Pemimpin mana boleh diharap jadi pelapis? - Utusan Malaysia

Pemimpin mana boleh diharap jadi pelapis?

Antara bekas pemimpin dan pemimpin politik berusia awal 30-an hingga ambang 50-an yang menjadi perhatian ramai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA pemimpin politik muda yang boleh jadi Perdana Menteri? Soalan ini pernah ditanya oleh wartawan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad beberapa tahun dulu.

Bekas Perdana Menteri itu menjawab, ada yang berbakat. Bagaimanapun, negarawan yang mula menceburkan diri dalam politik sejak tahun 1964 itu enggan menamakan pemimpin berkenaan.

Membiarkan ia menjadi satu teka-teki sehingga ke hari ini. Mungkin seorang atau lebih bilangannya, kita pun tidak tahu, nama siapa yang berada dalam fikiran Tun ketika itu.

Dan soalan ini, masih lagi berlegar-legar sehingga sekarang. Siapakah pemimpin muda yang boleh diharapkan ketika ini? Kalau bukan memegang jawatan Perdana Menteri pun, sekurang-kurangnya mengisi jawatan penting dalam Kabinet atau parti politik.

Kita pun tahu kebanyakan pemimpin dunia seperti Donald Trump, Xi Jinping, Vladimir Putin, dan Francois Bayrou sudah melangkaui usia 70-an. Usia sebegini biasa bagi seorang pemimpin negara.

Tetapi mahu atau tidak, kita perlu mempunyai barisan pemimpin pelapis untuk menerajui negara untuk beberapa tahun akan datang.

Persediaan ini amat penting. Ia adalah tentang masa depan negara. Pemimpin tidak boleh dibentuk dan dilahirkan dalam masa semalaman. Ketandusan pemimpin muda akan membawa padah besar pada mana-mana negara pun.

Bagaimanapun, apabila kita sentuh pasal isu memberi peluang kepada pemimpin muda, ramai pemimpin lama atau veteran sering berkata, itu bukan satu isu besar dan tidak perlu pertikaikan lagi, kerana setiap parti politik di negara ini sudah ada pemimpin muda dan sentiasa memberi ruang dan peluang kepada mereka.

Tetapi itulah, yang sentiasa kita perhatikan apabila dalam pilihan raya atau pemilihan parti politik, pemimpin lama ini tetap mahu bertanding atas alasan masih relevan walaupun usia sudah mahu masuk 80 tahun. Mereka yakin benar rakyat masih tidak mahu melepaskan dan mengharapkan lagi khidmat mereka. Pada masa sama, mereka ini menyatakan, kombinasi lama dan baru itu adalah lebih baik, tetapi jawatan-jawatan penting tetap dipegang oleh muka lama.

Dalam Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi peluang beberapa pemimpin muda di dalam Kabinetnya. Di parlimen juga ada. Begitu juga di pihak parti pembangkang.

Antara yang paling muda dalam Kabinet ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli yang berusia 36 tahun manakala dalam usia 40-an pula, antaranya Rafizi Ramli, Fadhlina Sidek, Fahmi Fadzil dan Hannah Yeoh. Dalam pada itu, negara ini juga ada Menteri Besar yang berusia 40-an.

Persoalannya, adakah pemimpin-pemimpin muda ini cemerlang di mata rakyat? Rakyat juga ada Penunjuk Prestasi Utamanya (KPI) terhadap mana-mana pemimpin. Penilaian mereka pasti akan diterjemahkan dalam pilihan raya.

Hakikatnya, rakyat juga masih menanti pemimpin-pemimpin muda ini benar-benar menyerlah. Apabila kita berbual-bual dengan anak-anak muda, contohnya, mereka juga punya pandangan sendiri tentang pemimpin muda di negara ini.

