Saya tidak faham 'walaun' ini siapa?

Saya tidak faham ‘walaun’ ini siapa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SEKALIPUN masa diundur kembali ketika masih bersama UMNO, TAN SRI ANNUAR MUSA tidak sesekali kesal memikirkan setiap tindakannya ‘melawan Pas’ yang kini menjadi parti baharunya.

Dahulu, lapis mata bekas ahli Parlimen Ketereh itu dikaburi kebencian seolah-olah tiada satu hal yang baik dalam Pas untuk dikenang-kenang. Selepas UMNO melucutkan keahliannya pada 2022 dan bersama Pas, barulah beliau sedar, Pas lebih daripada sekadar parti politik, manakala UMNO, lebih kepada duit.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN; jurugambar, IQBAL ROSLI dan juruvideo, ZUID IKH RAL SAMSON, Presiden Pertubuhan Muafakat Nasional (MN) itu berkongsi banyak perkara termasuk persahabatan UMNO dan DAP.

MINGGUAN MALAYSIA: Apa perkembangan gerak kerja Muafakat Nasional (MN) sekarang?
ANNUAR: Tumpuan kami sekarang adalah menyusun jawatankuasa tertinggi mengikut format diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dalam penubuhan badan-badan perhubungan di peringkat negeri, kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

MN punya sejarah penubuhannya. Ketika MN masih belum ada struktur untuk mengurus satu organisasi secara teratur, namun apabila buka keahlian kepada orang awam, kami dapati puluhan ribu permohonan keahlian secara dalam talian.

Alhamdulillah, walaupun saya belum selesai membuat penyusunan di Pahang dan Sarawak selain belum bergerak secara aktif, namun sekarang ia berjalan baik dan badan perhubungan sudah terbentuk di kesemua negeri lain.

MN hanya bertindak sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukan pakatan politik?
Saya akui MN lebih bersifat politik tetapi, ia tidak dihasratkan menjadi pakatan atau parti politik kerana keahliannya datang daripada pelbagai parti. Keutamaan MN hanyalah menghidupkan nilai politik yang diaspirasikan menerusi MN terdahulu yang tidak sempat didaftarkan.

NGO ini juga bergerak ke arah menyokong, mendukung penyatuan dan perpaduan parti politik utama orang Melayu sebagai perpaduan teras namun bukan secara eksklusif untuk menjadi asas kepada sistem politik yang lebih stabil dan mampan.

Orang Melayu dan parti politik Melayu hendaklah bekerjasama, menaungi dan memberi ruang serta pembelaan perhatian kepada bukan Melayu.

HASIL BELUM KELIHATAN
Sudah hampir tiga tahun, apa hasil Tan Sri lihat? Matlamat sudah tercapai?
Belum dan perjalanan masih jauh lagi. Kami baru di peringkat penstrukturan, menyambung aspirasi dan menggalakkan orang ramai supaya persengketaan tidak terlalu ‘tajam’, jangan ikut pemimpin yang ‘tarik’ dan ‘pusing’ sana sini.

Rakyat kena kekalkan penyatuan dan perpaduan, kalau pun terpaksa berada dalam parti politik berbeza, jangan ada politik membenci.

Sebab itu, kami lahirkan moto ‘Mengasihi, Menyatui dan Menghormati’ untuk menggantikan politik kebencian dengan nilai kasih sayang, hormat-menghormati. Usaha ini terus berjalan.

Syukur, dari sudut Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kedua-duanya mendukung semangat MN, manakala UMNO pula tidak mahu ke arah yang sama.
Tetapi, tidak mengapalah kerana saya faham ini alah politik ‘orang atas’, bukannya bawah, jadi saya bersabar dahulu dan bergerak ke hadapan.

Komen Tan Sri tentang pendirian UMNO itu?
Dalam mendepani politik negara, UMNO sebagai parti Melayu Islam tidak boleh bergerak sendirian. Begitu juga Pas dan Bersatu. Apabila UMNO meninggalkan MN, Bersatu dan Pas, mereka kehilangan banyak kerusi. Ada yang cakap: “Oh, tidak mengapa sebab UMNO boleh kuat semula bersama DAP.”

Tetapi, bagi saya, kenyataan ini hanya teori semata-mata kerana masa hadapan sebenar UMNO, Pas dan Bersatu adalah dengan politik ta’awun dan ta’ayush – mesti bekerjasama dan bersatu.
Jika ketiga-tiganya bergabung, Insya-Allah, politik Malaysia kembali lebih stabil dan UMNO semakin kuat.

Tetapi?
Apabila pemimpin sudah dapat kuasa, di sinilah ujian datang, mereka tersasar dan akhirnya berlaku perpecahan dalam kalangan pemimpin terutama UMNO.

Lihat baru-baru ini sewaktu pengebumian bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, perasan tidak yang semua pemimpin hadir itu asalnya daripada induk (UMNO) yang sama, namun kini sudah berbeza haluan politik?

Maksud Tan Sri?
Semua orang bercakap tentang politik Melayu lemah, UMNO sudah tidak jadi perdana menteri. Puncanya kerana perpecahan akibat pertelingkahan peribadi.

Kita (pemimpin) terpekik, terlolong kononnya orang Melayu tercabar, kuasa berkurang sedangkan kesalahan terletak pada diri sendiri.

Sebab itu, jika sejak awal jujur , benar-benar memikirkan masa hadapan politik orang Melayu, Islam dan negara serta ketepikan soal kepentingan peribadi dan jawatan, kita semua akan temui formula kemenangan dengan mudah.

Bukankah itu lumrah dalam politik?
Siapa kata begitu? Meletakkan kepentingan peribadi ini bukan lumrah. Ini semua nafsu-nafsi atau perangai individu dan inilah kelemahan kita sebagai pemimpin yang memandang kebendaan dan pangkat sedangkan Islam tidak mengajar menjadi begini.

UMNO dan DAP
Berdekad berlawan sesama sendiri dan berakhir dalam satu kerajaan yang sama. Ikhlaskah persahabatan UMNO dan DAP?
UMNO bukan sahaja bersahabat dengan DAP, bahkan mengangkat parti ini menjadi kerajaan yang akan merugikan perjuangan UMNO. Orang Melayu hilang keyakinan terhadap UMNO kerana tidak berupaya menyatupadukan orang Melayu kemudian bekerjasama pula dengan DAP yang jelas ideologi dan perjuangannya bertentangan.

Sekarang UMNO mendahulukan perjuangan bagi kepentingan DAP menjadi kerajaan dan secara beransur-ansur, DAP akan melaksanakan dasarnya seperti konsep Malaysian-Malaysia, hak kesamarataan, membina sekolah-sekolah dan pendidikan Cina.

UMNO pula tidak boleh halang kerana DAP sekarang lebih besar dalam kerajaan. Inilah sebabnya UMNO hilang kerusi dan sokongan.

Benar, DAP akan cuba sokong UMNO untuk ‘terus hidup’, tetapi, perbuatan ini akhirnya merugikan UMNO dan menguntungkan DAP.

Tan Sri nampaknya menekankan soal DAP. Ada yang merunsingkan fikiran?
DAP tertubuh kerana menentang UMNO dan dasarnya. Jangan lupa sejarah penubuhan DAP, mengapa bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, sahabat karib Tunku Abdul Rahman, namun tidak menyokong gagasan dibawa Allahyarham yang mengasaskan UMNO.

Mengapa DAP dibawa masuk setelah UMNO ‘menendang’ PAP pada masa itu? Ini kerana dia mahu meneruskan penentangan terhadap apa yang UMNO lakukan.

Puluhan tahun menyerang dasar UMNO, cuba merombak apa yang UMNO buat. Maki hamun? Usah cakaplah sebab saya sendiri alami dan duduk dalam Parlimen.

‘SUCIKAN’ DAP
Sekarang UMNO sibuk mensucikan DAP, berkempen dan kata DAP ini (dasarnya) baik. Sebaliknya, sejak penubuhan parti ini lagi mahu merombak dasar IMNP.

Kalau sekarang bawa DAP masuk dalam kerajaan, memang mereka akan rombak lagi cuma, pendekatan mereka sekarang ‘lebih bijak’ supaya orang Melayu berpecah-belah.

Apakah sudah tiada yang tersisa untuk merindui dan kembali kepada UMNO?
Saya tidak pernah benci dan keluar UMNO, malah tidak pernah menghentamnya kerana dasar UMNO kekal relevan. Saya cuma bercakap tentang beberapa pemimpin UMNO.

Saya menjunjung prinsip dan dasarnya sehingga saat akhir saya dibuang UMNO tanpa diberitahu apa salah yang saya lakukan? Kononnya saya melakukan tindakan bercanggah dengan kepentingan parti, sedangkan saya buat kerana enggan parti kalah dan bekerjasama dengan DAP.

Hubungan Tan Sri dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baik?
Hubungan peribadi kami biasa sahaja, tidak pernah bertekak, bergaduh baik di dalam atau luar mesyuarat. Namun, dari segi pandangan politik, saya tegas.

