BARU-baru ini negara kita digemparkan dengan satu kemalangan ngeri di Lebuhraya Timur-Barat yang mengorbankan 15 orang pelajar institusi pendidikan tinggi. Kemalangan jalan raya ini bukan perkara baharu.
Walaupun pelbagai langkah dan kempen telah dijalankan oleh kerajaan serta badan bukan kerajaan, statistik kemalangan jalan raya saban tahun masih menunjukkan peningkatan umpama ‘tumbuhnya cendawan selepas hujan’. Menurut Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM, laporan statistik kemalangan dan jumlah kematian yang terlibat pada 13 Mei 2025 menunjukkan sebanyak 1,929 kes kemalangan direkodkan dengan membabitkan 24 kematian.
Terdapat peningkatan sebanyak 508 kes kemalangan dan 12 kes kematian dicatatkan berbanding hari sebelumnya. Ini menunjukkan trend peningkatan dan amat membimbangkan negara selain bukan sekadar menyebabkan kerosakan harta benda namun turut meragut nyawa insan tersayang secara tragis. Persoalan utama ialah: Siapakah yang patut dipersalahkan dalam hal ini? Adakah sikap pemandu yang tidak bertanggungjawab menjadi punca utama, atau faktor penyebab keadaan jalan raya yang tidak selamat juga antara faktor turut menyumbang kepada tragedi ini?
Sikap Pemandu: Punca Utama Kemalangan
Tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian besar kemalangan jalan raya sebenarnya berpunca daripada sikap negatif segelintir pemandu. Sikap mementingkan diri sendiri, tergesa-gesa, dan tidak mematuhi peraturan lalu lintas sering menjadi punca utama nahas di jalan raya. Ramai pemandu yang memandu melebihi had laju, memotong sesuka hati terutamanya di garisan berkembar, tidak memberikan isyarat ketika membelok, serta tabiat menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Kesemua ini adalah bentuk kecuaian yang berbahaya dan boleh mengundang maut.
Terdapat juga pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau mabuk. Mereka tidak sedar bahawa tindakan tersebut boleh menyebabkan kehilangan nyawa orang lain. Pada 18 Februari 2017, negara telah digemparkan apabila seramai lapan remaja yang berumur antara 13 hingga 17 tahun maut ditempat kejadian apabila dirempuh kereta di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru. Lebih menyedihkan lagi, ada segelintir pemandu yang terlibat dalam aktiviti perlumbaan haram yang menggunakan jalan raya sebagai lokasi untuk berlumba dan ini bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Bukan itu sahaja, kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan pemandu juga turut menjadi penyebab utama penyumbang kepada kemalangan jalan raya. Ramai yang tidak sabar menunggu giliran di simpang jalan, membuat pusingan di tempat yang tidak dibenarkan, tidak mengendahkan lampu isyarat, serta gagal memberi laluan kepada pejalan kaki terutamanya di sekitar kawasan sekolah. Sikap seperti ini mencerminkan betapa rendahnya tahap disiplin dan mentaliti sesetengah pemandu di negara kita. Ada sesetengah pemandu yang mempunyai masalah panas baran dan hilangnya sikap bertolak ansur ketika berada di jalan raya sekaligus menyebabkan kita sering melihat kejadian pergaduhan atau pembuli jalan raya yang kadangkala boleh menimbulkan kecederaan serta kematian yang sepatutnya boleh diselesaikan secara berhemah mengikut lunas undang-undang jalan raya.
Keadaan Jalan Raya: Infrastruktur Yang Kurang Memuaskan
Walaupun sikap pemandu merupakan penyumbang utama kepada kemalangan, tidak adil jika kita menyalahkan sepenuhnya kepada pemandu selain kita mengabaikan faktor fizikal iaitu keadaan jalan raya itu sendiri. Keadaan jalan yang rosak, berlubang, garisan putih yang hilang atau pudar, jalan yang tidak rata serta licin ketika hujan juga merupakan antara punca kemalangan berlaku. Banyak laporan di media sosial dan akhbar menunjukkan bagaimana kenderaan terbabas terjatuh akibat mengelak dari terlanggar lubang yang tidak ditampal selain permukaan jalan yang tidak selamat.
Sistem pencahayaan yang tidak mencukupi di sesetengah jalan utama juga menyumbang kepada risiko kemalangan, terutamanya pada waktu malam. Ada juga kawasan yang tidak mempunyai papan tanda amaran, lampu isyarat yang rosak, serta susun atur jalan yang mengelirukan. Ini menyebabkan pengguna jalan raya sukar untuk membuat keputusan ketika memandu, terutamanya bagi mereka yang tidak biasa dengan kawasan tersebut.
Ketiadaan jejantas atau lintasan selamat untuk pejalan kaki turut meningkatkan risiko kemalangan melibatkan golongan ini, termasuk kanak-kanak dan warga emas. Oleh itu, pihak berkuasa tempatan dan agensi yang bertanggungjawab perlu menjalankan pemantauan dan penyelenggaraan jalan raya secara berkala agar kemudahan awam ini sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
Tanggungjawab Semua Pihak
Dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya, semua pihak perlu berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang di jalan raya. Hukuman yang lebih berat dan konsisten perlu dikenakan terhadap pemandu yang melanggar peraturan, termasuk mereka yang memandu secara berbahaya atau dalam keadaan mabuk.
Pendidikan keselamatan jalan raya perlu diperkasa. Ia bukan sahaja perlu diajar di sekolah, tetapi juga diterapkan dalam masyarakat secara berterusan. Kempen kesedaran seperti Ops Selamat, serta program pendidikan pemandu yang lebih menyeluruh dan berkesan boleh membantu membentuk budaya pemanduan yang selamat.
Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya (Roda 2) Pelajar IPTA anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perlis telah dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada para pelajar tentang kesalahan rempit, lumba haram dan lain-lain kesalahan lalu lintas serta hukuman di bawah peruntukan undang-undang dan juga pandangan dari sudut hukum Islam.
Pihak berkuasa tempatan pula perlu memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan semua jalan raya berada dalam keadaan selamat dan bertaraf tinggi. Penyelenggaraan jalan perlu dilakukan secara berkala melalui pembangunan laman aduan rakyat selain penggunaan teknologi moden seperti kamera pemantau, lampu isyarat pintar, dan sistem amaran awal juga perlu dipertingkatkan bagi membantu mengawal lalu lintas dan mengurangkan kemalangan.
Kemalangan jalan raya merupakan isu kompleks yang melibatkan pelbagai faktor. Kendatipun sikap pemandu menjadi penyumbang utama, keadaan jalan raya yang tidak sempurna juga turut memainkan peranan dalam meningkatkan risiko nahas. Oleh itu, semua pihak iaitu pemandu, kerajaan, agensi penguat kuasa dan masyarakat perlu bekerjasama untuk memastikan keselamatan di jalan raya sentiasa menjadi keutamaan. Ingatlah, kemalangan bukan sahaja meragut nyawa, tetapi meninggalkan kesan trauma yang mendalam kepada keluarga dan masyarakat. Jadilah pemandu yang bertanggungjawab, kerana keselamatan adalah tanggungjawab bersama. “Sayangi Diri, Jauhi Kemalangan”. – UTUSAN
MEJAR Muhamad Azuan Mohamad Nasir ialah Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UniMAP.










