JPA perlu henti buli jururawat, tarik balik dasar kerja 45 jam seminggu

JPA perlu henti buli jururawat, tarik balik dasar kerja 45 jam seminggu

jururawat
KERATAN laporan muka depan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Kami merujuk kepada laporan berita bertarikh 29 Mei 2025 bertajuk “1 Ogos tarikh akhir laksana waktu kerja jururawat 45 jam seminggu”.
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mengeluarkan arahan muktamad kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melaksanakan dasar waktu kerja 45 jam seminggu bagi jururawat, berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini.
Perlu ditegaskan bahawa waktu kerja jururawat pada masa ini adalah 42 jam seminggu.
PSM turut membantah keputusan JPA yang memberi ‘lampu hijau’ kepada fasiliti kesihatan di bawah KKM untuk melaksanakan dasar ini lebih awal sekiranya mereka memilih berbuat demikian.
Tindakan ini secara tidak langsung memindahkan tanggungjawab pelaksanaan dasar yang kontroversi ini kepada ketua-ketua fasiliti, yang mungkin tidak memahami sepenuhnya bantahan dan keresahan para jururawat terhadap dasar tersebut.
Dasar regresif yang digariskan oleh JPA turut memaksa jururawat untuk menerima sistem gaji baharu, iaitu Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), yang telah mula diguna pakai bagi semua penjawat awam sejak bulan Disember 2024.
Bagi JPA, semua penjawat awam dianggap seragam tanpa mengambil kira perbezaan tugas atau beban kerja antara kumpulan perkhidmatan.
Di bawah terma SSPA, semua penjawat awam diwajibkan bekerja selama 45 jam seminggu. Sekiranya jururawat tidak bersetuju dengan syarat ini, mereka tidak layak menerima kenaikan gaji baharu yang ditawarkan dalam struktur gaji SSPA.
Kerja syif, khususnya syif malam, tidak boleh disamakan dengan kerja waktu pejabat. Di luar waktu pejabat, jururawat perlu memberikan tumpuan yang lebih tinggi, terutamanya pada waktu malam apabila keletihan mudah menjejaskan prestasi.
Kajian di pelbagai negara telah menunjukkan bahawa risiko kelalaian dalam penjagaan pesakit meningkat dengan ketara apabila jururawat bekerja melebihi 40 jam seminggu. Adakah JPA bersedia memikul tanggungjawab sekiranya risiko ini menjadi kenyataan?
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad, menyatakan bahawa terma kerja 45 jam seminggu termasuk satu jam rehat setiap hari, dan oleh itu jururawat sebenarnya hanya bekerja selama 40 jam seminggu, dengan satu jam diperuntukkan untuk rehat, makan dan solat.
Namun bagi PSM, kenyataan ini tidak mencerminkan realiti sebenar yang dihadapi oleh jururawat, terutamanya mereka yang bertugas secara langsung dengan pesakit atau yang bekerja di wad, di mana waktu rehat selalunya tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya kerana kekangan tugas.
Hakikatnya, sejak sekian lama jururawat yang bekerja dalam sistem 42 jam seminggu memang telah diberi ruang oleh pentadbir untuk berehat, makan dan menunaikan solat semasa syif secara bergilir-gilir mengikut kesesuaian tugas.
Masa rehat selama satu jam ini tidak pernah menjadi isu atau tuntutan jururawat. Masalah sebenar yang membelenggu jururawat ialah beban kerja yang terlalu tinggi, jumlah pesakit yang ramai, dan kekurangan tenaga kerja.
Walaupun secara rasmi bekerja 42 jam seminggu, ramai jururawat terpaksa pulang lewat, seringkali 1 hingga 2 jam selepas syif tamat, kerana perlu menyelesaikan tugasan rawatan, dokumentasi, dan serahan tugas kepada syif seterusnya.
Walaupun waktu kerja rasmi jururawat ketika ini ialah 42 jam seminggu, realitinya mereka sering bekerja antara 44 hingga 45 jam seminggu kerana perlu menyelesaikan tugasan yang tertangguh di wad.
Jika waktu kerja dilanjutkan kepada 45 jam, maka tempoh masa kerja mereka yang sebenar boleh mencecah 46 hingga 47 jam seminggu. Adakah JPA dan kerajaan langsung tidak mengambil kira kebajikan jururawat serta keselamatan pesakit, dan hanya berhasrat melaksanakan SSPA secara pukul rata tanpa pengecualian?
PSM merayu agar JPA menggunakan budi bicara dan kebijaksanaan dalam mempertimbangkan semula waktu kerja jururawat, dengan mengambil kira bukti kukuh daripada kajian yang menunjukkan bahawa waktu kerja melebihi 40 jam seminggu meningkatkan risiko kecuaian terhadap pesakit serta risiko kemalangan ke atas jururawat sendiri.
Utamakan nyawa dan kualiti perkhidmatan, bukan semata-mata pematuhan kepada tempoh kerja standard. Pelbagai pihak, termasuk kesatuan sekerja jururawat, organisasi masyarakat sivil, serta Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen, telah mengemukakan hujah yang kukuh untuk menentang pelaksanaan dasar ini.
Dasar kerja 45 jam seminggu bukan sahaja berpotensi menjejaskan kesihatan fizikal dan mental jururawat, malah turut meningkatkan risiko keselamatan pesakit apabila jururawat terpaksa bekerja dalam tempoh yang berpanjangan.
Siri penangguhan dan dolak-dalik pelaksanaan dasar ini dari tarikh asal bulan Disember 2024 ke Ogos 2025, memberi gambaran jelas bahawa JPA, KKM, Kabinet, malah mungkin Perdana Menteri (PMX) sendiri sedar akan hakikat bahawa dasar ini bersifat regresif dan tidak mendapat sokongan rakyat.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, purata seramai 350 orang jururawat meninggalkan perkhidmatan setiap tahun dalam tempoh lima tahun yang lalu.
Beliau turut menyatakan bahawa kadar pengisian jawatan jururawat di KKM kini berada pada tahap 88%, iaitu melibatkan hampir 80,000 perjawatan yang telah diisi. Ini bermakna masih wujud hampir 11,000 kekosongan jawatan jururawat bagi tahun 2025.
Angka ini tidak jauh dengan kenyataan bekas Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, yang pada tahun 2023 menyatakan KKM memerlukan tambahan 8,000 orang jururawat bagi menampung keperluan tahun 2023 dan 2024.
Dari segi ganjaran, jururawat di Malaysia menerima antara kadar gaji terendah di rantau ASEAN, malah lebih rendah berbanding rakan sejawat mereka di negara seperti Kemboja, Filipina dan Vietnam.
PSM juga mendapat tahu daripada jururawat berkenaan elaun kritikal yang hanya sekitar 10% daripada gaji pokok; jumlah yang dianggap tidak setimpal dengan beban tugas harian mereka. Ini adalah khusus bagi mereka yang bertugas di wad pesakit yang sentiasa sibuk dan berisiko tinggi.
Tambahan pula, laluan kenaikan pangkat ke jawatan U32 (Sister) dan U36 (Matron) sering disifatkan sebagai sukar dan tidak telus. Kesatuan sekerja seperti Kesatuan Jururawat Malaya (MNU) pernah menggesa agar jururawat yang bertugas di luar negeri asal mereka diberikan kenaikan elaun tambahan yang berjumlah RM1,000 sebulan sekarang.
Terdapat juga rungutan daripada jururawat bahawa mereka tidak ‘digalakkan’ untuk membuat laporan kepada pihak atasan mengenai masalah yang dihadapi di tempat kerja.
Dalam Belanjawan Malaysia 2025, Kerajaan MADANI telah memperuntukkan sebanyak RM45 bilion kepada KKM, bersamaan kira-kira 2.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Walaupun demikian, peruntukan ini masih jauh daripada sasaran minimum 5% KDNK yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memastikan sistem kesihatan yang mampan dan menyeluruh.
Untuk mencapai tahap tersebut, Malaysia memerlukan tambahan hampir RM50 bilion setiap tahun dalam perbelanjaan kesihatan awam.
Sasaran ini bukanlah sesuatu yang mustahil, dan boleh dicapai secara berperingkat, contohnya dengan peningkatan tahunan sekitar RM7 bilion sepanjang satu dekad akan datang.
Berikut ialah saranan PSM:
  1. JPA perlu menarik balik dasar waktu kerja 45 jam seminggu bagi jururawat di bawah KKM.
  2. PSM mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Perubatan Kerajaan, di mana semua pekerja di bawah suruhanjaya ini dikecualikan daripada terma-terma JPA dan SSPA. Suruhanjaya ini harus merangka terma-terma yang mengambil kira situasi luar biasa di mana jururawat dan pekerja perubatan lain perlu bekerja secara syif, serta memastikan perkhidmatan kesihatan disediakan sepanjang 24 jam.
  3. Elaun jururawat yang sedia ada perlu ditingkatkan secara berperingkat dalam tempoh kira-kira tiga tahun akan datang. Proses pengambilan hampir 10,000 orang jururawat bagi mengisi kekosongan sedia ada juga perlu dipercepatkan. Setelah kedua-dua langkah ini dilaksanakan, KKM perlu melanjutkan tempoh kontrak jururawat agar tenaga kerja dapat kekal lebih lama bersama KKM.
  4. Moratorium selama 10 tahun ke atas pembukaan hospital swasta baharu harus dilaksanakan. Hospital swasta sering ‘mengambil’ jururawat yang dilatih oleh KKM. PSM tidak menyalahkan jururawat yang memilih untuk berpindah ke sektor swasta disebabkan beban kerja yang tinggi dan faedah yang kurang memuaskan di KKM. Namun, bukankah pembukaan lebih banyak hospital swasta akan menggalakkan lagi perpindahan ini?
Kesihatan awam adalah hak rakyat dan keutamaan negara. PSM menyeru agar kerajaan, khususnya JPA dan KKM, mendengar suara serta kebimbangan jururawat yang menjadi tulang belakang sistem kesihatan negara.
Pelaksanaan dasar yang adil, munasabah, dan berasaskan bukti adalah penting untuk memastikan kebajikan jururawat terpelihara sekali gus meningkatkan kualiti penjagaan pesakit.
Kami berharap agar langkah-langkah saranan PSM dapat diambil serius demi membina sistem kesihatan yang lebih mampan, efektif, dan berdaya tahan untuk masa depan Malaysia.
Suresh Balasubramaniam 
Ahli Jawatankuasa Pusat  
Parti Sosialis Malaysia (PSM)
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN