PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengulangi gesaan untuk mengenakan larangan terhadap kenderaan berat pada waktu puncak.
Kerajaan mewartakan larangan terhadap lori di lebuh raya untuk pergi dan balik dari Kuala Lumpur pada waktu puncak, mulai 19 Februari, lalu. Peraturan ini bagi melancarkan aliran trafik di Lembah Klang dengan mengalihkan kenderaan berat yang bergerak perlahan pada waktu puncak.
Pada 20 Februari lalu, Ketua Pegawai Operasi Lebuh Raya, ASP Amir Che Ya menyatakan melalui peraturan baharu ini mendapati laluan kenderaan di sepanjang lebuh raya di Lembah Klang lancar berbanding kebiasaanya sesak.
Pada Julai 2024, CAP menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya melaksanakan larangan terhadap kenderaan berat pada waktu puncak bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Masjid Negeri dan Jalan Scotland di Pulau Pinang khususnya pada waktu pagi dan petang.
Jika larangan terhadap kenderaan berat pada waktu puncak di Lembah Klang menunjukkan hasil yang positif, adalah wajar untuk mempertimbangkan untuk melaksanakannya di Pulau Pinang dan juga di negeri lain.
Faedahnya adalah jelas iaitu bagi memastikan aliran trafik lancar, kesesakan lalu lintas lebih sedikit, mengurangkan tekanan dan potensi mengurangkan pencemaran.
Ia juga menggalakkan perancangan logistik dan pengangkutan barangan yang lebih cekap dan memastikan barang dihantar pada waktu luar puncak apabila jalan raya kurang sibuk.
CAP menggesa Kementerian Pengangkutan supaya tidak melengahkan dan melaksanakan larangan kenderaan berat pada waktu puncak.-UTUSAN
MOHIDEEN ABDUL KADER
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)