Baru-baru ini semasa saya berkesempatan berbual-bual dengan beberapa pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tentang siapa yang pemimpin politik Melayu yang menonjol dan mereka fikir boleh memimpin negara, kebanyakan mereka tidak dapat memberikan walau satu nama. Bukan tidak tahu siapa pemimpin muda dalam Kabinet atau parti pembangkang, tetapi masih tidak yakin pemimpin tersebut benar-benar membantu rakyat atau dalam kata lain tidak menonjol.

“Saya tidak tahu apa Adam Adli buat. Dulu dia bagus. Suaranya lantang dan berani. Sekarang senyap, bila sudah ada dalam kerajaan,” kata pelajar UiTM.

Ada pula yang bertanyakan, apa sudah jadi dengan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sekarang? Ahli Parlimen Muar yang berusia 32 tahun itu lebih popular dalam media sosialnya bersama artis, Bella Astillah berbanding ceritanya sebagai wakil rakyat.

Adalah lebih baik dia buat konten TikTok tentang dirinya turun padang di kawasannya seperti yang dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem, 44 tahun yang mempunyai 1.1 juta pengikutnya di TikTok manakala Syed Saddiq pengikutnya 1.9 juta tetapi penuh dengan cerita bersama Bella.

Syed Saddiq dilihat seperti ada ‘kecelaruan identiti’ ketika ini, dia ada ramai pengikut tetapi adakah dia mahu jadi pemimpin politik atau mahu popular dengan konten-konten yang mengajak orang ramai berteka-teki tentang hubungannya dengan Bella. Ini yang sedang diperhatikan rakyat, walau selantang mana pun beliau di dalam sidang Parlimen. Faktor ini boleh menghakis kerjaya politiknya.

Ada juga pemimpin muda yang aktif ketika pilihan raya saja. Aktif bermusim. Selepas pilihan raya jarang nampak muka di kawasannya dan tidak nampak pun berita tentang dirinya di media arus perdana atau media sosial.

Bagaimanapun, ada pelajar ini menyatakan dia yakin Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang berusia 37 tahun itu boleh menjadi pemimpin yang baik satu masa nanti. Ini kerana setiap isu yang menyentuh tentang Islam dan Melayu terutamanya, beliau akan bersuara dan turun padang.

“Dia bukan seperti pemimpin lain yang juga bersuara, mengutuk itu dan ini apabila Islam atau Melayu diperlekeh, tetapi setakat itu sajalah, habis di situ,” katanya.

Ada benarnya, pemimpin terutamanya pembangkang gemar ‘menunggang isu’ tetapi hilang begitu saja tanpa menunjukkan atau memberi idea sebagai cara penyelesaian. Tetapi kita semua pun sedar, hakikatnya mana-mana parti pembangkang memang berperangai begini sejak dulu lagi.

Dalam pada itu, ada juga suara-suara di media sosial mahukan Khairy Jamaluddin kembali kepada UMNO dan diberi peluang membangunkan negara ini. KJ kini diambang usia 50-an.

“Tak usahlah jadi deejay radio, tak best pun dengar. Baik masuk politik balik dan rugilah banyak idea tapi sembang dalam podcast saja,” kata seorang pelajar USM kepada saya bila saya sebut tentang bekas Menteri Kesihatan itu.

Pada saya pendapat orang muda tentang pemimpin pelapis tidak patut diketepikan. Mereka juga adalah pemerhati yang akan mengundi dalam mana-mana pilihan raya. Mereka boleh menjadi pengundi atas pagar atau mencipta gelombang perubahan dalam PRU.

Jika ketika ini kita masih tidak ada petunjuk atau clue siapa pemimpin muda yang boleh menggantikan pemimpin lama pada masa akan datang, tidak mustahil negara ini akan mengalami krisis kepimpinan yang akhirnya mencetuskan pemimpin ‘tangkap muat’.

Pemimpin lama pula janganlah menganggap pemimpin-pemimpin baru sebagai ancaman dalam politik. Memang sudah lumrah kehidupan, sehebat mana pun kita dalam apa jua bidang, kita akan dan boleh digantikan.

FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya