Menghendap jenayah pelanggaran privasi zaman moden

Menghendap jenayah pelanggaran privasi zaman moden

MANA-MANA individu yang didapati melakaukan perbuatan penghendap berdepan hukuman penjara maksimum sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ZAMAN kini menyaksikan keterjalinan antara gaya hidup realiti dan alam maya, menjadikan kedua-duanya sukar dipisahkan dalam kehidupan seharian.

Seringkali kita melihat individu yang mempunyai gaya hidup di alam maya berbeza dengan realiti kehidupan sebenarnya. Ini dapat dilihat di sebalik akaun-akaun tanpa nama atau identiti sebenar. Ini kerana seseorang individu tidak terhalang daripada merahsiakan identitinya di alam maya. Akaun-akaun ini bebas melakukan hampir apa sahaja dalam membuat hantaran mahupun memberi komen media sosial.

Perkara ini secara tidak langsung memberi impak kepada privasi setiap individu.

Pada zaman dahulu, pelanggaran privasi dapat dilihat secara fizikal dan undang-undang digubal bagi melindungi mangsa. Manakala pada zaman kini, pelanggaran privasi lebih bersifat gangguan atau secara hendap (stalking) ke atas individu lain menerusi alam maya.

Jelas sekali, isu gangguan privasi pada masa dahulu dan sekarang menunjukkan perbezaan yang ketara. Ini kerana komunikasi individu pada masa kini lebih banyak berlaku dalam alam maya, malah sebahagian besarnya bergantung kepada penggunaan telefon bimbit. Situasi ini turut jelas kelihatan di tempat kerja, dengan komunikasi dan mesyuarat dijalankan secara dalam talian bagi menjimatkan masa pekerja dan majikan.

Persoalan timbul sama ada undang-undang pada zaman kini masih mapan dan cukup untuk melindungi mangsa-mangsa pelanggaran privasi? Kerajaan memperuntukkan Seksyen 507A Kanun Keseksaan (Akta 574) yang menjadikan perbuatan penghendap sebagai kesalahan dan mana-mana individu didapati bersalah berdepan hukuman penjara maksimum sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali. 

Seksyen 507A ini diperuntukkan untuk melindungi mangsa gangguan penghendap  di negara ini dan ia tidak dikhaskan untuk satu jantina sahaja. 

Seksyen ini memperuntukkan takrifan menghendap sebagai sesiapa yang berulang kali melakukan sebarang tindakan gangguan berniat untuk menyebabkan atau mengetahui berkemungkinan menyebabkan kesusahan, ketakutan atau kecemasan kepada seseorang mengenai keselamatannya boleh disabitkan melakukan kesalahan menghendap.

Sebagai peguam yang pernah menasihati anak guam yang diganggu penghendap, perkara yang boleh dilakukan oleh mangsa adalah membuat laporan polis. Pihak polis akan menjalankan siasatan yang mana fakta kes dan bukti akan diambil bagi membantu siasatan. Sekiranya fakta dan bukti menunjukkan terdapatnya unsur jenayah, maka penghendap itu akan dituduh di mahkamah.

Tambahan lagi, jika wujud elemen gangguan seksual, mangsa boleh mengajukan aduan kepada tribunal yang ditubuhkan di bawah Akta Anti Gangguan Seksual 2022 (Akta 840) yang mana pihak tribunal akan memanggil pihak berkenaan bagi pendengaran aduan. Pendengaran aduan akan dijalankan secara tertutup tanpa akses orang awam ketika proses berlangsung.

Selain itu, mangsa juga boleh memulakan guaman sivil bagi melindungi dirinya daripada pelaku dengan mendapatkan perintah injunksi daripada mahkamah. Injunksi merupakan perintah mahkamah bagi menghentikan atau memaksa sesuatu tindakan.

 

TINDAKAN TEGAS

Dalam kes penghendap, injunksi prohibitori  terpakai bagi menghalang penghendap daripada terus melakukan hendap atau gangguan terhadap mangsa.

Di Malaysia, pelanggaran privasi merupakan satu  kausa tindakan yang sah untuk memulakan tindakan saman sivil di mahkamah bagi mendapatkan pampasan. Perkara ini  disahkan Mahkamah Rayuan di dalam kes Maslinda Ishak lwn. Mohd Tahir Isman & Ors (2009). Yang Arif Hakim memperuntukkan pelanggaran privasi adalah satu kausa tindakan yang sah bagi melindungi hak-hak  individu secara jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Yang Arif Hakim dalam kes ini bahkan  membuat dapatan yang berbeza dengan undang-undang Common Law yang mengatakan pelanggaran privasi bukan satu kausa tindakan sah untuk dibawa ke Mahkamah Sivil dan hanya sah sebagai kesalahan jenayah.

Kes ini merupakan antara rujukan utama dalam isu pelanggaran privasi di Malaysia, sebagaimana yang dapat dilihat dalam kes Sherinna Nur Elena Abdullah lwn. Kent Well Edar Sdn. Bhd. (2014) dan juga kes Toh See Wei lwn.Teddric Jon Mohr & Anor (2017), di mana Yang Arif Hakim  menjelaskan undang-undang berkenaan pelanggaran privasi sudah berkembang di Malaysia. 

Perkembangan ini penting dalam era internet, bila mana kehidupan seseorang individu boleh musnah akibat  pelanggaran privasi yang tidak diingini.

Berdasarkan kes-kes di atas, adalah pelanggaran privasi dipandang serius oleh mahkamah di Malaysia kerana  melibatkan hak-hak individu yang termaktub  dalam Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang jenayah berkenaan pelanggaran privasi juga  dipinda bagi melindungi individu daripada gangguan berterusan.

Adakah undang-undang yang sedia ada cukup untuk melindungi mangsa daripada gangguan penghendap? Adakah pelaksanaan undang-undang pelanggaran privasi dapat dilaksanakan seperti yang termaktub? Ini memerlukan kerjasama semua pihak yang mana mangsa hendaklah melaporkan gangguan diterimanya beserta bukti-bukti kukuh.

Sementara pihak berwajib melaksanakan siasatan yang telus dan menyeluruh selain  pihak pendakwaan membuat pertuduhan terhadap pelaku dengan integriti.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pengamal undang-undang litigasi yang beramal di Kuala Lumpur dan Exco Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN