ASEAN terperangkap antara konflik China dengan AS?

ASEAN terperangkap antara konflik China dengan AS?

ASEAN berharap untuk memperoleh pulangan ekonomi dan jaminan keselamatan, namun tetap enggan memihak kepada sesiapa kerana gusar terpalit dalam impak percaturan kuasa luar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ASEAN telah lama menempatkan dirinya sebagai kuasa pertengahan (middle power) dalam dinamika ekonomi dan geopolitik serantau, sambil beroperasi dalam kerangka berkecuali. Blok ini berharap untuk memperoleh pulangan ekonomi dan jaminan keselamatan melalui kebergantungan luaran, namun tetap enggan memihak kerana gusar terpalit dalam impak percaturan kuasa luar. Ini menyaksikan ASEAN tetap menuntut jaminan keselamatan daripada Amerika Syarikat (AS) sambil mengelak mengambil pendirian jelas menentang China kerana khuatir tindakan balas ekonomi.

ASEAN melihat Washington sebagai perisai keselamatan paling penting dan berkuasa, satu-satunya kuasa yang mampu menyaingi China, mempertahankan kesucian undang-undang maritim dan antarabangsa, serta menghalang pencerobohan China. Namun, kekangan tarif dan ekonomi dijadikan faktor kegusaran ASEAN, dengan harapan memaksa Washington untuk terus mempertahankan keberadaan kuasa Washington di rantau ini atas kepentingan menyekat China, dan menjadikan rundingan tarif sebagai impak pulangan kepada ASEAN.

Namun, rantau ini kekal bergantung secara ekonomi dan kewangan kepada China, tertarik kepada aliran modal mudah dan sedia ada daripada inisiatif Beijing seperti Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Walaupun menyedari ketidakseimbangan perdagangan sekian lama dengan AS dan menikmati lebihan dagangan, ASEAN terus meraih kelebihan ini, mencatatkan pertumbuhan pesat hasil akses terbuka ke pasaran AS dan rangsangan ekonomi serta infrastruktur yang bersandarkan biayaan China.

Negara-negara ASAN kekal kurang kehendak dan tekanan untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan atau menaikkan nisbah belanjawan pertahanan sebaliknya menumpukan keperluan domestik dan kelangsungan kerajaan sambil bergantung pada payung keselamatan AS, menggunakan naratif “ancaman China” untuk melepaskan beban kepada pihak Washington.

Kini, Donald Trump telah menamatkan status quo ketidakseimbangan ini. Hampir kesemua negara ASEAN tersentak ke arah realiti baharu ini, cuba membentuk kesepaduan dalaman yang lebih kukuh dan sinergi serantau untuk menampilkan pendirian lebih bersatu dalam rundingan tarif, namun masih bersandar kepada China dan tetap gusar terhadap tindakan balas Beijing sekiranya ASEAN akur pada tuntutan Washington.

Akibatnya, ASEAN semakin terperangkap dalam strategi imbangan kuasa, dan tindakan tarif Trump dijadikan sebagai faktor penghubung dan pelengkap kepada gagasan baharu solidariti ekonomi serantau, dan ini menguntungkan Beijing. Penetapan semula tarif Trump digambarkan sebagai pelanggaran norma perdagangan demi juga untuk mengambil hati Beijing dan mengelak tindak balas lebih keras sekiranya akur kepada tuntutan Washington untuk tidak menjadi sebagai medan yang digunakan oleh China untuk mengelak daripada tarif AS.

Peranan Kuasa Luar dan AS
AS dianggap satu-satunya kuasa yang mampu menawarkan kapasiti cegah rintang yang boleh dipercayai dan talian hayat ekonomi bagi mengikis pengaruh Beijing.

ASEAN tidak dapat mengalihkan kebergantungan hanya melalui ekonomi dan pertahanan serta negara bukan AS semata-mata, walaupun Malaysia selaku pengerusi ASEAN kini meningkatkan jangkauan ke negara Teluk, BRICS, Timur Tengah dan Selatan Global untuk mencari alternatif di luar tampuk pengaruh dan cengkaman Washington.

Namun, tiada negara selain AS memiliki keupayaan tentera laut yang cukup kuat untuk mencabar pangkalan bersenjata China di Laut China Selatan. Hanya AS menawarkan sistem pertahanan peluru berpandu, serta kapasiti perisikan, pengawasan dan peninjauan (ISR) yang canggih. China tidak menyediakan semua ini.

