN Johor?
Macam saya sebut tadi, kita mungkin akan bertanding tidak lebih daripada 20 kerusi berdasarkan formula PRN yang lepas.

Kalau ikut bacaan, kita sasarkan 14 kerusi kita boleh menang. Kalau berlaku pertandingan tiga penjuru, kita beri peluang rakyat buat pilihan. Kalau rakyat masih hendak mengekalkan BN, tidak mengapalah. Kita bukan gila kuasa, kalau kita gila kuasa, kita sudah mengamuk.

Kuasa ini tanggungjawab. Amanah itu adalah tanggungjawab, apabila jadi pemimpin, kita bertanggungjawab di dunia dan di akhirat.

TIDAK PERNAH BINCANG
Selama ini pernah ada perbincangan empat mata bersama Pengerusi BN Johor termasuk dalam permintaan untuk diberi ruang dalam pentadbiran negeri?
Memang tidak pernah. Saya pernah cuba untuk berhubung, tapi pihak sana membalas, memberi jawapan seolah bermaksud tidak payah. Tidak perlu jumpalah. Kalau ada berjumpa pun hanya di majlis-majlis rasmi, tapi setakat itu sahajalah. Jadi sebab itu segala pandangan hanya terus dibawa ke peringkat nasional sahaja.

Apa harapan kepada rakyat Johor?
Pertamanya kena lihat bahawa PH secara umumnya dan Amanah di Johor boleh lihat tidak ada apa-apa pergolakan. Pengurusan berjalan dengan baik serta mantap.

Rakyat juga kena ingat parti politiklah yang akan mengurus negara, jadi suka atau tidak suka kena ada penglibatan semua pihak terutamanya anak muda untuk keluar mengundi dan memilih kerajaan.

Pilih pemimpin-pemimpin parti politik yang betul-betul mahu membawa pembangunan negara yang jujur, amanah, kompeten serta mempunyai idea dan pandangan untuk pembangunan masa hadapan.

Politik bukan tunjuk siapa kuat

Adakah ego BN jadi punca PH tidak diberi peluang berada dalam pentadbiran negeri?
Mereka merasakan bahawa mereka satu-satunya negeri yang paling kuat. Namun mereka tidak membawa semangat di Kerajaan Persekutuan, itu yang saya kesal. Sepatutnya kena tunjukkan, terutamanya apabila Sultan Johor menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Tapi tidak mengapa. Pada saya kita serahkan pada mandat rakyat yang memilih, kalau katakan di peringkat Majlis Presiden PH suruh bergabung dengan BN, kami ada syarat-syarat kami. Hendak bergabung boleh, tapi ada syarat-syaratnya.

Kalau kata hendak tiga penjuru, tidak ada masalah, kita akan jumpa. Sebab di hujungnya pun macam di Sabah, bertanding juga UMNO lawan GRS, tapi akhirnya bergabung.

Yang penting, politik hari ini bukan mahu tunjukkan siapa paling kuat, siapa yang paling hebat. Bukan itu. Kita hendak tunjuk kepada rakyat siapa yang boleh bangunkan negara, boleh beri peluang pekerjaan kepada rakyat dan juga ekonomi kita pulih dan ini sekarang sedang dibuat oleh Perdana Menteri.

Kita lihat jiran sebelah tambak (Singapura), beza dengan kita, sebab tiada rasuah. Ketegasan dalam tindakan, ini yang sedang Perdana Menteri buat, dan perkara ini kalau kita lihat bahawa kita mahukan pemimpinnya berani bertindak. Ada idea dan juga konsisten dengan dasar-dasar yang menyeluruh. Bukan kata orang untuk kepentingan satu pihak.

SYARAT KERJASAMA
Apa syarat yang diletakkan PH negeri sekiranya kerjasama dengan UMNO/BN berlaku?
Pada saya kalau katakan memang UMNO bersedia duduk berunding, bincang tapi jangan pula pertahankan 40 kerusi. Itu memberi erti tidak ada maknanya untuk bekerjasama, sudah macam tidak berkongsi kuasalah.
Kita juga mahu semangat Persekutuan turut dibawa sama juga di negeri. Ada peranan dan sama-sama mentadbir. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN