ZAMAN ledakan teknologi ini secara idealnya memudahkan masyarakat dunia. Perkara sukar yang perlu dilakukan secara fizikal kini dirangkumkan dan boleh diuruskan dengan hanya satu klik pautan sahaja.
Pada masa sama, ledakan teknologi yang sepatutnya membantu urusan manusia sering disalah guna dan dijadikan alat untuk menipu dan merompak harta ahli-ahli masyarakat yang tidak bersalah.
Jenayah ini seperti tiada penghujung atau seolah-olah tiada keutamaan dalam menangani masalah ini.
Pada 2025 sahaja dilaporkan anggaran kerugian melibatkan jenayah ini adalah sebanyak RM2.7 bilion. Jumlah ini meningkat daripada 2024 iaitu sebanyak RM1.78 bilion berbanding RM1.2 bilion pada 2023.
Jenayah penipuan dalam talian ini tidak hanya berlaku di Malaysia tetapi negara lain juga berhadapan jenayah ini. Malah menurut Perikatan Anti Penipuan Global (GASA) jumlah keseluruhan yang dicuri di Asia Tenggara oleh pemangsa adalah sebanyak AS$23.6 bilion (RM95.8 bilion) dan secara puratanya sebanyak AS$660 (RM2,679) bagi individu.
Singapura menduduki negara tertinggi di Asia Tenggara bagi jumlah kerugian purata bagi seorang individu iaitu sebanyak AS$2,132 (RM8,658).
Malaysia menduduki tangga kedua dengan jumlah purata kerugian seorang individu adalah AS$1,035 (RM4,202) manakala Thailand di tangga ketiga dengan purata kerugian sebanyak AS$354.22 (RM1,437) daripada orang dewasa di Asia Tenggara ditipu pada 2024 sebagaimana yang dilaporkan Pengarah Urusan GASA.
Corak dan gaya penipuan di Singapura hampir sama dengan pemangsa di Malaysia. Mereka ditipu dengan pelaburan yang tidak wujud serta juga menyamar penjawat awam. Suku pertama 2025, Singapura merekodkan sebanyak 19,665 kes penipuan dengan anggaran kerugian sebanyak SGD456.4 juta (RM1.44 bilion). Jumlah ini dikatakan menurun sebanyak 26 peratus sekiranya dibandingkan 2024.
Malah dilaporkan sebanyak 1,000 kes melibatkan kerugian melebihi SGD100,000 (RM316,000).
Kendatipun menjadi jenayah sejagat, namun usaha yang tuntas harus digerakkan oleh kerajaan Malaysia dan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja walaupun tidak menghairankan sekiranya jumlah kerugian yang dilaporkan rendah berbanding realiti kes yang berlaku. Ini kerana mangsa kebanyakannya tahu duit mereka yang ditipu tidak akan dapat kembali atau penipu yang sebenar akan gagal ditangkap dan didakwa.
Kes penipuan dalam talian ini menjadi kompleks kerana penggunaan teknologi sendiri.
Dalam banyak tangkapan yang dilakukan pihak polis, hanya melibatkan ‘keldai akaun’. Mereka ini hanya menjual, memajakkan kad atau akaun bank kepada pihak ketiga dan tidak mempunyai kawalan terhadap akaun bank atau transaksi yang berlaku.
Ada juga kes-kes yang didakwa di mahkamah berkenaan ‘keldai akaun’ yang terpaksa menyerahkan kad bank ketika meminjam daripada pemberi pinjaman tanpa lesen atau ‘ah long’ sebagai cagaran. Ini merenyah dan menyukarkan untuk mencari dalang sebenar kes-kes penipuan ini.
Malah tidak adil dan simpati diberikan kepada ‘keldai akaun’ yang terpaksa menyerahkan kad bank kepada ah long sebagai cagaran semata-mata. Ada kalangan keldai akaun ini menjadi mangsa lintah darat yang tidak habis-habis menyedut ‘darah’ mangsa. Dalam masa sama mereka juga berhadapan risiko ditangkap, direman dan didakwa.
Kebiasannya pemegang akaun ini didakwa di mahkamah. Ada yang didakwa di bawah seksyen 424 Kanun Keseksaan iaitu mengalih atau menyembunyikan harta dengan niat menipu.
Ada juga beberapa kes pemegang akaun didakwa di bawah seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu kesalahan kerana gagal menjelaskan pemilikan harta yang memperuntukan denda maksima RM1,000 atau penjara maksima setahun atau kedua-duanya sekali.
Walau bagaimanapun, pendakwaan sebegini tidak akan menyekat kes-kes penipuan yang berlaku. Keldai-keldai akaun ini dalam kebanyakan kes tidak langsung mempunyai pengetahuan terhadap kes yang diadukan. Mereka juga tidak memperoleh sebarang keuntungan.
Dalang sebenar masih lagi bebas di luar sana. Skim pelaburan tidak wujud ataupun ugutan daripada pegawai berkuasa yang berleluasa perlu dikekang.

‘BEBAN’ AI
Oleh yang demikian, dikhuatiri tahun ini statistik mangsa penipuan akan menjadi parah dengan kemajuan kecerdasan buatan (AI) dan menjadikan penipuan ini bersifat peribadi.
Misalnya dengan teknologi Deepfake membolehkan pemangsa menyamar sebagai mangsa dengan menggunakan suara mangsa untuk menipu kenalan mangsa terdekat sehingga mendorong memindahkan wang.
Tuntasnya, langkah yang lebih berkesan perlu direncanakan. Ia bukan sahaja dari pihak polis tetapi agensi lain termasuklah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memandangkan penipu-penipu ini menjalankan penipuan dalam talian.
Perlindungan data peribadi juga akan mengurangkan risiko kebocoran maklumat pengguna ke tangan penjenayah. Selain daripada kesedaran pengguna dan masyarakat, ekosistem perundangan harus diperketatkan supaya pelaku ini tidak mempunyai ruang menodai hak rakyat.
Ini tidak lain hanyalah untuk memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa undang-undang itu wujud dan masih lagi berdaulat.-UTUSAN
PENULIS merupakan pengamal undang-undang dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










