Bahagian 1
Bedah siasat adalah proses pemeriksaan dalam dan luaran yang dilakukan oleh pegawai perubatan terhadap mayat untuk mengetahui punca kematian dan ciri perubahan yang dialami akibat daripada kimia, penyakit, kecederaan atau faktor lain.
Makna ‘sebab kematian di bawah Kanun Acara Jenayah’
Dalam bab ini, perkataan ‘sebab kematian’ termasuklah bukan sahaja sebab kematian yang zahir sebagaimana yang boleh ditentukan melalui penelitian atau pemeriksaan post-mortem ke atas mayat si mati, tetapi juga segala perkara yang perlu untuk membolehkan suatu pendapat dibuat tentang cara bagaimana si mati itu menemui ajalnya dan sama ada kematiannya disebabkan dengan apa-apa cara oleh, atau dipercepat oleh, apa-apa perbuatan atau peninggalan yang menyalahi undang-undang pada orang lain.
Bedah siasat pula boleh dibahagikan kepada dua iaitu bedah siasat klinikal dan bedah siasat medicolegal.
Bedah siasat klinikal lebih kepada mengesan kematian penyakit berjangkit atau kecederaan bagi tujuan pembelajaran serta penyelidikan bagi kematian di pusat perubatan manakala medicolegal lebih kepada mengesan sebab kematian berkaitan kes disiasat polis.
Inkues
Dalam siasatan berkaitan kematian medicolegal ia boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu siasatan pra inkues kematian dan siasatan inkues kematian,
Siasatan pra inkues kematian meliputi kematian seperti membunuh diri, dibunuh orang atau dibunuh haiwan atau mesin jentera atau disebabkan kecuaian, mati dalam keadaan menimbulkan syak wasangka yang munasabah bahawa orang lain telah melakukan perbuatan itu dan kematian secara mengejut. Ini dinyatakan di bawah Seksyen 329(1) Kanun Acara Jenayah.
Bila pihak polis menemukan keadaan-keadaan seperti di atas di bawah Seksyen 329(2) kanun yang sama hendaklah segera ke tempat mayat ditemui dan menyediakan laporan tentang sebab kematian yang zahir termasuk memperihalkan luka, fraktur, lebam dan tanda kecederaan lain pada mayat. Pihak polis juga perlu memperihalkan tentang objek, tanda lain, hal keadaan yang pada pendapatnya yang mungkin menyebabkan kematian atau dengan orang jika ada yang menyebabkan kematian itu dan cara bagaimana atau dengan senjata atau alat jika ada.
Siasatan yang perlu lengkap dan bersandarkan keterangan dan fakta adalah prinsip undang-undang berkaitan kematian membunuh diri adalah prinsip am undang-undang bahawa tiada anggapan boleh dibuat berkaitan perbuatan membunuh diri ( suicide is never to be presumed). Prinsip ini jelas digariskan dalam kes Re Derek Selby, deceased, (1971) CLJU 122.
Andaian dan tekaan pegawai penyiasat tidak boleh diambil kira. Ia harus bersandarkan fakta dan keterangan yang jelas dalam membuat kesimpulan seseorang itu mati membunuh diri.Semua kes siasatan kematian mahkamah memutuskan bahawa keputusan mesti bersandarkan fakta dan keterangan dan bukan bergantung pada anggapan dan tekaan dalam siasatan.
Seksyen 328, ada memberi definisi ‘punca kematian’ yang menyatakan semua perkara yang perlu untuk membolehkan suatu pendapat dibuat bagaimana si mati itu menemui ajalnya. Ini bermakna punca kematian itu bukan sahaja terhad kepada hasil diperoleh daripada bedah siasat, ia juga merangkumi segala hal dan keadaan bagaimana si mati menemui ajalnya sama ada terdapat kecuaian atau penglibatan orang lain dalam kematian si mati.
Seksyen 329 (5) kanun ini menyatakan laporan ini hendaklah diserahkan kepada majistret di dalam kawasan yang mana mayat di jumpai.
Jika dalam siasatan disyaki si mati menemui ajalnya secara mengejut atau pun luar biasa atau disebabkan keganasan atau disebabkan oleh mana-mana pihak, maka ia perlu dimaklumkan segera kepada pegawai perubatan kerajaan berhampiran.
Di bawah Seksyen 332 Kanun Acara Jenayah pula memberikan kuasa kepada pegawai perubatan dengan segera melakukan bedah siasat. Apabila selesai siasatan dan setelah laporan disediakan, majistret atau pendakwa raya mendapati ada keperluan menjalankan inkues maka satu inkues akan diadakan. Prosiding inkues kematian merujuk prosiding pendengaran yang dijalankan oleh mahkamah koroner bagi menentukan punca kematian.
Majistret dan kuasa pendakwa raya dalam Kanun Acara Jenayah
Seseorang majistret yang mengadakan suatu siasatan di bawah bab ini hendaklah mempunyai segala kuasa yang dia patut ada dalam mengadakan suatu siasatan mengenai sesuatu kesalahan.
Seseorang majistret jika dia berpendapat bahawa mayat itu patut diperiksa oleh pegawai perubatan untuk mengetahui sebab kematian, sama ada pemeriksaan post mortem telah dibuat atau tidak di bawah Seksyen 331 , boleh mengeluarkan perintahnya kepada pegawai perubatan. Pendakwa Raya pula boleh pada bila-bila masa meminta seseorang majistret untuk mengadakan suatu siasatan di bawah kes ini mengenai sebab, dan hal keadaan yang berkaitan dengan, apa-apa kematian seperti yang disebut dalam seksyen 329 dan 334.
Dan majistret hendaklah terus mengadakan siasatan dan hendaklah merekodkan dapatannya tentang sebab kematian itu dan juga tentang apa-apa hal keadaan yang berkaitan dengannya.
Gali semula kubur
Apabila prosiding dalam siasatan kes ditutup dan didapati pendakwa raya penyiasatan lanjut adalah perlu, dia boleh meminta majistret membuka semula siasatan. Sesudah itu majistret mempunyai kuasa penuh membuka semula siasatan itu dan bertindak mengikut cara sama seolah-olah prosiding siasatan itu tidak ditutup.
Apabila apa-apa arahan di bawah seksyen ini diberikan, pendakwa raya boleh juga mengarahkan mayat itu digali semula atau tidak. Segala arahan yang diberikan di bawah seksyen ini hendaklah dipatuhi tanpa lengah.
Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah Pengamal Undang-undang.
BERSAMBUNG MINGGU HADAPAN