Kalau terpaksa berbeza pandangan, saya pilih lontarkan. Saya tidak boleh berbohong apabila dapat tahu Ahmad Zahid berunding dengan DAP senyap-senyap.

DULU LAWAN PAS, SEKARANG…
Tan Sri akhirnya sertai Pas sedangkan dahulu pernah tidak senada dengan parti itu. Mengapa? Matlamat perpaduan Melayu sudah tercapaikah?
Saya mahu masuk parti politik apa lagi? Berjuang dalam negara ini mesti ada parti politik. Kalau jadi calon Bebas pun tidak pernah menang.

Kalaupun saya pernah tidak senada dengan Pas, ia hanya dari sudut politik, tiada yang peribadi. Tiba-tiba sahaja saya dibuang oleh UMNO, jadi, apa seterusnya?

BARU SEDAR DIRI PREJUDIS
Saya akui, dahulu sewaktu masih bersama UMNO, saya ada sikap prejudis dan banyak kali berlawan dengan Pas khususnya di Kelantan.

Kemudian, apabila MN terbentuk, kami duduk sekali dan saya baru sedar, banyak pandangan UMNO termasuk saya terhadap Pas sangat salah kerana kami (UMNO) memandang Pas dari kaca mata kebencian.

Banyak salah sangka, tanggapan pada Pas sedangkan hakikatnya, mereka baik dari segi susunan organisasi, kekuatan, pegangan, junjungan dan dasar perjuangan Islam, ukhuwah. Sedangkan UMNO, asyik ‘makan’ satu sama lain. Soalan saya, pernah anda lihat orang Pas kutuk sesama mereka?

UMNO, DUIT, DUIT DAN DUIT
Lihat pula UMNO di media sosial, bagaimana orang mereka menghentam sesama sendiri? Struktur dalam UMNO semuanya bergantung pada duit, duit dan duit, peruntukan, peruntukan dan peruntukan. Pas pula, masing-masing menyumbang dan ada semangat kesukaan.

Kalau UMNO, asyik politik, politik dan politik. Pas ada siasah, dakwah, tarbiah. Kita sudah lihat UMNO conteng muka buruk Pas, tetapi, apabila saya masuk parti ini, saya akui, Pas parti mempunyai nilai sangat tinggi dan hanya sekarang saya baru dapat jawapannya.

TIDAK KESAL LAWAN PAS
Andai masa dapat diundur kembali, apakah Tan Sri mahu memperbetul salah tanggapan terhadap Pas selama ini?
Dalam politik ini, tiada istilah undur masa. Semasa dalam UMNO, saya perjuangkan dasarnya dan kami berlawan dengan Pas bukan peribadi.

Dasar UMNO tidak silap, cuma, yang cacatnya ialah pemimpin. Sampai sekarang, UMNO masih dilihat sebagai entiti politik amat penting, sebab itu Pas tiada kebencian kepada UMNO. Sebaliknya, UMNO sahaja melatih orangnya supaya benci Pas.

WALAUN, WALANON
Tan Sri setujukah Pas digelar parti ‘walaun’?
Saya tidak faham walaun ini siapa? Apa maknanya pun saya tidak tahu dan tidak pernah guna istilah itu. Bagi saya, walaun kah, walanon kah dan sebagainya, ini semua politik.
Dalam Islam sendiri pesan, “Janganlah kamu memanggil saudara dengan nama yang buruk”.

Pas tidak memanggil orang lain dengan nama buruk, kerana kita parti dakwa dan lakukan perkara baik. Walaupun saya baru dalam Pas dan berada lama dalam UMNO, saya tidak berniat memburukkan UMNO.

Walau apa pun, soal walaun ini, saya rasa tidak mengapalah kerana ini semua bergantung pada tarbiah. Pas tiada agenda memburukkan UMNO dan parti politik lain.

USTAZAH SITI MASTURAH KALAH SAMAN FITNAH DAP
Pendapat Tan Sri tentang Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad kalah saman fitnah kerana mengaitkan Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok dengan mendiang pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng dan Lee Kuan Yew?

Kenyataan beliau bukan daripada parti, sebaliknya mewakili individu dan sebagai individu, mungkin melakukan kesalahan.

Ini iktibar yang baik sebab kalau bercakap dalam politik, kita mesti buktikan pertahankannya.

Kalau buat silap, kena minta maaf tetapi beliau sendiri tidak minta maaf malah mempertahankan dirinya pula. Itu silap beliau. Tetapi, sebagai individu, kita mungkin melakukan kesilapan.

Saya tahu, beliau merujuk kepada dokumen Barisan Nasional (BN) dan petik dalam ucapan. Beliau merasakan dokumen itu adalah asasnya, tetapi, UMNO pula enggan menjadi saksi dan kerjasama sebagai pihak yang keluarkan dokumen ini. Jadi, kes menjadi lemah dan tidak dapat dibuktikan.

Apakah keadaan itu menjadi bola tanggung kepada Pas dan beliau tidak wajar dicalonkan dalam pilihan raya akan datang?
Ini urusan kepimpinan. Saya rasa tiada masalah pun beliau terus bertanding. Jika orang lain ada kes di mahkamah boleh bertanding, apalah sangat beliau buat kesilapan dalam percakapannya? Isu ini kecil, orang lain masuk dan keluar penjara boleh bertanding inikan pula

Siti Masturah yang tersalah cakap. Saya lihat beliau seorang pemimpin yang baik dan dia kenalah lalui proses-proses ini. Di sepanjang jalan kita akan ada silap, kejatuhan dan sebagainya. Namun, secara asasnya, beliau pemimpin, baik, punya masa hadapan dan wajar diberi peluang.

BERTANDING PRU-16
Tan Sri merancang bertanding pilihan raya seterusnya?
Insya-Allah, jika parti memberi peluang. Jika enggan lagi aktif dalam politik, maka, saya bersara.

Tetapi, apabila Pas menawarkan saya berada dalam jawatankuasa tertinggi, malah dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat dan saya menerimanya, bermakna, saya bersedia aktif. Tipulah kalau orang aktif politik tidak mahu menjadi calon bukan?

Kerusi Parlimen mana?
Tidak bolehlah saya beritahu sekarang. Ini hak parti putuskannya. Paling penting, di mana rakyat sanggup beri sokongan, di situlah saya bertanding.

Bersara bukan pilihan dalam masa terdekat?
Ini bukan satu pilihan. Saya masih aktif, ada studio rakaman, berceramah ke hulu ke hilir dan saya berjuang bersama pemimpin Pas.

KERAJAAN PERPADUAN
Bagaimana pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Paling penting perdana menteri cuba lakukan sesuatu yang kadang-kadang tidak popular (tidak kisah berjaya atau tidak), tetapi saya sokong kerana sekurang-kurangnya beliau berniat baik.

Beliau tiada pilihan banyak dalam membuat pembetulan terhadap ekonomi dan hasil kejayaannya belum terbukti sepenuhnya kerana mengurus ekonomi negara ini amat kompleks. Pun begitu, saya boleh cakap beberapa perkara:

PERPADUAN
Jika dari sudut menyatupadukan rakyat (sudah nama pun Kerajaan Perpaduan), ia masih terlalu rapuh dan belum berjaya membawa perpaduan mutlak.

Kerajaan ada bilangan sokongan yang besar, tetapi di bawah, tiada siapa dapat menafikan sentimen perkauman masih tebal, kebimbangan satu kaum terhadap kaum lain dan tiada falsafah perpaduan yang jati.

MANIFESTO DAN KUALITI HIDUP RAKYAT
Usaha kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat juga tidak dan belum berjaya. Janji atau pelaksanaan manifesto kerajaan sekarang gagal.

EKONOMI
Pencapaiannya sederhana kerana saya tidak boleh terus kata gagal.

Saya faham kerana mentadbir dalam suasana ekonomi global yang sukar pasca pandemik Covid-19, kesan perang Russia-Ukraine menjejaskan rantaian bekalan dunia dan memberi tempias kepada Malaysia, kemudian campur pula masalah dalam negara sendiri, tekanan datang seperti kenaikan harga minyak, sumber pendapatan negara, beban subsidi melebihi RM80 bilion yang mengatasi perbelanjaan pembangunan dan mengurus.

ORANG MUDA
Melihat senario politik sekarang, apakah negara memberi peluang kepada orang muda menjadi pemimpin? Ada cakap-cakap veteran politik atau orang lama enggan lepaskan jawatan mereka.

Ini cerita lama dan tanggapan ini tidak benar. Dari dahulu hingga sekarang pun, ramai sahaja orang muda peluang diberi peluang sama.

Saya di umur 29 tahun pun diberi peluang bertanding pilihan raya dan menjadi menteri di umur 33 tahun. Semua parti memang akan beri peluang kepada orang muda.
Tidak semestinya orang muda boleh melakukan yang lebih baik daripada orang tua. Namun, mesti ada kombinasi antara keduanya. Paling penting prestasi, bukan umur. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×