AS masih bukan sahaja berperanan sebagai penyedia sumber ekonomi dan keselamatan terpenting, ia kekal satu-satunya kuasa yang mempunyai kapasiti dan kesediaan menghalang China demi mengekalkan Asia Tenggara dan Indo-Pasifik yang bebas serta terbuka. ASEAN sedar hakikat ini. Ia tidak menganggap AS tidak relevan, sebaliknya melihat Trump sebagai penghalang sementara. ASEAN pula cuba membina rangkaian multipolar dengan China dan BRICS bagi mengimbangi tekanan Trump.

Perangkap Kuno ASEAN
Percaturan strategik ASEAN silap sejak awal. Ia mahu menikmati faedah kedua-dua pihak sambil memaparkan imej kesatuan dan mendakwa sebagai penyeimbang kuasa neutral. Ia cuba menarik kuasa pesaing ke meja rundingan melalui Forum Serantau ASEAN (ARF) dan instrumen cegah rintang seperti Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) serta Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC). Namun, usaha ini terbukti tidak berjaya sepenuhya malah memberikan ruang lain kepada kuasa luar termasuk China, dan menggunakan sikap neutral

ASEAN dan ketiadaan AS untuk meningkatkan unjuran kuasanya di rantau ini. Peranan tradisional ASEAN mencegah konflik gagal. Beijing terus bertindak agresif di Laut China Selatan dengan respons suram ASEAN kecuali usaha Manila. ASEAN menzahirkan pendekatan yang saling tidak melengkapi dan bersifat hipokrasi: Terbuka mengecam perjanjian keselamatan dengan Australia, United Kingdom dan AS (AUKUS) tetapi mengelak menyinggung Beijing sementara AUKUS dituduh menggugat kestabilan dan mencetuskan perlumbaan senjata, kapal selam nuklear China terus beroperasi di Laut China Selatan sebagai sebahagian  strategi tenteranya dengan hampir tiada reaksi tegas ASEAN.

Washington kini melihat ASEAN tidak berkesan menentang China.Tanggungjawab kini pada ASEAN untuk sedar tiada jalan pintas menyelesaikan cabaran ekonomi dengan mencipta laluan ekonomi alternatif semata-mata. Pasaran AS kekal penting, begitu juga teknologi dan tawaran keselamatannya. Pendekatan Trump tidak akan membuat ASEAN berpaling namun ASEAN menggunakannya untuk bermain tarik tali, menyalahkan Trump, menafikan tanggungjawab terhadap pembiayaan keselamatan dan tampil sebagai mangsa.

Sedekad kebelakangan ini, ASEAN condong ke arah China dari segi ekonomi, strategi malah retorik sambil gagal menghargai nilai kehadiran AS. Keadaan ini diperkuat melalui kebergantungan berterusan pada China dan diplomasi yang enggan menyinggung Beijing.

Jika berterusan, ASEAN menghadapi akibat paling buruk, terasing dan terpaksa menanggung beban keselamatan sendiri.

Maka, ASEAN sedar AS satu-satunya kuasa yang sanggup dan mampu menyediakan payung ini, namun Washington menuntut layanan setimpal dan saling menghormati dalam landasan tarif, ekonomi dan juga sokongan ketenteraan.

Beijing kini memperhebat usaha pembentukan naratif, menyatukan Asia Tenggara menentang tarif AS dan menggambarkan Trump serta Washington sebagai pembuli ekonomi dan penyebab ketidakseimbangan perdagangan. Naratif ini menonjolkan China sebagai alternatif dipercayai, stabil dan aman berbanding dasar paksaan Washington, mempromosi model ekonomi anti-Barat.

Beijing memikat ASEAN bertujuan merapatkan jurang kepercayaan dan memanfaatkan pertikaian tarif untuk menarik rantau ini, walaupun sementara, sambil menggandakan sokongan hubungan antara rantau, menentang tarif dan polisi pentadbiran Trump. Matlamatnya melemahkan penglibatan AS di rantau ini, namun kunjungan Marco Rubio menghantar mesej balas yang jelas.

Lawatan Rubio memberi ASEAN peluang untuk menegaskan komitmen kepada AS, rakan ekonomi dan keselamatan terpenting serta menghentikan kecenderungan rantau yang semakin berat sebelah ke arah Beijing. – UTUSAN

COLLINS Chong Yew Keat ialah penganalisis strategi, keselamatan dan hubungan antarabangsa di Universiti Malaya (UM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN