PERSIDANGAN Persidangan Pihak-pihak (COP) menghimpunkan lebih 190 negara di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) bagi merangka tindakan kolektif menangani krisis iklim.
Tahun ini, tumpuan diberikan kepada perlindungan hutan, masyarakat Orang Asli dan biodiversiti, satu tema yang dekat dengan Malaysia sebagai negara mega-biodiversiti.
Selepas hampir seminggu berada di Belém, Brazil persoalan besar muncul, sejauh mana persidangan ini benar-benar membawa kemajuan atau adakah kita sekali lagi menyaksikan ritual diplomasi yang berulang tanpa perubahan yang cukup ketara?
Pertanyaan ini berasaskan realiti yang saya saksikan di lapangan dan dalam dewan rundingan.
Penganjuran COP30 membawa simbolik yang mendalam. Sepatutnya menjadi peringatan dasar iklim global mesti melindungi hutan terpenting dunia serta komuniti yang menjaganya. Namun, suara paling lantang tidak datang daripada kenyataan rasmi atau sesi rundingan tetapi daripada masyarakat Orang Asli sendiri.
Perarakan mereka menuju pintu masuk, laungan “Kami tak boleh makan wang!” dan “Tanah kami bukan untuk dijual!” serta kekecewaan kerana terpinggir walaupun persidangan berlangsung di tanah mereka, mendedahkan paradoks besar dalam tadbir urus iklim global. Sukar untuk berbicara tentang melindungi Amazon apabila penjaga asalnya tidak diberi ruang sewajarnya dalam proses ini.
Realiti geopolitik turut menyerlah. Amerika Syarikat (AS), antara penyumbang emisi terbesar dunia tidak menghantar delegasi rasmi ke COP30, satu isyarat yang membimbangkan bagi proses antarabangsa yang sememangnya sering dipersoalkan keberkesanannya.
Tanpa penyertaan kuasa besar dan pengemisi utama, kemampuan COP merangka perjanjian yang benar-benar mengikat menjadi semakin terbatas.
Malaysia pula hadir tanpa kehadiran menteri atau ketua kerajaan. Ketiadaan kepimpinan tertinggi bukan sahaja mengurangkan pengaruh kita dalam rundingan tetapi turut mengingatkan cabaran terbesar sentiasa terletak pada sejauh mana kita mampu menunaikan komitmen di peringkat domestik.
Natijah daripada pemerhatian ini jelas iaitu COP bukan lagi medan untuk sekadar mengumumkan aspirasi tinggi. Ia harus menjadi platform untuk memastikan akauntabiliti.
Tahun-tahun penuh ikrar, pakatan sukarela dan pelbagai Sumbangan Ditentukan Secara Nasional (NDC) membawa kemajuan tersendiri, namun masih belum mencapai mobilisasi sistemik yang dituntut oleh sains iklim.
Maka, sudah tiba masanya untuk beralih daripada janji kepada tindakan yang boleh dipastikan pelaksanaannya melalui mekanisme penguatkuasaan, pemantauan bebas dan implikasi jelas bagi komitmen yang gagal dipenuhi.
Jika COP ingin bergerak daripada retorik kepada keberkesanan, tiga pembaharuan asas perlu diberi keutamaan:
• Pelaksanaan yang mengikat serta pemantauan yang telus
Ambisi tanpa pengesahan hanyalah retorik. Keperluan terhadap sistem pemantauan yang bebas, seragam dan mudah diakses adalah kritikal bagi menilai kemajuan mitigasi, adaptasi dan pembiayaan secara berterusan.
• Aliran pembiayaan yang cekap dan mudah dicapai
Negara membangun dan komuniti yang berada di barisan hadapan perubahan iklim sering menyatakan birokrasi dan syarat ketat menghalang akses kepada dana. Pembiayaan mesti sampai kepada pelaksana di peringkat tempatan dengan lebih pantas dan disertakan sokongan bagi penyelesaian berasaskan ekosistem serta perlindungan sosial.
• Penyertaan yang bermakna, bukan sekadar simbolik
Masyarakat Orang Asli dan komuniti tempatan perlu menjadi rakan kongsi sebenar dalam pembuatan keputusan. Penyertaan tidak boleh ditetapkan sebagai acara sampingan sebaliknya mesti disertai sumber, ruang dan kuasa untuk mempengaruhi pelaksanaan dasar.
Malaysia wajar diberi pengiktirafan atas komitmen terhadap pemeliharaan hutan, usaha merangka undang-undang iklim dan sasaran jangka panjang ke arah sifar bersih. Namun, kehadiran di COP tidak memadai. Tanpa pelaksanaan di peringkat projek, pembiayaan dan manfaat yang boleh dirasai komuniti, komitmen itu kekal retorik.
Sebagai wakil belia, saya merasai keresahan generasi ini dengan sangat mendalam. Anak muda tidak mencari gambar protokol atau ucapan penuh gaya sebaliknya mahukan peraturan jelas, indikator yang boleh diukur dan mekanisme pelaksanaan yang berfungsi.
Mereka juga menuntut kapasiti, latihan, pembiayaan dan sokongan institusi supaya peranan belia bukan sekadar mengulas tetapi memimpin pelaksanaan.
UJIAN SEBENAR
Bagi Malaysia, ujian sebenar melangkaui kehadiran di COP sebaliknya terletak pada kemampuan mengoperasikan rangka-rangka kerja berkaitan perubahan iklim dan ketahanan negara supaya memberi impak nyata kepada masyarakat.
Melangkaui COP30, penilaian saya ialah masa hadapan ketahanan negara bergantung kepada tiga tonggak utama iaitu keselamatan makanan, tadbir urus ekonomi biru dan pembangunan tenaga kerja hijau.
Perubahan iklim semakin menguji sektor pertanian dan perikanan. Sebagai negara maritim, masa hadapan ekonomi dan ekologi kita sangat bergantung kepada pengurusan lautan yang berasaskan sains.
Dan tiada peralihan tenaga atau industri hijau yang berjaya tanpa modal insan yang berkemahiran tinggi dalam tenaga bersih, analisis risiko iklim dan kejuruteraan alam sekitar.
Jadi, adakah COP30 sekadar satu lagi persidangan iklim? Ia boleh menjadi demikian jika dunia terus berpuas hati dengan kenyataan indah tanpa tindakan tegas. Namun, juga boleh menjadi titik perubahan jika kita memilih untuk bergerak daripada rundingan berulang kepada pelaksanaan sebenar.
Saya percaya perubahan itu masih mungkin tetapi memerlukan keberanian politik, akauntabiliti institusi dan desakan berterusan daripada rakyat serta generasi muda.
Jika gagal, Amazon dan banyak komuniti di seluruh dunia akan merasai kesannya bukan melalui kenyataan media tetapi melalui banjir, kebakaran dan kehilangan nyawa.-UTUSAN
DR. Mogesh Sababathy ialah Delegasi Malaysia ke COP30, Aktivis Belia Alam Sekitar. Ahli Panel Konsultasi Perubahan Iklim, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).










