Minggu lalu, Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM) menganjurkan satu perbincangan meja bulat bertajuk Menilai Legasi: Rejuvenasi Sekolah Berasrama Penuh.
Wacana ini menghimpunkan para ahli akademik, para pengetua, persatuan Alumni, NGO serta wakil dari institusi korporat dan pihak swasta untuk menilai institusi Sekolah Berasrama penuh (SBP) dalam konteks pendidikan hari ini.
Di awal penubuhan SBP yang sebahagiannya telah pun bermula sebelum merdeka, konsep SBP adalah satu kampus pembelajaran di peringkat sekolah menengah bagi membina individu murid yang cemerlang akademik, tinggi adab dan kepimpinan.
Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) misalnya ditubuhkan sejak 1905 untuk melahirkan bakal-bakal pemimpin untuk negara. Kemudian diikuti penubuhan TKC, STAR, SDAR dan pelbagai lagi yang lain.
Hasilnya, kini terdapat 72 sekolah berasrama penuh, 48 MRSM, sekolah sukan, sekolah seni, sekolah agama, Maahad Tahfiz, sekolah swasta dan antarabangsa yang mengamalkan model sekolah berasrama penuh.
Maksudnya perkembangan model sekolah berasrama penuh di negara ini telah diterima baik oleh para ibu bapa sejak sekian lama.
Fungsi teras SBP sejak awal 1970-an adalah untuk memastikan ‘minda-minda terbaik negara’ dalam kalangan generasi muda disuburkan dan digilap apabila mereka dibawa untuk tinggal di asrama penuh.
Selain itu, SBP juga berfungsi untuk membantu anak-anak daripada keluarga miskin yang mempunyai potensi hebat dalam bidang akademik.
Mereka ini akan ditawarkan untuk tinggal di asrama penuh dan disediakan dengan pelbagai keperluan yang baik dan selesa untuk memastikan mereka dapat belajar dan akhirnya cemerlang.
Apabila tinggal di asrama, bukan sahaja mereka mendapat kemudahan pembelajaran yang lebih baik berbanding di rumah, malah mereka juga disediakan dengan kemudahan makanan yang baik dan berkhasiat, disiplin yang lebih teratur serta kemudahan asrama untuk mengembangkan minat mereka di dalam sukan seni serta kepimpinan. Itulah konteks keberadaan SBP di tahun 1970-an dahulu.
Sepanjang 50 tahun lalu, banyak perubahan berlaku kepada SBP akibat perubahan masyarakat. Misalnya, berbanding era 1970-an, hari ini masyarakat kita sudah ramai berada dalam golongan kelas pertengahan dengan pendapatan lebih baik.
Hari ini anak-anak yang cemerlang akademik dalam keluarga M40 dan T20 mungkin tidak lagi mengharapkan tawaran ke SBP kerana keselesaan mereka yang jauh lebih baik apabila berada di rumah.
Malah kualiti sekolah harian juga sudah menunjukkan bukti-bukti kecemerlangan seperti pencapaian GPS yang lebih baik dalam keputusan SPM dan juga pengiktirafan di peringkat global.
Jika SBP masih dalam fungsi lama untuk semata-mata mengumpulkan ‘minda terbaik negara’ untuk tujuan kecemerlangan akademik, mungkin fungsi itu semakin tidak relevan sepenuhnya lagi kerana sudah ramai anak-anak daripada keluarga M40 dan T20 yang cemerlang akademik tidak semestinya bersedia untuk tinggal di asrama kerana semakin selesa berada di rumah masing-masing.
Hasil perbincangan pelbagai pihak di MINDA UKM menyarankan supaya pengurusan SBP mesti berani keluar daripada ‘kepompong lama’ kepada satu spektrum yang lebih segar dan baharu.
SBP harus menjadi pencetus dan pemimpin reformasi pendidikan negara. Konsep pendidikan di SBP bukan lagi sekadar mengejar kecemerlangan akademik dengan bilangan A sahaja tetapi mestilah menjangkau lebih daripada itu.
Pendidikan bakat, keusahawanan, inovasi, kepimpinan serta pencapaian di peringkat global harus menjadi urusan penting di SBP untuk kini dan masa depan.
Pencapaian SBP tidak seharusnya diukur semata-mata bilangan calon yang mendapat semua A dalam SPM, tetapi mesti diukur dengan indikator lain misalnya bilangan lepasan SBP yang berjaya melanjutkan pengajian di 10 universiti terbaik dunia, jumlah dana yang berjaya dikumpul setiap tahun atau bilangan penyertaan murid atau pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang dicapai oleh sesebuah SBP.
SBP sepatutnya menjadi pencetus dan penunjuk jalan kepada semua sekolah yang lain bagaimana caranya sekolah boleh berkolaborasi dengan pasukan ibu bapa melalui PIBG yang aktif, para alumni serta pihak industri.
SBP sepatutnya menunjuk contoh bagaimana bakat dan potensi murid-murid dapat dikembangkan secara strategik untuk diikuti oleh sekolah-sekolah lain di sekitarnya.
SBP seharusnya menjadi pencetus dan mentor kepada pengurusan sekolah di daerah masing-masing untuk sama-sama mengangkat makna pendidikan yang lebih luas dari sekadar mengumpulkan bilangan A sahaja.
Bagi mencapai hasrat itu dan membawa SBP keluar daripada kepompong lama, Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP) harus membuat persediaan merancang pelan strategik SBP dengan segera.
Selain keperluan infra SBP yang lebih baik, keluwesan kurikulum untuk murid-murid SBP juga harus dinilai semula supaya sesuai dengan keperluan ‘minda-minda terbaik negara’ yang berada di SBP.
Teras ko-kurikulum yang berimpak tinggi seperti keusahawanan, inovasi STEM, kepimpinan global, kesukarelawanan mesti dikukuhkan kepada murid-murid di SBP sesuai dengan hasrat kewujudan SBP untuk melahirkan pasukan pemimpin dalam pelbagai sektor untuk kemajuan negara.
Jika tidak, SBP akan kekal sebagai hanya sebuah sekolah biasa yang semakin hari akan semakin hilang ‘keramat’ dan semangatnya.
Dr. Anuar Ahmad ialah Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM).