Tingkat kualiti sekolah kebangsaan

Tingkat kualiti sekolah kebangsaan

SEKOLAH kebangsaan perlu ditampilkan sebagai sekolah pilihan utama semua ibu bapa tanpa mengira kaum atau latar belakang sosioekonomi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAN Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bagi pendidikan prasekolah hingga lepas menengah, akan melabuhkan tirainya pada hujung tahun ini. Sehubungan ini, ia akan disambut oleh Pelan Pendidikan Masa Depan Malaysia (PPMDM) 2026-2036.

Dalam hal ini, PPMDM merupakan usaha untuk membentuk semula sistem pendidikan negara bagi jangkauan 10 tahun akan datang. Untuk ini, teknologi digital dengan tumpuan khas kepada kecerdasan buatan (AI) adalah antara capaian utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran murid dan pelajar.

Dalam pada ini, PPPM tidak boleh sesekali terus ditinggalkan. Ia hendaklah terus dijadikan kesinambungan pada sistem pendidikan negara dari beberapa sisi penting. Antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) yang mahu ditampilkan sebagai sekolah pilihan utama semua ibu bapa tanpa mengira kaum atau latar belakang sosioekonomi. Ia dihasrat terjadi begitu pada gelombang tiga pelaksansaan PPPM, iaitu pada tempoh 2021 hingga 2025.

Sejujurnya hasrat ini yang tercatat pada Bab 7 PPPM tidak tercapai, walau sekelumit pun. Ini kerana ia tidak pernah menjadi keutamaan penting, apatah lagi serius waima tercatat, malah dijanjikan dengan begitu jelas pada halaman 7-21. Sesungguhnya SK adalah bukan sahaja wadah perpaduan negara dan integrasi nasional yang ulung lagi unggul.

Sehubungan ini, hasrat untuk menjadikan SK institusi teristimewa adalah tidak lain tidak bukan untuk memperteguh perpaduan di sekolah.

Juga SK adalah maruah sistem pendidikan negara. Ini kerana ia aliran utama, malah yang terutama. Dalam hal ini, ia wajib dibanggai, iaitu semua ibu bapa berpuas hati dengannya. Selain rasa begini, SK juga wajib berprestij, yakni dihormati dan disanjungi semua pihak atas pencapaian yang baik dan mutunya yang tinggi.

Akan tetapi, hasrat SK selaku wadah perpaduan dan maruah pendidikan kita bukan sahaja tiada. Juga SK dijauhi, malah dielakkan untuk tujuan penyekolahan anak bangsa kita. Ini sangat mengecewakan kerana ia pasti akan menjejaskan proses pembentukan negara bangsa, iaitu usaha melahirkan warganegara yang antaranya utuh bersatu dan kental jati diri kebangsaannya.

Sudah menjadi rahsia terbuka, yakni ketahui umum bahawa SK kini tidak popular lagi. Ini jelas kelihatan apabila ramai ibu bapa Cina tidak memilih SK untuk pendidikan peringkat sekolah rendah anak mereka. Begitu juga dengan etnik bukan Melayu lain yang kelihatan semakin tidak meminati SK.

Untuk memburukkan keadaan di SK yang sudah pun kusam, kini semakin ramai ibu bapa Melayu yang ikut tidak mahu menghantar anak mereka ke sana. Hal ini dapat dilihat apabila enrolmen murid Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) kini adalah tinggi, iaitu sudah menghampiri 20 peratus.

Bukan sahaja enrolmen yang tinggi itu, mereka juga menyelar mutu akademik di SK yang rata-ratanya ikut didakwa sebagai rendah oleh banyak pihak. Dalam pada ini, kecenderungan etnik Melayu yang tidak memandang tinggi kepada institusi persekolahan mereka sendiri, bukan sahaja amat membimbangkan. Ini kerana sikap mereka akan mengabsahkan tanggapan negatif etnik lain terhadap SK.

Juga ia sangat menakutkan memandangkan sikap begini akan menjejaskan, malah menggagalkan proses pembentukan negara bangsa. Ini kerana ia menghantar mesej salah bahawa SK bukan lagi institusi pendidikan kerajaan yang baik. Justeru perlu dan patut dihindari.

Sebenarnya pemilihan SJKC oleh ibu bapa Melayu tidak pun dilakukan semata-mata atas dasar ingin menguasai bahasa Mandarin. Begitu juga halnya dengan lokasi sekolah yang lebih berhampiran. Disiplin di SJKC yang dikenali lebih ketat juga bukan sebab terpenting yang mendorong mereka mendaftarkan anak mereka di SJKC.

Sebab paling penting ialah prestasi akademik cemerlang di SJKC. Oleh itu, ibu bapa Melayu akan terus memilih SJKC. Bagi mereka, ia akan begini walaupun SJKC mempunyai kemudahan paling asas sahaja berbanding SK yang lebih hebat prasarananya.

Dengan pemilihan atas dasar kecemerlangan SJKC ini, khususnya oleh ibu bapa Melayu dan secara beramai-ramai pula, implikasinya ialah mutu akademik di SK yang ditanggapi sebagai bukan sahaja merosot, juga mencorot adalah memang benar sekali.

Oleh sebab inilah, kedudukan SK yang ikut disedari kerajaan sendiri dimasukkan dalam PPPM itu untuk diangkat semula citranya.

Walaupun PPPM gagal mewujudkan citraan positif untuknya, SK wajib terus dijuarai dengan serius pada kali ini oleh PPMDM. Ia gagal pada PPPM kerana isu SK sengaja disembunyikan. Dalam hal ini, ia tidak diendahkan langsung. Sepatutnya, ia hendaklah diatasi secara signifikan selain konsisten sepanjang tempoh 13 tahun berlangsungnya PPPM itu.

Sejujurnya isu SK adalah perkara benar, yakni hakikinya memang benar sebegitu. Ini kerana ia disuarakan sendiri oleh etnik Melayu yang merupakan pihak paling berkepentingan dalam ehwal SK. Justeru ia ikhlas seikhlas-ikhlasnya dan sama sekali bukan tohmahan.

Apabila ia datang daripada etnik Melayu sendiri, isu SK wajib diambil berat oleh kerajaan semasa. Dalam hal ini, ia sebenarnya permasalahan yang sudah lama terhimpun yang tidak mahu dimulakan penyelesaiannya oleh mana-mana kerajaan sebelum ini. Oleh itu, isu SK bukan sesekali masalah ciptaan kerajaan semasa.

Dengan ini, kerajaan semasa tidak akan sesekali dipersalah. Malah akan dipuji dan dikenang kerana mempunyai tekad politik sebagai komitmen ikhlas demi pembangunan pendidikan negara. Sehubungan ini, ia untuk mencapai matlamat murni dengan melaksanakan dasar tertentu.

Untuk ini, ia wajib diteruskan oleh mana-mana kerajaan yang memerintah pada kemudian hari.

Dengan ini, sistem pendidikan kita akan terus maju dengan ciri yang sudah ditetapkan. Antaranya yang terpenting ialah amat cakna tentang mutu tinggi di semua peringkat pendidikan selain di semua jenis persekolahan. Oleh itu, ia tanggungjawab setiap kerajaan yang memerintah negara ini. Ini kerana ia usaha berlanjutan yang diperlukan pada setiap masa selagi wujudnya negara tercinta ini.

Inilah semulia-mulianya usaha untuk terus memastikan wujudnya kesinambungan kepada rejim pendidikan negara, yakni sistem dan struktur yang telah direka untuk selalu direkayasa. Ini termasuklah ikhtiar tekun untuk memastikan SK terus wujud sebagai aliran arus perdana.

Dengan ini, ia persekolahan paling mantap dan penting, selain merupakan induk dan tunjang terkuat serta segala macam hal yang seumpamanya kepada sistem pendidikan negara.

Dengan ini, SK wajib ditingkatkan dari segenap sisi agar ia bukan sahaja program perpaduan terbaik di negara ini. Juga harga diri untuk diberikan penghormatan nasional di tanah watannya sendiri. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN