PELAN Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan untuk transformasi sistem pendidikan serta impak pelaksanaan transformasi membabitkan penglibatan semua pegawai kementerian, kepemimpinan sekolah, guru, murid dan ibu-bapa.
Pada hemat saya, selain soal kepemimpinan di peringkat kementerian, negeri dan daerah, kepemimpinan sekolah amat penting untuk memastikan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah berjalan dengan lancar dan cemerlang.
Aspek tentang tanggungjawab kepemimpinan sekolah ini terkandung dalam anjakan kelima dari 11 anjakan transformasi sistem pendidikan yang menetapkan bahawa transformasi pendidikan akan memastikan kepemimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.
Kepemimpinan berprestasi tinggi sekolah memang penting selari dengan hasrat dan aspirasi PPPM, iaitu untuk mengangkat dan menjadikan pendidikan negara setanding dengan negara maju supaya pencapaian pendidikan negara berada pada kedudukan sepertiga teratas dalam Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMS) dan Program penilaian Murid Antarabangsa (PISA) tercapai.
Sudah tentu kepemimpinan tertinggi sesebuah sekolah itu diterajui oleh pengetua di peringkat sekolah menengah atau guru besar di peringkat sekolah rendah. Maju jayanya sesebuah sekolah itu adalah bergantung pada kualiti kepemimpinan pengetua atau guru besarnya.
Untuk memenuhi hasrat itu, sejak PPPM dilaksanakan pada 2013, Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengambil langkah memperkukuh kriteria pemilihan pengetua dan guru besar mulai 2013.
Ini termasuk melaksana pakej kerjaya pengetua dan guru besar yang baharu secara berperingkat bagi menunaikan tanggungjawab meningkatkan keberhasilan murid.
Untuk mencapai hasrat ini, maka pemimpin sekolah diminta mencapai set jangkaan yang lebih tinggi yang ditetapkan bagi sekolah mereka.
Dalam usaha mencapai kepertanggungjawaban tinggi itu, pengetua dan guru besar perlu sentiasa bersikap terbuka kepada cara bekerja yang baharu, kreatif dan inovatif serta berupaya mendekatkan sekolah dengan masyarakat.
Hubungannya dengan kakitangan sekolah perlu baik dan berkesan. Pengetua dan guru besar perlu bertindak sebagai pembimbing dan jurulatih untuk membina keupayaan kakitangan sekolah masing-masing.
Hakikatnya, kepimpinan pengetua atau guru besar akan menentukan prestasi sekolah yang dipimpinnya. Ia amat bergantung pada gaya kepemimpinan pengetua atau guru besar itu.
Ciri utama yang patut ada pada kepemimpinan yang baik itu ialah berinisiatif, dinamik, demokratik, proaktif, kreatif, inovatif, mempunyai kawalan serta arahan diri, bertanggungjawab, komited dan adil.
Selain bertanggungjawab terhadap kelancaran pembelajaran dan pengajaran di sekolah, pengetua dan guru besar juga harus memahami bahawa persekitaran sekolah dikelilingi oleh komuniti luar.
Justeru, mereka turut bertanggungjawab menjayakan anjakan kesembilan yang menetapkan usaha bekerjasama dengan ibu-bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas. Maknanya, pengetua dan guru besar tidak boleh lagi memencilkan sekolah daripada komuniti luar.
Justeru, pada hemat saya, sekolah harus dianggap milik masyarakat di mana masyarakat berhak mengambil cakna atau mengambil tahu tentang keadaan “sekolah anak-anak mereka belajar.
Oleh itu, kata-kata “jangan ganggu sekolah kami” dan “jangan ganggu guru-guru kami” tidak sesuai dilontarkan apabila ada pihak ibu bapa atau masyarakat yang mempersoalkan apa-apa isu yang berbangkit dalam sistem pendidikan kita. Pengetua dan guru besar wajar memanfaatkan hubungan sekolah dengan komuniti luar supaya dapat menggalakkan kualiti pembelajaran untuk semua pelajar.
Banyak manfaatnya sekiranya kepemimpinan sekolah dapat menjalin hubungan positif dengan komuniti luar. Ia bukan sahaja dapat meningkatkan daya kepimpinan pengetua dan guru besar, malah ia dapat meningkatkan proses sosialisasi pelajar menjadi lebih matang.
Ia juga dapat membantu sekolah dalam hal-hal berkaitan aktiviti ko-kurikulum dan hal-hal kewangan dan isu-isu keselamatan di sekolah. Sejak kebelakangan ini isu keselamatan pelajar di sekolah telah menjadi perdebatan umum yang mesti diberi perhatian serius oleh pengetua dan guru besar.
Sebarang pelanggaran disiplin dan perlakuan jenayah yang berat dilakukan oleh pelajar atau pun orang luar di kawasan sekolah mestilah diambil tindakan tegas dan menyeluruh.
Pihak sekolah harus dapat mengurus dan mengawalnya dengan baik mengikut peraturan dan kaedah-kaedah pengurusan disiplin dan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pelajar.
Jika sekolah itu berdepan dengan peningkatan kes-kes pelanggaran disiplin yang berat serta perlakuan-perlakuan jenayah yang melibatkan pelajar, itu boleh dianggap wujudnya kelemahan dalam kepemimpinan sekolah.
Justeru, kepemimpinan berprestasi tinggi sekolah mesti memastikan sekolah benar-benar menjadi tempat yang selamat untuk pelajar atau murid-murid mereka supaya mereka tidak terdedah kepada risiko dibuli, dicederakan dan dihina sehingga boleh menjejaskan emosi dan mental murid-murid.
Dalam konteks ini, guru besar atau pengetua yang peka terhadap isu keselamatan pelajar mestilah berupaya dari kepimpinannya untuk menggerakkan guru-guru memainkan peranan aktif dalam mengesan atau menghidu pelajar bermasalah dan berpotensi melakukan kesalahan disiplin yang berat atau berpotensi melakukan jenayah yang melibatkan tubuh badan dan nyawa pelajar lain supaya kejadian tidak diingini dapat dicegah daripada berlaku.
Pengetua dan guru besar juga mesti membina hubungan yang baik dengan ibu-bapa melalui Persatuan Ibu-Bapa Guru (PIBG).
Gabungan kepimpinan sekolah berprestasi tinggi dengan kepimpinan PIBG, komuniti setempat, agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), sektor swasta dan agensi-agensi kerajaan yang lain secara efektif akan dapat membantu menjayakan program-program sekolah berkaitan peningkatan dan pengayaan pembelajaran murid.
Kepemimpinan berprestasi tinggi sekolah amat penting ke arah pencapaian pelajaran, menyediakan inovasi kurikulum dan memperkembang proses pengajaran dan pembelajaran dengan tujuan menjayakan matlamat sekolah, sekali gus sistem pendidikan negara.
Hakikatnya, tanggungjawab kepemimpinan sekolah penting bagi memastikan sekolah dan sistem pendidikan kita tidak kehilangan makna dan martabat kemuliannya. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










