Kebebasan tanpa pengisian, hanya kulit tanpa isi - Utusan Malaysia

Kebebasan tanpa pengisian, hanya kulit tanpa isi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sekali lagi kita menyambut ulangtahun kemerdekaan negara, iaitu detik yang bukan sekadar diwarisi tetapi perlu dihayati, disyukuri dan dipertahankan. Ironinya kemerdekaan negara tidak boleh menjadi sekadar warisan yang diraikan pada tarikh 31 Ogos setiap tahun semata-mata umpama memenuhi satu hari cuti umum dalam kalendar tahunan.

Sebagai warganegara bumi bertuah ini, detik bersejarah ini perlu terus dikenang sebagai lambang kedaulatan dan kebebasan hakiki yang menoktahkan kerakusan dan kekejaman penjajah serta menandakan momen kebangkitan anak watan membentuk jati diri dan negara bangsa.

Kita perlu sedar sekali merdeka bukan bermaksud akan kekal bebas selamanya, begitu juga betapa kemerdekaan yang tidak diisi dengan semangat dan roh yang nyata juga tidak akan membawa apa-apa makna.

Ironinya, pada usia 68 tahun ini generasi pra kemerdekaan yang melalui pelbagai detik pahit maung dan perit jerih melawan penjajah semakin kekurangan. Ramai sudah meninggal dunia dan yang masih hidup pula sudah ramai yang tidak mempunyai keupayaan untuk menceritakan secara terperinci.

Apa yang pasti sebagai lumrah kehidupan perubahan generasi dalam sesebuah masyarakat, kita sedang berhadapan dengan senario kemunculan generasi baharu yang mula menggantikan generasi sebelum dan semasa merdeka. Maka kelompok pasca merdeka yang ada khususnya generasi muda hanya menelusuri detik negara mencapai kemerdekaan melalui bahan pembacaan atau kisah sejarah yang sempat dikongsikan kepada mereka.

Justeru pemahaman, penghayatan dan penjiwaan terhadap semangat kemerdekaan itu tidak begitu menyeluruh dan tidak keterlaluan untuk dikatakan agak rapuh. Hal ini dikatakan demikian kerana pelbagai insiden yang berlaku membuktikan kita berdepan dengan generasi yang ada masalah atau memiliki simptom defisit patriotisme.

Antara ciri-ciri kelompok yang ada masalah defisit patriotisme adalah kurang semangat jati diri, tidak mempedulikan soal negara mencakupi pelbagai aspek kehidupan sosioekonomi anggota masyarakat, tidak menghargai jasa dan sumbangan generasi terdahulu terutamanya pejuang kemerdekaan, berbangga dengan gaya hidup liberal iaitu budaya dan amalan asing yang terlalu bebas dan bertentangan dengan norma kehidupan masyarakat timur selain sikap mementingkan diri berbanding cakna dengan masa depan negara.

Justeru perlu ada usaha berterusan untuk memupuk semangat sayang dan cintakan negara yang perlu dinaratifkan dalam konteks lebih daripada sekadar menyambut cuti umum pada 31 Ogos.

Generasi hari ini perlu sedar nilai kemerdekaan bukan sekadar harta pusaka yang menjadi warisan turun temurun tetapi ia adalah amanah yang meletakkan tanggungjawab besar di bahu setiap warganegara untuk terus mempertahankannya dengan pengisian yang bermakna.

Setuju atau tidak kita perlu telan kenyataan yang cukup membimbangkan iaitu negara sedang berhadapan dengan generasi yang terlalu leka bermain gajet, taasub dengan media sosial dan permainan dalam talian.

Keghairahan generasi muda menjadi hamba gajet menimbulkan pelbagai persoalan kritikal seperti apakah kelompok ini ada masa untuk menyelak helaian sejarah negara dan merenungkan pengorbanan generasi merdeka mahupun sedar dan peduli keperluan serta tanggungjawab mereka untuk mempertahankan kemerdekaan yang ada? Mungkin tidak semua begitu dan masih ada yang berfikiran waras dan bertanggungjawab, namun pengaruh simptom defisit jati diri tetap membimbangkan.

Lebih membimbangkan apabila literasi hebat digital yang dimiliki generasi muda seringkali disalahguna termasuk dalam konteks menyebarkan fitnah dan berita palsu, mengeluarkan kenyataan berbentuk provokatif, berbaur perkauman atau sentuh isu-isu sensitif seperti 3R (raja, kaum dan agama) dalam pelbagai komen di media sosial.

Akibatnya berlaku perselisihan dalam kalangan anggota masyarakat sekali gus mengganggu gugat perpaduan, keamanan dan keselamatan negara. Ini juga menunjukkan platform digital mula menjadi senjata baharu yang mengancam roh dan semangat kemerdekaan negara.

Maka perlu ada inisiatif untuk memupuk dan melahirkan warga maya yang memiliki adab dan etika digital bertanggungjawab. Ironinya, soal kewarganegaraan digital perlu dipandang serius oleh semua pihak.

Hakikatnya dalam era teknologi tanpa sempadan, kewarganegaraan digital sewajarnya digunakan sebagai medan baharu yang strategik untuk terus melindungi rakyat dan mempertahankan kemerdekaan negara.

Misalnya, kita mahu melahirkan generasi yang celik digital bukan sekadar mahir menggunakan teknologi, tetapi bijak dan memiliki keupayaan untuk menangkis segala fitnah, menapis berita palsu, dan menyebarkan mesej perpaduan.

Jelas sekali pengisian makna kemerdekaan itu perlu disesuaikan mengikut peredaran zaman agar setiap generasi yang mewarisinya tahu bagaimana bertindak untuk menghayatinya dan mempertahankannya.

Hal ini mustahak kerana ancaman terhadap kebebasan negara hadir dalam pelbagai bentuk mengikut perubahan zaman dan generasi khususnya dicetuskan oleh perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi.

Tuntasnya, kemerdekaan yang kita nikmati hari ini bukan sekadar peninggalan sejarah untuk diraikan setiap tahun, tetapi amanah besar yang mesti dipelihara dan diisi dengan usaha berterusan.
Kita tidak boleh puas dengan sorakan “merdeka” setiap Ogos, tetapi harus menghidupkan semangatnya setiap hari — dalam tutur kata, dalam tindakan, dan dalam cita-cita.

Ironinya, kebebasan tanpa pengisian hanyalah kulit tanpa isi. Tanggungjawab kita adalah memastikan kemerdekaan ini terus subur melalui ilmu, akhlak, perpaduan, dan kerja keras, agar generasi akan datang mewarisi sebuah negara yang bukan sahaja merdeka pada jasadnya, tetapi juga merdeka pada minda dan jiwanya.

Noor Mohamad Shakil Hameed ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat) Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN